Dasar Jelas Pacu Keyakinan Pelabur Menjelang 2026

KUALA LUMPUR: Malaysia melangkah ke tahun 2026 dengan dasar dan pelan hala tuju struktur yang jelas dijangka terus memberi keyakinan kepada pelabur dan menyokong prospek positif ekonomi negara tahun depan, kata penganalisis.

Memasuki 2026, landskap ekonomi Malaysia didukung oleh pelan pembangunan jangka sederhana dan panjang yang menyasarkan transformasi ekonomi bernilai tinggi.

Contohnya, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi penekanan kepada pendigitalan, pembangunan industri bernilai tinggi, mobiliti sosial dan kelestarian.

Tumpuan itu dilihat sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau kecerdasan buatan (AI) dan teknologi berimpak tinggi.

Sementara dalam sektor perindustrian, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) pula menyasarkan transformasi sektor pembuatan kepada ekosistem berteknologi tinggi dan bersepadu secara digital, dengan fokus kepada automasi, pembuatan termaju serta penciptaan nilai berasaskan teknologi.

Philip Capital dalam nota penyelidikannya berkata, permintaan domestik Malaysia kekal berdaya tahan di tengah-tengah tekanan luaran dengan penggunaan swasta dijangka kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama pada 2026, disokong oleh pasaran buruh yang kukuh.

“Kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar menyederhana kepada 4.5 peratus pada 2026, masih sejajar dengan unjuran rasmi 4.0 peratus hingga 4.5 peratus.

“Inisiatif strategik di bawah RMK-13, yang bertujuan untuk mengukuhkan asas ekonomi, dijangka menyokong pertumbuhan yang mampan dan memperkukuh pasaran ekuiti pada 2026,” katanya.

Di samping itu, Philip Capital berkata, penggunaan platform MyKasih oleh kerajaan untuk menyalurkan bantuan tunai yang disasarkan telah meningkatkan kecekapan subsidi dan mengurangkan ketirisan.

Pada masa sama, katanya, fasa kedua pelarasan gaji kakitangan awam pada Januari 2026 sepatutnya menawarkan sokongan lanjut kepada penggunaan.

“Memandangkan potensi kadar pengangguran yang lebih rendah, penggunaan swasta Malaysia dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara pada 2026,” katanya.

Dari segi fiskal, Philip Capital berkata, Belanjawan 2026 memperkenalkan langkah untuk mengukuhkan asas ekonomi sambil menetapkan peringkat pelaksanaan RMK13.

Ia berkata, perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM81 bilion nampaknya tidak berubah secara umumnya berbanding RM80 bilion yang disemak pada tahun 2025, mencerminkan usaha untuk mengelak daripada menyesakkan pelaburan swasta dan bukannya menarik balik sokongan terhadap pertumbuhan.

Katanya, dengan pelaburan swasta kekal kukuh, pertumbuhan sederhana dalam perbelanjaan awam tidak mungkin mempengaruhi keseluruhan aktiviti ekonomi.

Menurutnya, infrastruktur kekal menjadi keutamaan utama, disokong oleh projek akan datang seperti LRT Pulau Pinang, Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor dan pembinaan jalan raya di Sabah dan Sarawak.

“Ini juga memberikan kerajaan sedikit fleksibiliti fiskal untuk mengurangkan defisit belanjawannya. Defisit fiskal dijangka menurun kepada 3.5 peratus pada 2026 (jangkaan 2025: 3.8 peratus), menghampiri purata lima tahun sebelum COVID-19 sebanyak 3.3 peratus,” katanya.

Previous ArticleNext Article

ADB Naikkan Unjuran Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Kepada 4.6 Peratus

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak 4.6 peratus sebelum meningkat sedikit kepada 4.7 peratus pada 2027, menurut Bank Pembangunan Asia (ADB).

Angka ini lebih baik berbanding unjuran ADB pada Disember sebanyak 4.3 peratus.

ADB dalam laporan terbaharu Tinjauan Pembangunan Asia berkata, kesan yang tertangguh daripada reformasi cukai serta langkah perdagangan yang lebih ketat diperkenalkan pada 2025 dijangka memberikan impak kepada ekonomi dalam jangka terdekat.

“Menjelang 2027, walaupun cabaran luaran mungkin berterusan, inisiatif yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka menyokong pertumbuhan,” kata laporan itu.

Unjuran ADB ini selari dengan Bank Dunia, Bank Negara Malaysia (BNM) dan unjuran rasmi kerajaan.

BNM mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara empat hingga lima peratus, manakala unjuran Kementerian Kewangan adalah sekitar empat hingga 4.5 peratus.

Bank Dunia semalam menaikkan unjuran kepada 4.4 peratus daripada 4.1 peratus.

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2025, melebihi unjuran rasmi awal antara empat hingga 4.8 peratus.

ADB menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia akan disokong oleh pelaburan besar berjumlah RM611 bilion, namun memberi amaran mengenai risiko penurunan yang ketara sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan.

Sementara itu, inflasi dijangka kekal terkawal, memandangkan kesan limpahan daripada reformasi dasar fiskal setakat ini masih dapat dibendung.

Namun, tekanan kenaikan mungkin datang daripada pelarasan tarif serta kesan tertangguh daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang lebih tinggi.

Selain itu, kenaikan harga minyak boleh meningkatkan kos pengeluaran dan akhirnya membawa kepada harga barangan yang lebih tinggi.

Inflasi diunjurkan pada 1.8 peratus pada 2026 dan 1.9 peratus pada 2027.

Sementara itu, ringgit dijangka mengukuh, dengan purata sedikit melebihi paras RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), mencerminkan keyakinan yang lebih kukuh terhadap ekonomi domestik dan persekitaran pelaburan.

Ringgit yang lebih kukuh boleh mengurangkan kos import bagi sektor yang dipacu domestik, namun mungkin memberi cabaran kepada industri eksport yang pendapatannya banyak dalam dolar AS.

Prospek perniagaan pula kekal optimistik secara berhati-hati, dengan keadaan semakin stabil selepas ketidaktentuan pada pertengahan 2025 dan firma melaporkan pemulihan pengeluaran serta kos yang lebih terkawal, berdasarkan Tinjauan Kecenderungan Perniagaan suku pertama 2026.

Langkah kerajaan untuk mengurangkan risiko termasuk peruntukan tambahan RM2.5 bilion bagi dana perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bank pusat serta peralihan yang dirancang ke arah pembiayaan berjamin sebanyak RM10 bilion.

Penggunaan domestik dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan, selain pelarasan gaji penjawat awam selain program bantuan sosial yang menyediakan antara RM50 hingga RM200 kepada penerima yang layak.

Namun begitu, kenaikan harga akibat kesan tertangguh daripada peluasan SST mungkin mengehadkan perbelanjaan budi bicara, manakala peningkatan beban subsidi bahan api telah mendorong pengurangan kuota bahan api bersubsidi bulanan daripada 300 kepada 200 liter bagi setiap warganegara.