Mahasiswa Anak Johor Zon Perak Terima Suntikan Bantuan RM200

TANJONG MALIM, 28 November 2025 – Seramai lebih 1,500 mahasiswa anak Johor daripada lima institusi pengajian tinggi (IPT) Zon Perak menerima Bantuan One-Off RM200 dalam Majlis Penyerahan Bantuan Mahasiswa Anak Johor 2025.

Lima IPT yang terlibat ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Politeknik Ungku Omar (PUO), UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah dan UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar.

Bantuan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang merangkap ADUN Angkat Majlis Anak Johor (M@JOR) UPSI, YB Mohd Yusla Ismail, sebagai komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus diberi keutamaan.

Beliau berkata, Kerajaan Johor sentiasa meletakkan kepentingan pendidikan sebagai asas pembangunan negeri, sejajar titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

“Jatuh bangun Negeri Johor ditentukan oleh kualiti dan pencapaian pendidikan anak-anak Bangsa Johor. Kita mahu melihat mereka bukan sahaja cemerlang dengan segulung ijazah, tetapi membesar sebagai insan yang bersedia mengharungi cabaran dan berbakti kepada bangsa dan negara.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan majlis berkenaan yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, hari ini.

Mohd Yusla turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan pelbagai insentif pendidikan seperti Insentif Pra-Universiti, Bantuan Pendaftaran Universiti, Insentif Mahasiswa, Bantuan Laptop Siswa dan Pinjaman Pendidikan Tinggi Tanpa Faedah bagi memastikan tiada anak Johor tercicir.

“Hari ini, melalui Bantuan One-Off RM200 Insentif Mahasiswa Anak Johor, kita meneruskan komitmen itu dan memastikan setiap mahasiswa Johor terus mendapat perhatian Kerajaan Negeri,” ujar beliau

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata, Bantuan One-Off RM200 ini adalah tanda penghargaan dan sokongan kerajaan negeri terhadap anak Johor yang menuntut di IPT. Ia menyantuni mereka yang merantau demi ilmu.

“Kehadiran mahasiswa Johor, IPTA yang hadir serta Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) amat dihargai dan menjadi penyuntik semangat untuk terus memperkukuh kecemerlangan pendidikan anak Johor.

Md Amin berkata inisiatif YPJ itu bukan sahaja berbentuk kewangan, tetapi juga simbol sokongan moral kepada mahasiswa.

“Besar harapan saya agar mahasiswa memanfaatkan insentif ini bukan sekadar sebagai bantuan kewangan, tetapi sebagai dorongan untuk mencapai kecemerlangan akademik,” katanya.
Majlis anjuran M@JOR UPSI itu menghimpunkan mahasiswa dari kelima-lima IPT berkenaan bagi memudahkan agihan bantuan serta memperkukuh jaringan sokongan pelajar Johor di perantauan.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Bazli Razak, Universiti Pendidikan Sultan Idris.