Dividen Sama Rata Tonjol Kekuatan Pelaburan Syariah – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) — Dividen 6.30 peratus yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk akaun syariah bagi 2024 melibatkan jumlah agihan sebanyak RM10.19 bilion menjadi bukti pelaburan patuh syariah itu mempunyai potensi kukuh dalam menghasilkan pulangan, kata seorang ahli ekonomi.

Ahli ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata ini merupakan satu senario yang menarik kerana ramai menganggap pelaburan patuh syariah tersebut lebih sukar untuk diuruskan.

Sehubungan itu, katanya, pelaburan patuh syariah dianggap memberikan pulangan yang lebih rendah.

“Tahun ini, KWSP membuktikan pelaburan patuh syariah mempunyai potensi yang sama besar dalam menghasilkan pulangan. Ini boleh menjadi petunjuk kepada pasaran global iaitu pelaburan berasaskan syariah juga menarik dan mungkin mencapai prestasi yang lebih tinggi pada masa depan.

“Ini menandakan permulaan era baharu bagi peluang pelaburan,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, KWSP mengumumkan kadar dividen yang lebih tinggi iaitu sebanyak 6.30 peratus untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi 2024, menjadikan jumlah agihan sebanyak RM73.24 bilion.

Prestasi tersebut dikaitkan dengan pemulihan pasaran global dan domestik, pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta pengurusan portfolio yang baik.

Bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2024, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion, meningkat sebanyak 11 peratus berbanding RM66.99 bilion pada 2023.

Peningkatan Keyakinan Pelabur terhadap Dana Shariah

Sementara itu, menyuarakan pendapat yang sama, Profesor Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin dari Jabatan Ekonomi, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpendapat dividen yang sama rata ini akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap dana syariah KWSP.

Selain menarik lebih ramai ahli untuk memilih simpanan patuh syariah, ia juga akan menggalakkan pengagihan yang lebih besar ke dalam sektor patuh syariah yang berprestasi tinggi seperti teknologi, penjagaan kesihatan dan tenaga boleh baharu.

Sebagai tindak balas terhadap permintaan yang semakin meningkat untuk produk kewangan Islam, KWSP boleh mengembangkan asas aset patuh syariahnya.

“Dividen sama rata ini mungkin merupakan langkah pertama ke arah merapatkan jurang di antara kewangan Islam dengan konvensional, mengukuhkan idea iaitu pelaburan beretika boleh menghasilkan pulangan yang kompetitif,” katanya.

Beliau juga menekankan ini mungkin menggalakkan lebih ramai pelabur institusi untuk mempertimbangkan pelaburan patuh syariah, seterusnya merangsang pertumbuhan dalam sektor kewangan Islam di Malaysia.

 Beliau berkata produk kewangan Islam dilindungi daripada risiko berlebihan dan aktiviti spekulatif serta secara sejarahnya menunjukkan daya tahan semasa krisis kewangan.

Kebergantungannya pada pelaburan berasaskan aset, mekanisme perkongsian risiko dan larangan riba (faedah) membantu mengurangkan turun naik selain menjadikannya lebih stabil dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Kestabilan ini mungkin menyumbang kepada pulangan yang lebih kukuh untuk portfolio patuh syariah KWSP khususnya pada waktu ketidaktentuan pasaran global.

“Sehubungan itu, sifat pelaburan Islam yang mengurangkan risiko mungkin menjadi faktor utama di sebalik kadar dividen yang sama rata untuk akaun syariah dan konvensional KWSP pada 2024,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Telekom Malaysia: Permulaan Yang Memuaskan

Saranan BELI dan harga sasar (TP) MYR9.30 melalui DCF dikekalkan, potensi kenaikan harga saham 27% dan kadar dividen sekitar 5%

Keputusan 1Q26 yang dicatat oleh Telekom Malaysia (TM) menepati jangkaan dengan DPS sulung sementara pertama sebanyak 6.5 sen/saham diumumkan sebagai sebahagian daripada dasar bayaran dividen barunya. Kami berpendapat bahawa tumpuan teliti pada kos dan pemacu pertumbuhan jangka panjang akan menyokong CAGR perolehan teras FY26F-28F pada14%. TP kami (termasuk premium ESG 4%) menandakan EV/EBITDA 6.6x, seiring dengan purata lampau jangka panjangnya.

Permulaan bermusim; dividen suku tahun sulung

Untung teras bersih 1Q26 bertambah baik (+20.1% QoQ/+11.7% YoY) berikutan kos pembiayaan lebih rendah dan opex yang biasanya lebih tinggi pada 4Q25. Keputusan ini merangkumi 25% daripada ramalan FY26 kami (konsensus: 24%). DPS sementara pertama sebanyak 6.5sen/saham (dibayar pada 25 Jun) bermakna nisbah bayaran dividen (DPR) mencecah 78%. Walaupun hal ini melebihi sedikit pengumuman dasar dividen baru dengan bayaran sekurang-kurangnya 75% daripada perolehan yang dilaporkan, pihak pengurusan menekankan bahawa bayaran sukuan tahun tertakluk pada turun naik perolehan.

Pengurangan kiraan prabayaran 5G (bukan tunai)

EBIT teras (diselaraskan untuk pengurangan prabayaran 5G sebanyak MYR127.3j, kos peralihan kerjaya/skim pemisahan sukarela (VSS) yang tidak didedahkan dan juga FX) meningkat 9.8% QoQ (+8% YoY), ekoran kos peranti lebih rendah dan langkah kawalan kos yang cermat, dan kami percaya adanya sedikit penjimatan kos kakitangan daripada VSS sebelum ini. EBIT yang dilaporkan (bayangan TM dibuat berdasarkan hal ini) jatuh 22% YoY.

Hasil internet sedikit lebih rendah QoQ

Apabila asas langganan yang stabil mengimbangi ARPU lebih rendah sementara persaingan kekal rancak. Hasil TM Global (segmen borong) juga menyusut (-21% QoQ) disebabkan oleh asas perbandingan lebih tinggi pada 4Q25 dengan lebih 8 ribu tapak rangkaian belakang mudah alih dipasang. Sementara itu, hasil perusahaan (TM One) menyaksikan kenaikan kecil YoY – pertama kali sejak 3Q24. Kami meramalkan pertumbuhan segmen borong dan perolehan disokong oleh keupayaan pusat data (DC) yang lebih besar (kira-kira 40MW) dan permulaan operasi DC TM-Nxera pada 2H26 yang melibatkan lebih 60% daripada kapasiti 64MW (Fasa 1) dikontrakkan.

Penamatan akses 5G borong sedang melalui proses penyelesaian pertikaian

Berkenaan penamatan akses 5G borong untuk TM dengan Digital Nasional Berhad (DNB), TM berkata ia berada dalam hak kontraknya untuk berbuat demikian menerusi proses mekanisme pertikaian yang sedang berjalan demi menyelesaikan perselisihan. Sementara penyelesaian yang dipersetujui bersama dicapai (memandangkan TM juga merupakan penyedia gentian rangkaian belakang terbesar untuk DNB), kami tidak menolak kemungkinan denda dikenakan untuk penamatan ini. TM ingin beralih ke rangkaian 5G milik U Mobile pada kemudian tahun ini.

Ramalan dan penilaian

Ramalan kami dikekalkan dengan TP sama MYR9.30 (WACC: 8.2%). Hal ini bermakna EV/EBITDA hadapan sebanyak 6.6x, yang setara dengan purata EV/EBITDA lampaunya. Kami meramal perolehan akan disokong oleh ROIC yang lebih baik, potensi kenaikan daripada pengurusan modal dan pertumbuhan perolehan jangka panjang. Risiko-risiko utama ialah persaingan gentian runcit, perolehan lebih lemah daripada jangkaan, kekangan dasar dan capex lebih tinggi daripada anggaran.

Asas Penilaian

Kaedah DCF (WACC: 8.2%, TG: 0.5%)

Faktor Pemacu Utama

i. Pendapatan borong dan perusahaan meningkat dengan lebih kukuh
ii. Sumbangan DC berkembang
iii. Langkah mengoptimumkan kos

Risiko Utama

i. Persaingan rangkaian FBB runcit semakin rancak
ii. Perolehan lebih lemah daripada jangkaan
iii. Perkembangan dasar yang buruk

Profil Syarikat

Telekom Malaysia merupakan penyedia jalur lebar dan talian tetap utama di Malaysia yang memiliki prasarana gentian dan rangkaian kabel bawah laut antarabangsa yang terluas di dalam negara.

Carta Saranan

Penganalisis
Jeffrey Tan +603 2302 8112 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.