MBSB Bank Tawar Kemudahan Patuh Syariah FSA2 Kepada Pencarum KWSP

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) — MBSB Bank Bhd menawarkan kemudahan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) patuh Syariah Ihsan-i kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula 7 April 2023.

Bank itu berkata kemudahan Ihsan-i yang disediakan bertujuan membantu ahli KWSP yang berusia 40 hingga 55 tahun yang memiliki i-Akaun KWSP dan mempunyai sekurang-kurangnya RM3,000 di dalam Akaun 2 untuk mendapatkan pembiayaan peribadi patuh syariah dengan kadar kompetitif. 

Jumlah pembiayaan maksimum adalah RM50,000 dengan tempoh pembayaran sehingga 10 tahun, kata Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Nor Azam M. Taib.

“Pembayaran ansuran bulanan Ihsan-i pada tahun pertama adalah lebih rendah kerana pelanggan hanya perlu membayar kadar keuntungan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ihsan-i oleh MBSB Bank berlandaskan Syariah dan mengguna pakai konsep Tawarruq dan antara kelebihannya adalah kadar keuntungan yang rendah, tiada caj proses dan tiada caj penamatan awal. 

Ihsan-i juga akan memberi rebat atau Ibra’ atas kadar keuntungan bank sekiranya pembayaran baki pembiayaan ditamatkan lebih awal daripada tempoh yang dipersetujui.

Permohonan boleh dibuat dalam talian melalui laman sesawang www.fsa2mbsbbank.com bermula 7 April 2023.

Kelulusan pembiayaan adalah tertakluk kepada kelayakan pembiayaan dan kedudukan kredit para pemohon. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pelaburan KWSP Dalam MAHB Untuk Sokong Pembayaran Dividen


KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) — Keputusan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk aktiviti dagangan melibatkan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) adalah berdasarkan analisis menyeluruh untuk memberikan nilai kepada ahli KWSP.

Aktiviti dagangan ini menyokong matlamat pelaburan KWSP yang lebih luas dan bertujuan untuk menjana pendapatan yang diperlukan bagi pembayaran dividen dalam tahun kewangan tertentu, kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

KWSP berkata keputusan terkini untuk membuat tawaran am sukarela bagi saham MAHB pada harga RM11 sesaham sebagai sebahagian daripada konsortium itu mencerminkan rancangan strategik jangka panjang yang berasingan untuk mencapai pertumbuhan dan pulangan yang mampan.

Sebagai institusi yang komited terhadap tadbir urus yang baik, KWSP juga melaksanakan polisi “Chinese Wall” bagi memastikan pengurus dana tidak mempunyai akses kepada sebarang maklumat penting yang tidak didedahkan kepada umum, seperti tawaran pengambilalihan yang mungkin berlaku.

“Polisi ini bertindak sebagai penghalang maklumat antara jabatan yang berbeza dalam KWSP, menghalang pendedahan maklumat material yang tidak didedahkan kepada umum dan mengekalkan integriti aktiviti pasaran,” katanya.

KWSP, seperti kebanyakan pelabur institusi besar lain yang mempunyai polisi “Chinese Wall”, memisahkan pasukan yang menguruskan kerjasama strategik atau urusan sulit dengan pasukan yang mengurus pelaburan dalam ekuiti awam.

Polisi itu menetapkan sempadan yang ketat antara pasukan yang mempunyai akses kepada maklumat material yang tidak didedahkan kepada umum dan pasukan yang terlibat dalam pasaran awam.

“Ini bagi memastikan keputusan yang dibuat oleh pengurus dana adalah berdasarkan maklumat yang tersedia kepada umum sahaja, mengelakkan sebarang kelebihan tidak adil atau dagangan orang dalam.            “Langkah ini melindungi integriti operasi KWSP dan mengekalkan kepercayaan terhadap amalan tadbir urusnya,” katanya.

KWSP menjadi pemegang saham MAHB sejak 30 November 1999, apabila syarikat tersebut disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM2.50 sesaham.

Selama 24 tahun, KWSP telah menguruskan pelaburannya dalam MAHB berpandukan rangka kerja dan strategi jual beli saham yang teliti bagi memastikan pulangan yang optimum untuk ahlinya.

— BERNAMA

TAG: KWSP, MAHB, saham, aktiviti dagangan, dividen, polisi Chinese Wall, tadbir urus, ahli