Nilai Kontrak Syarikat Bumiputera Bagi Projek ECRL Akan Terus Meningkat – MRL

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) — Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menjangka nilai kontrak syarikat bumiputera bagi pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan terus meningkat menerusi kerja-kerja pembinaan landasan tolok duaan dari Stesen ECRL Pelabuhan Klang (Jalan Kastam) ke dermaga Westports dan Northport.

MRL berkata usaha untuk memperkasa penglibatan bumiputera dalam projek ECRL sentiasa menjadi keutamaan walaupun perkara ini tidak termaktub dalam perjanjian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) yang hanya mensyaratkan penglibatan syarikat tempatan.

“Pelbagai inisiatif telah dibuat bagi mencapai objektif seperti yang telah dinyatakan. Terkini, inisiatif tambahan yang sedang diambil oleh China Communications Construction Company Ltd (CCCC) adalah kerjasama dengan kerajaan negeri terlibat untuk penglibatan kontraktor bumiputera kategori G1 dan G2 bagi skop kerja bersesuaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MRL berkata demikian bagi mengulas laporan data penglibatan kontraktor bumiputera bagi pembinaan projek ECRL yang disiarkan portal berita baru-baru ini.

CCCC sedang dalam proses menyenarai pendek syarikat kontraktor bumiputera G1 dan G2 yang telah disyorkan oleh kerajaan negeri terlibat dan panggilan penyertaan tender akan dibuat dalam masa terdekat, katanya.

Setakat 30 Nov 2023, nilai kontrak bagi kerja-kerja pembinaan ECRL berjumlah RM13.64 bilion telah dianugerahkan kepada syarikat tempatan dan jumlah ini melepasi sasaran RM10.8 bilion yang telah dianggarkan bagi pelaksanaan projek dari 2017 hingga 2026, kata MRL.

“Jumlah ini merangkumi RM1.20 bilion bagi kerja-kerja kontrak projek ECRL di Kelantan, Terengganu (RM6.18 bilion), Pahang (RM5.62 bilion) dan Selangor sebanyak RM0.64 bilion, melibatkan sejumlah 2,801 syarikat tempatan secara keseluruhan.

“Daripada jumlah ini, kami ingin menjelaskan bahawa nilai kontrak yang telah dianugerahkan kepada pihak kontraktor, perunding dan pembekal bumiputera setakat 30 Nov 2023 sebanyak RM2.66 bilion atau 76.07 peratus daripada sasaran RM3.50 bilion,” katanya.

Menurut MRL, daripada RM2.66 bilion, sebanyak RM1.69 bilion telah dianugerahkan kepada syarikat kontraktor bumiputera, RM0.28 bilion kepada syarikat perunding bumiputera dan RM0.69 bilion kepada syarikat pembekal bumiputera.

“Jumlah RM1.69 bilion yang telah dianugerahkan kepada syarikat kontraktor bumiputera melibatkan 172 pakej kontrak (28 di Kelantan, 79 di Terengganu, 50 di Pahang dan 15 di Selangor) kepada 129 syarikat kontraktor bumiputera bagi kerja-kerja projek ECRL di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, antaranya merangkumi kerja-kerja tanah (At-Grade), kerja-kerja jambatan dan pembinaan stesen,” katanya.

MRL menjelaskan, MRL dan CCCC telah bekerjasama dengan kerajaan negeri negeri terlibat iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor untuk meningkatkan lagi penglibatan kontraktor bumiputera dalam projek ECRL sejak 2017 sehingga kini.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

IDEMIA Secure Transactions Bekerjasama Dengan PayNet Untuk Membolehkan Pembayaran Digital Masa Hadapan Di Malaysia

IDEMIA Secure Transactions (IST), peneraju global dalam perkhidmatan pembayaran dan kesalinghubungan, dengan sukacitanya mengumumkan kerjasama strategik dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), skim pembayaran nasional Malaysia, bagi menyokong pengembangan pembayaran digital di Malaysia.

IST menyokong ekosistem pembayaran digital di Malaysia dengan kerjasama PayNet, pengendali rangkaian MyDebit. Melalui kerjasama ini, bank-bank yang melayani jutaan rakyat Malaysia membolehkan kad MyDebit untuk pembayaran mudah alih, dipacu oleh platform tokenisasi canggih IST dan disokong oleh infrastruktur pembayaran domestik PayNet.

Kerjasama ini menandakan satu langkah ke hadapan bagi landskap pembayaran Malaysia, dengan 11 bank menawarkan keupayaan pembayaran digital maju kepada pemegang kad mereka. Pelanggan AmBank merupakan yang pertama menambah kad MyDebit mereka ke dompet mudah alih terkemuka untuk pembayaran jarak dekat dan dalam aplikasi yang selamat dan mudah, dengan bank lain dijangka menyusul.

Platform Token IST membolehkan rangkaian pembayaran beralih secara lancar kepada penyelesaian pembayaran digital bagi penerbit berkaitannya. Platform ini menggantikan maklumat kad sensitif secara selamat dengan pengecam unik, atau token, yang boleh digunakan untuk transaksi tanpa mendedahkan butiran kad sebenar. Ia memudahkan komunikasi dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem pembayaran digital, membolehkan pembayaran mudah alih NFC, dalam aplikasi dan dalam talian yang selamat.

Dengan memanfaatkan penyulitan AES 256, satu teknologi yang direka untuk menahan ancaman pengkomputeran kuantum yang semakin muncul, pembayaran MyDebit yang dikendalikan oleh PayNet mendapat manfaat daripada standard keselamatan tertinggi dalam pembayaran, memastikan perlindungan kukuh hari ini serta daya tahan terhadap cabaran keselamatan siber masa hadapan. Ia merupakan salah satu algoritma penyulitan paling selamat yang tersedia di pasaran setakat ini.

“Kami teruja bahawa kerjasama ini melengkapkan transaksi harian rakyat Malaysia, menggalakkan penggunaan pembayaran digital yang lebih meluas. Projek ini mengukuhkan misi kami untuk membolehkan pembayaran digital yang selamat dan lancar di seluruh dunia serta menekankan kepimpinan IST dalam tokenisasi dan pengaktifan dompet global. Pelaksanaan keselamatan AES 256 dalam persekitaran skim pembayaran domestik merupakan satu inovasi penting yang memperkukuh penawaran digital MyDebit dan menyediakan penyelesaian yang kukuh serta bersedia untuk masa hadapan bagi pembayaran digital di Malaysia,” kata Isaac LEE, Naib Presiden Pembayaran Digital bagi Asia Pasifik di IDEMIA Secure Transactions.