Harga Minyak Melonjak Susulan Laporan Serangan Israel Di Doha

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) — Harga minyak melonjak susulan laporan Doha, ibu negara Qatar, menjadi sasaran serangan udara Israel atas alasan menyasarkan pemimpin Hamas.


Setakat pagi ini, minyak mentah Brent meningkat 0.56 peratus kepada US$66.39 setong manakala minak mentah WTI menokok 0.54 peratus kepada US$62.97 setong (US$1 = RM4.21).


Ketua Analisis Geopolitik Rystad Energy Jorge Leon berkata tindakan Israel itu hanya menjadi satu lagi tindakan yang memburukkan lagi ketegangan di Timur Tengah.

“Risiko penularan krisis itu ke seluruh rantau semakin ketara. Sebahagian besarnya akan bergantung kepada tindak balas Qatar yang juga sekutu rapat Amerika Syarikat dan anggota utama Majlis Kerjasama Teluk (GCC).


“Tindakan Qatar seterusnya akan membentuk trajektori dinamik serantau,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.


Beliau turut mengingatkan sebarang impak itu akan memburukkan lagi ketegangan di seluruh rantau Teluk, malah melangkaui wilayah itu yang membuktikan keadaan genting ketika ini.

“Rundingan (membabitkan pihak Hamas) yang sememangnya goyah sebelum ini, kini kelihatan tertutup terus dan hanya menyuramkan lagi prospek bagi menyelesaikan krisis itu dalam masa terdekat,” kata Jorge.


Dalam pada itu, Qatar telah mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel yang menyasarkan bangunan kediaman beberapa anggota Biro Politik Hamas di Doha dan menyifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap semua undang-undang dan norma antarabangsa selain menjadi ancaman serius ke atas keselamatan rakyat Qatar dan warga asing di negara itu.


— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PMKS Boleh Mula Mohon Program PMKS Tahun 2026 Di Bawah SME Corp. Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 Februari 2026 – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kini boleh mula mengemukakan permohonan untuk program tahun 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) oleh SME Corp. Malaysia, agensi Kementerian

Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Sesi perkongsian oleh YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia bersama PMKS serta wakil persatuan dan dewan perniagaan berkenaan program tersebut telah berlangsung semasa Hari Terbuka@Hab PMKS pada 29 Januari 2026 di SME Corp. Malaysia, Platinum Sentral, Kuala Lumpur.                                                                                                                                             

RMK13 (2026 – 2030) telah menggariskan agenda penskalaan (scale up) PMKS dengan matlamat untuk menaik taraf saiz PMKS daripada mikro kepada kecil dan seterusnya sederhana. Menurut YBrs. Encik Rizal, “Sebanyak RM117 juta telah diperuntukkan bagi SME Corp. Malaysia melaksanakan lapan (8) program untuk PMKS yang merangkumi aspek pertumbuhan tinggi dan keterangkuman. Penskalaan PMKS merupakan agenda utama Kerajaan dalam usaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi serta membentuk ekosistem PMKS yang lebih berdaya tahan serta berdaya saing. Sasarannya adalah untuk meningkatkan jumlah firma sederhana daripada 1.6% kepada 5% menjelang tahun 2030, yang dijangka berupaya melonjakkan sumbangan KDNK PMKS sehingga RM1 trilion.”

Hari Terbuka@Hab PMKS ini merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan bagi meningkatkan fungsi SME Corp. Malaysia sebagai pusat rujukan utama untuk maklumat serta khidmat nasihat perniagaan PMKS. Sejak dilaksanakan pada Januari 2024, inisiatif ini telah memberi manfaat kepada lebih 100 PMKS setiap bulan melalui kerjasama strategik melibatkan pelbagai Kementerian dan Agensi Kerajaan berkaitan serta pihak swasta.

Hadir sama ke Hari Terbuka@Hab PMKS bagi bulan Januari 2026 adalah YBhg. Tan Sri

Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok, Pengerusi SME Corp. Malaysia, YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, YBhg. Datuk William

Ng, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Encik Mohd Azamanizam Baharon, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) serta wakil daripada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM), Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil, Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Peniagawati) dan pelbagai persatuan dan dewan perniagaan. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini, PMKS boleh melayari laman sesawang di pautan www.smecorp.gov.my dan saluran media sosial rasmi SME Corp. Malaysia atau berkunjung ke Hab PMKS di Ibu Pejabat dan 12 Pejabat Negeri di seluruh negara.