Projek HSR Boleh Dihidupkan Semula Dengan Penyertaan Sepenuhnya Pihak Swasta – PM Anwar Ibrahim

PROJEK HSR BOLEH DIHIDUPKAN SEMULA DENGAN PENYERTAAN SEPENUHNYA PIHAK SWASTA – PM ANWAR

PUTRAJAYA, 7 Jan (Bernama) —  Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura boleh dihidupkan semula sekiranya terdapat penyertaan sepenuhnya daripada sektor swasta, dengan penglibatan kerajaan yang sangat minimum, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan berhasrat mempelawa penyertaan sektor swasta kerana peruntukan perbelanjaan kerajaan mempunyai hadnya dan ketika ini masih menunggu cadangan yang berpotensi.

“Kita (kerajaan) perlu memberikan keutamaan kepada usaha membasmi kemiskinan, tebatan banjir, isu infrastruktur asas, pendidikan dan kesihatan awam sekurang-kurangnya bagi tempoh satu atau dua tahun lagi, jadi projek mega terpaksa ditangguhkan kerana komitmen untuk menyelesaikan isu tertunggak.

“Kami masih menunggu penyertaan yang positif dan berpotensi daripada sektor swasta untuk diteruskan apabila perlu…sudah ada beberapa cadangan dan pasukan petugas sedang menelitinya,” kata beliau pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong.

Wong berada di sini sempena lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia yang bermula semalam.

Sementara itu, Wong berkata kerajaan Singapura terbuka menerima sebarang cadangan baharu daripada Malaysia berkaitan pelaksanaan semula projek HSR KL-Singapura.

“Malang sekali kita tidak dapat meneruskan rancangan pada asalnya. Bagi kami, hubungan yang lebih erat antara kedua-dua negara kita sentiasa menjadi kelebihan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian