Ekonomi Malaysia Berada Dalam Momentum Baik Bagi Capai Sasaran KDNK 4 Hingga 5 Peratus

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) — Ekonomi Malaysia berada dalam momentum yang baik untuk mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada sekitar 4 hingga 5 peratus bagi tahun 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata sentimen perbelanjaan pengguna lazimnya berada pada tahap melebihi purata pada suku keempat berbanding suku tahun lain.

“Suku keempat adalah tempoh pengguna akan berbelanja lebih daripada biasa untuk perbelanjaan buka sekolah, perbelanjaan tahun baharu, perayaan dan sebagainya apabila terdapat permintaan yang tinggi terhadap barangan.

“Permintaan merupakan komponen terbesar dalam KDNK. Oleh itu, kita menjangka ada ruang untuk melihat prestasi KDNK berkembang pada suku keempat nanti,” katanya kepada Bernama sebelum ditemu bual dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini semalam.

Ditanya sama ada jangkaan KDNK pada suku keempat akan melebihi pencapaian suku ketiga, beliau berkata ia perlu dilihat dalam cerapan data.

Pada Oktober, katanya cerapan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) untuk sektor pembuatan, perlombongan dan elektrik didapati meningkat, begitu juga perdagangan antarabangsa apabila lebihan dagangan turut meningkat.

Di samping itu, katanya kadar pengangguran pada bulan yang sama menurun kira-kira 0.5 peratus berbanding bulan sebelumnya.

“Justeru, untuk Oktober, data telah menunjukkan ekonomi Malaysia bergerak ke arah berkembang. Sehingga Januari, kita dapati aktiviti ekonomi pada November dan Disember juga, tidak ada keadaan yang nampak ‘deprive’ berikutan ekonomi terus menunjukkan jajaran berkembang.

“Jika kita menggabungkan ketiga-tiga suku awal, negara telah mencapai KDNK sebanyak 3.9 peratus.  Oleh itu, saya menjangka pencapaian ekonomi negara akan terarah seperti yang telah disasarkan oleh kerajaan,” katanya.

Menurut Bank Negara Malaysia, ekonomi negara berkembang sebanyak 3.3 peratus pada suku ketiga 2023 daripada 2.9 peratus pada suku kedua tahun tersebut manakala secara keseluruhannya, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.9 peratus pada tiga suku pertama 2023.

Mengenai sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dibuka bermula 2 Jan hingga 31 Mac, Mohd Uzir berkata setakat 8 malam pada 3 Jan, PADU telah merekodkan sebanyak 396,181 jumlah pengguna berdaftar. 

Berdasarkan sambutan terhadap penggunaan PADU setakat ini, katanya beliau yakin sasaran untuk memastikan 29 juta warganegara Malaysia mendaftar akan dapat dicapai.

“Dalam memastikan tiada yang terkecuali untuk mendapat manfaat daripada pelaksanaan sistem itu, kerajaan akan turut mengadakan sesi libat urus bersama kepimpinan kerajaan negeri untuk mencapai sasaran ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, maklum balas yang diterima daripada Jabatan Perangkaan Negeri dan kakitangan di lapangan mengenai penerimaan sistem itu di kawasan luar bandar adalah positif dengan dibantu penjelasan daripada Jabatan Penerangan (JaPen). 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Inflasi Dijangka Meningkat Antara 2.0-3.5 Peratus Tetapi Kekal Terurus Tahun Ini – BNM

Duit inflasi


KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) — Inflasi dijangka menunjukkan trend menaik antara dua peratus hingga 3.5 peratus tahun ini berbanding purata pada 1.8 peratus pada tahun 2024 tetapi akan kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.

Dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 yang dikeluarkan hari ini, Bank Negara Malaysia menyatakan pada peringkat global, harga komoditi dijangka terus menurun, lantas menyebabkan kos pengeluaran yang lebih rendah bagi syarikat.

Sementara itu, peringkat domestik, keadaan permintaan asas akan kekal sederhana berikutan pertumbuhan penggunaan swasta yang stabil dan kenaikan upah yang selari dengan pertumbuhan produktiviti.

“Kesan inflasi daripada langkah-langkah dasar dalam negeri dan pelarasan cukai yang diumumkan, termasuk rasionalisasi subsidi RON95 secara bersasar dan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), dijangka bersifat sementara dan dapat dibendung dengan baik,” menurut BNM selain menambah kesan langsung daripada langkah-langkah tersebut dijangka luput dalam masa setahun dan kekal terkawal berikutan pendekatan dasar-dasar tersebut secara bersasar.

Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun 2025, dengan permintaan domestik menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh perbelanjaan sektor swasta yang stabil meskipun berdepan ketidaktentuan luaran.

Menurut BNM, perbelanjaan isi rumah yang lebih tinggi akan didorong oleh pertumbuhan guna tenaga dan pendapatan yang lebih pantas berserta sokongan dasar, sementara, aktiviti pelaburan akan terus mencatatkan pengembangan mantap apabila peningkatan kitaran pelaburan dijangka berlanjutan ke tahun 2025.

Pada tahun 2024, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata pada 1.8 peratus (2023: masing-masing 2.5 peratus dan tiga peratus), lebih rendah berbanding dengan purata jangka panjang (purata 2011-19: 2.2 peratus) berikutan keadaan kos global semakin reda dan permintaan yang stabil.

Dalam pada itu, sepanjang 2024, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) membuat keputusan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus bagi memastikan kestabilan harga kondusif terhadap pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Pada tahun 2025 pula, BNM menyatakan MPC akan terus memantau kesan limpahan daripada persekitaran global yang tidak menentu dan kemungkinan kesan perubahan dasar dalam negeri.

“Berikutan ketidakpastian ini, perumusan dasar monetari akan terus mengambil kira pelbagai risiko dan perubahan yang mungkin berlaku berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan Malaysia,” menurut BNM.

Pada 2024, ekonomi Malaysia terus kukuh, disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang mantap berikutan peningkatan perbelanjaan isi rumah dan pengembangan aktiviti pelaburan, aktiviti eksport turut mendapat manfaat daripada peningkatan kitaran teknologi global dan pengukuhan berterusan dalam segmen barangan bukan elektrik dan elektronik.

— BERNAMA