ARM Holdings Dijangka Meterai Perjanjian Berpangkalan Di Malaysia Minggu Depan – PM Anwar

PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama) — ARM Holdings Plc, syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK) yang menyatakan hasrat mahu berpangkalan di Malaysia bakal menandatangani perjanjian pada minggu depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau telah membincangkan perkara itu dengan ketua pegawai eksekutif syarikat tersebut secara dalam talian pada pagi tadi yang turut disertai ketua pegawai eksekutif SoftBank Group Corp, Masayoshi Son.

SoftBank merupakan syarikat pemegangan pelaburan multinasional terkemuka Jepun.

“Insya-Allah, minggu depan kita dapat selesaikan dan perjanjian akan ditandatangani,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Peletakan Logo Malaysia MADANI di rangkaian Restoran nasi Kandar Putrajaya, di sini, hari ini.

Terdahulu ketika berucap selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sekolah Sultan Alam Shah, Perdana Menteri berkata dalam soal reka bentuk dan pembikinan semikonduktor ARM merupakan antara yang cemerlang di dunia.

“ARM memilih untuk berpangkalan di Malaysia, syukur Alhamdulillah,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata pelaburan sedemikian hanya mampu dikecapi kerana Malaysia mempunyai kestabilan politik serta dasar yang jelas.

Namun, kata beliau, pelaburan besar sebegini turut memberi cabaran kepada negara dalam memastikan tenaga kerja muda profesional yang mencukupi.

“Ini ujian besar, apakah kita boleh menyediakan puluhan ribu anak muda profesional?

“Ini satu cabaran bagi anak-anak muda. Bila kita bawa pelaburan besar, tenaga kerja profesional adalah tunjang,” kata Anwar.

ARM Holdings Plc adalah syarikat reka bentuk semikonduktor dan perisian yang berpangkalan di Cambridge, England. Perniagaan utamanya adalah dalam reka bentuk unit pemprosesan pusat (CPU) yang melaksanakan set arahan seni bina ARM.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Asia Barat Kembali Tegang, Tuntut Malaysia Tingkat Usaha Bendung Ketirisan

KUALA LUMPUR: Situasi antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang kembali tegang meningkatkan semula tekanan terhadap harga minyak serta kebimbangan berterusan terhadap rantaian bekalan dan kos sara hidup akan datang.

Penganalisis melihat kesan berpanjangan konflik akan terus memberi tekanan terhadap harga minyak, rantaian bekalan dan kos sara hidup, justeru Malaysia sebagai ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan, tenaga, import makanan tertentu dan rantaian bekalan antarabangsa kekal terdedah kepada gangguan luar.

Sehubungan itu, penganalisis berpendapat bahawa langkah sedia ada yang dilaksanakan kerajaan perlu diperkukuh dengan strategi jangka panjang yang bukan saja menangani kesan segera kenaikan kos, malah membina sistem ekonomi yang kurang bergantung kepada sumber luar.

Antara langkah utama yang dicadangkan ialah memperkemas pelaksanaan rasionalisasi subsidi supaya bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan, khususnya ketika harga komoditi global terus tidak menentu.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mustazar Mansur, berkata pemberian subsidi bahan api perlu menggunakan pendekatan lebih bersasar berdasarkan keadaan kewangan sebenar rakyat, termasuk mengambil kira pendapatan boleh guna, jumlah tanggungan keluarga serta komitmen kewangan.

Beliau berkata, pendekatan itu dilihat dapat mengurangkan ketirisan apabila golongan berpendapatan tinggi tidak lagi menerima manfaat subsidi yang sama seperti kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana yang lebih terkesan dengan peningkatan kos kehidupan.

“Bagi saya, pemberian subsidi kena betul-betul bersasar. Elakkan kepada golongan maha kaya dan golongan yang berpendapatan tinggi dan mereka perlu membayar harga minyak pada harga tanpa subsidi.

“Penentuan golongan ini perlu berdasarkan kepada data atau sistem bersepadu yang mengikut pendapatan boleh guna atau pendapatan bersih selepas mengambil kira tanggungan anak-anak mereka di mana mereka berada, bekerja dan juga jumlah tanggungan dari segi liabiliti, hutang dan sebagainya,” katanya kepada BH.

Ketegangan di Asia Barat memuncak selepas serangan AS ke atas selatan Iran dan tindakan balas Tehran yang menyasarkan aset ketenteraan AS di beberapa lokasi di rantau Teluk.

Dilaporkan komando tertinggi tentera Iran mengumumkan penutupan penuh Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dunia itu kepada semua kapal susulan serangan AS.

Pada sesi dagangan semalam, niaga hadapan Brent meningkat AS$1.48 atau 1.59 peratus kepada AS$94.58 setong pada 0243 GMT, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS meningkat AS$1.71 atau 1.90 peratus kepada AS$91.74.

Mengulas lanjut, Mustazar yang juga Timbalan Pengarah Eksekutif (Pengurusan Fasiliti dan Digital), Pusat Pengurusan Penjanaan UKM berkata, kerajaan disaran mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga alternatif seperti kenderaan elektrik (EV), tenaga solar serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Beliau berkata, langkah menyediakan insentif cukai, rebat atau kemudahan pembiayaan kepada rakyat yang beralih kepada penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada petrol dan diesel dalam tempoh panjang.

Katanya, selain membantu isi rumah mengawal perbelanjaan tenaga, peralihan itu juga dapat memperkukuh agenda kelestarian negara serta mengurangkan risiko kejutan harga minyak global terhadap ekonomi domestik.

“Penggunaan tenaga solar di rumah dan tempat kerja, selain penggalakan penggunaan pengangkutan awam, boleh menjadi antara pilihan praktikal untuk rakyat mengurangkan kos harian mereka,” katanya.

Bagi industri pula, Mustazar mencadangkan supaya kerajaan mengadakan rundingan bersama pemain industri bagi mencari sumber alternatif bahan mentah dari negara yang kurang terkesan akibat konflik geopolitik.

Beliau berkata, pendekatan meja bulat antara kerajaan dan industri boleh membantu mengenal pasti penyelesaian lebih cepat sebelum tekanan kos merebak kepada pengguna akhir.

Katanya, sektor industri dan perniagaan perlu diberi perhatian kerana peningkatan kos bahan mentah, logistik dan tenaga boleh memberi kesan besar kepada operasi syarikat.

“Sekiranya tekanan kos berterusan tanpa intervensi, syarikat mungkin terpaksa mengurangkan operasi bagi mengekalkan kelangsungan perniagaan, sekali gus memberi risiko kepada peluang pekerjaan rakyat,” katanya.

— Berita Harian