Brent Diniagakan Rendah Pada Purata US$70 Setong Di Tengah-Tengah Lebihan Bekalan Pada 2025

BRENT DINIAGAKAN RENDAH PADA PURATA US$70 SETONG DI TENGAH-TENGAH LEBIHAN BEKALAN PADA 2025

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) — Harga minyak mentah Brent dijangka lebih rendah pada purata US$70 setong pada 2025 di tengah-tengah persekitaran lebihan bekalan, seperti yang diunjurkan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA).

Dalam nota penyelidikan hari ini, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) berkata unjuran harga purata yang lebih lemah, berbanding dengan harga US$80 setong tahun lepas disebabkan oleh pengeluar Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan Sekutunya (Opec+) akan melaksanakan rancangan mereka untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 2.2 juta tong sehari (bpd) selama 18 bulan bermula dari April 2025.

“Ini boleh menyebabkan peningkatan inventori pada 2025 dan memberi tekanan ke bawah untuk harga minyak,” katanya.

Pada masa ini, OPEC+ mengurangkan pengeluaran sebanyak 5.86 juta tong sehari yang mewakili kira-kira 6.0 peratus daripada permintaan minyak global, berdasarkan janji yang dibuat sejak 2022.

Maybank IB menekankan bahawa IEA dalam Laporan Pasaran Minyak Disember 2024, menjangkakan bekalan minyak mentah meningkat kepada 104.8 juta tong sehari pada 2025, walaupun tanpa membatalkan pemotongan daripada OPEC+.

“Pertubuhan itu juga mengunjurkan penggunaan akan meningkat kepada 103.9 juta bpd, naik sebanyak 1.1 juta bpd pada 2025,” katanya.

Maybank IB berkata EIA menerusi laporan Tinjauan Tenaga Jangka Pendek Nov 2024 mengunjurkan lebihan minyak mentah bersih pada 2025 dengan pengeluaran global pada 104.66 juta bpd, mengatasi 104.36 juta bpd.

“Ini menghasilkan lebihan sebanyak 0.3 juta bpd pada 2025,” katanya.

Dari segi sektor, Maybank IB mengekalkan pendirian positif terhadap sektor minyak dan gas tetapi bersifat selektif terhadap industri pertengahan yang defensif dan kapal penyimpanan, pengeluaran dan pemunggahan terapung (FPSO) seperti Dialog Group Bhd dan Bumi Armada Bhd.

“Kami melihat potensi yang cerah dalam pasaran FPSO global kerana syarikat penyelidikan tenaga bebas yang berpangkalan di Norway, Rystad Energy menganggarkan pengeluaran luar pesisir akan dipacu oleh perairan laut dalam (kedalaman 125-1,500 meter) dan perairan sangat dalam (kedalaman lebih 1,500 meter) dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) masing-masing sebanyak 2.2 peratus dan 8.0 peratus dari 2024-2030,” katanya.

Maybank IB berkata Rystad juga mengunjurkan sejumlah 64 anugerah FPSO dari 2025-2030.

“Yinson Holdings Bhd dan Bumi Armada adalah penerima manfaat daripada kitaran menaik ini.

“Bagaimanapun, di dalam negara pula, peralihan tanggungjawab dan kawalan perdagangan gas kepada Petroleum Sarawak Bhd (Petros) daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) boleh memberi kesan kepada hasil dan aliran tunai syarikat minyak negara,” katanya.

Maybank IB berkata penangguhan perbelanjaan modal Petronas mungkin disebabkan sebahagian besar daripada hasil perniagaannya telah hilang.

“Sehubungan itu, projek penerokaan dan kerja-kerja pengeluaran selanjutnya mungkin ditangguhkan sehingga kedua-dua pihak mencapai resolusi bersama.

“Kami menjangkakan ini memberi kesan kepada pemain perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas yang terdedah dalam subsegmen penerokaan & pembangunan – terutamanya kapal sokongan luar pesisir, fabrikasi luar pesisir, pelantar penggerudian & penyambungan serta pentauliahan,” tambahnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA