Cukai Barangan Mewah Bukan Alternatif Kepada GST – Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) — Cukai barangan mewah yang akan diperkenalkan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023, bukanlah alternatif kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong.

Ketika menegaskan perkara itu, beliau berkata Kementerian Kewangan (MOF) juga sedang memperhalusi cadangan pelaksanaan cukai berkenaan, termasuk struktur percukaian seperti jenis barang yang dikategorikan sebagai barangan mewah, nilai ambang mengenakan cukai tersebut serta kadar terbabit. 

“Kaedah pengenaan cukai juga sedang diperhalusi sama ada memperkenalkan cukai baharu atau memperluas skop sistem percukaian sedia ada,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Negara, hari ini.

Berikutan itu, Sim berkata MOF sedang giat mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk pengilang, peruncit dan industri pelancongan dalam memastikan cadangan pelaksanaan cukai barangan mewah itu dapat diterima baik oleh semua pihak, mudah dilaksanakan dan tidak memberi kesan negatif ke atas sektor perlancongan dan peruncitan negara.

“Ia diperkenalkan bagi mengenakan cukai ke atas barangan yang dianggap bukan keperluan dan dibeli oleh golongan berkemampuan dan berpendapatan tinggi,” katanya. 

Jelas beliau, prinsip perluasan asas cukai adalah untuk meningkatkan hasil negara tanpa membebankan golongan yang kurang berkemampuan. 

Justeru, katanya, kerajaan belum bercadang untuk memperkenalkan semula GST kerana sebarang perubahan dasar berkaitan cukai akan memberi kesan bukan sahaja kepada ekonomi, malah ke atas kos sara hidup rakyat. 

“Ketika rakyat bergelut dengan pelbagai cabaran kos sara hidup dalam fasa pemulihan pasca pandemik COVID-19 ini termasuk kadar inflasi, ini bukanlah masa yang sesuai untuk pengenalan semula GST,” katanya.

 Beliau berkata, kerajaan juga sememangnya menjalankan kajian berterusan dalam meneliti secara menyeluruh satu sistem percukaian yang seimbang, adil dan saksama supaya dapat menyokong dan meningkatkan kutipan hasil cukai negara tanpa membebankan rakyat selain berdaya saing terhadap ekonomi negara. 

Menyentuh Belanjawan 2023, Sim berkata ianya menyasarkan bantuan yang lebih strategik, berkesan dan bersasar kepada golongan memerlukan dengan mempertimbang keadaan inflasi dan ekonomi negara.

“Belanjawan 2023 juga bertujuan membina semula golongan (berpendapatan sederhana) M40 yang amat terjejas sejak lebih dua tahun akibat pandemik COVID-19 yang mana pendapatan mereka turun lebih daripada 50 peratus, di samping membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya. 

Persidangan Dewan Negara pada Rabu telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) tanpa pindaan dengan lebih suara yang bersetuju.  

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA