Bank Negara Malaysia Dijangka Naikkan OPR Sekali Lagi – Moody’s

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.25 peratus pada Mesyuarat Dasar Monetari (MPC) keempatnya pada minggu ini, kata Moody’s Analytics.

Mesyuarat MPC dua hari BNM dijadualkan bermula esok.

Sementara itu, MIDF Research berkata BNM akan “mempertimbangkan untuk satu lagi kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas” berikutan peningkatan berterusan dalam inflasi teras, sekali gus mencerminkan permintaan dalam negeri yang kukuh.

“Selain itu, momentum positif dalam jualan perdagangan pengedaran, penurunan kadar pengangguran kepada tahap rendah baharu pandemik iaitu 3.9 peratus pada 22 April 2022 serta kadar pengembangan dua angka perdagangan luar memberikan tanda-tanda positif terhadap pemulihan kukuh ekonomi,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Pada mesyuarat MPC ketiga yang diadakan pada bulan Mei, bank pusat itu telah menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus. Kadar siling dan lantai bagi koridor OPR juga masing-masing meningkat kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.

Ia berkata pembukaan semula ekonomi global yang berterusan dan peningkatan dalam keadaan pasaran buruh terus menyokong pemulihan aktiviti ekonomi.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/bank-negara-malaysia-dijangka-naikkan-opr-sekali-lagi-moodys/

Previous ArticleNext Article

Petronas Mungkin Kehilangan Sebahagian Pendapatan Kerana Tidak Menjadi Agregator Gas Tunggal Di Sarawak

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama)– Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dijangka kehilangan sebahagian daripada pendapatannya kerana tidak lagi menjadi pengagregat gas tunggal di Sarawak, kata RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

Dalam nota penyelidikan hari ini, bank itu berkata terdapat banyak perbincangan mengenai Petronas yang dijangka memotong perbelanjaan modal (capex) berikutan berita Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan mengambil alih pembelian dan penjualan gas asli Sarawak daripada Petronas.

Pengambilalihan itu akan bermula pada separuh kedua 2024.

“Kami mungkin menyaksikan beberapa potensi dalam gangguan operasi bagi tempoh terdekat sebelum banyak kejelasan atau penyelesaian jelas dicapai antara Petros dan Petronas.

“Bagaimanapun, kami percaya bahawa pada akhirnya kedua-dua pihak mahu memaksimumkan pengeluaran, terutamanya apabila harga minyak dijangka kekal stabil,” tambahnya.

Selain itu, RHB IB berpendapat pemotongan capex domestik yang drastik oleh satu pihak adalah tidak mampan dalam jangka panjang kerana ia akhirnya akan menjejaskan kedudukan minyak dan gas (O&G) Malaysia di rantau ini.

Sebelum ini Petronas memperuntukkan capex sebanyak RM300 bilion antara 2023 dan 2027 (RM50 bilion setahun) yang merangkumi perbelanjaan modal purata domestik RM22.6 bilion setahun (capex lima tahun RM113 bilion).

Bank pelaburan itu berkata Petronas memperuntukkan capex sebanyak RM52.8 bilion pada tahun kewangan 2023, dengan pembahagian yang hampir sama untuk portfolio domestik dan antarabangsanya.

“Segmen huluan dan gas masing-masing menyumbang 52 peratus dan 22 peratus daripada capex domestik, dan pemindahan peranan pengumpul gas tunggal kepada Petros mungkin membawa kepada pemotongan capex yang lebih ketara dalam segmen gas.

“Walaupun kami mungkin melihat beberapa gangguan operasi yang berpotensi dalam tempoh terdekat, kami masih menganggap resolusi yang perlu dicapai antara kedua-dua pihak terbabit tanpa menjejaskan pengeluaran sedia ada dan pelaburan domestik masa depan untuk memperoleh permintaan gas global yang semakin meningkat,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata impak pendapatan terhadap Petronas juga kekal tidak menentu, tetapi langkah itu mungkin menjejaskan keupayaannya untuk berbelanja.

Secara keseluruhannya, walaupun terdapat ketidaktentuan yang semakin meningkat terhadap hala tuju dan strategi Petronas, RHB IB masih mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor O&G.

Buat masa ini, bank pelaburan itu terus memihak kepada pemain perkhidmatan huluan dengan pendedahan yang lebih besar dalam bidang berkaitan penyelenggaraan, kerana ia memberikan daya tahan dalam pendapatan yang lebih besar, ditambah pula dengan syarikat yang memiliki kepelbagaian antarabangsa seperti Yinson, MISC dan Bumi Armada.

–BERNAMA