Pengeluaran MSM Malaysia Naik 2.35 Peratus Pada Ogos, Eksport Minyak Sawit Turun 0.29 Peratus

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) — Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Malaysia meningkat sebanyak 2.35 peratus bulan ke bulan kepada 1.86 juta tan pada Ogos daripada 1.81 juta tan pada Julai, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Namun, eksport minyak sawit negara mencatatkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 0.29 peratus kepada 1.32 juta tan pada bulan lepas daripada 1.33 juta tan pada bulan sebelumnya.


Kata MPOB dalam Laporan Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia Ogos 2025, pengeluaran isirung sawit meningkat sebanyak 2.66 peratus bulan ke bulan kepada 443,077 tan daripada 431,615 tan pada Julai.

Sementara itu, pengeluaran minyak isirung sawit mentah menurun sebanyak 4.39 peratus bulan ke bulan kepada 208,655 tan daripada 218,239 tan sebelumnya manakala dedak isirung sawit susut sebanyak 4.63 peratus bulan ke bulan kepada 227,473 tan daripada 238,511 tan.


Mengenai inventori, MPOB berkata stok MSM naik sebanyak 5.45 peratus kepada 1.08 juta tan pada Ogos daripada 1.02 juta tan pada bulan sebelumnya manakala stok minyak sawit terproses menokok sebanyak 3.00 peratus bulan ke bulan kepada 1.12 juta tan daripada 1.09 juta tan sebelumnya.


“Ini menyebabkan jumlah inventori minyak sawit meningkat sebanyak 4.18 peratus kepada 2.20 juta tan pada Ogos daripada 2.11 juta tan pada Julai,” katanya.

Sementara itu, eksport minyak isirung sawit melonjak sebanyak 22.91 peratus kepada 110,656 tan daripada 90,028 tan sebelumnya manakala eksport dedak isirung sawit merosot sebanyak 30.82 peratus bulan ke bulan kepada 175,874 tan daripada 254,239 tan.


Eksport oleokimia turun sebanyak 7.28 peratus bulan ke bulan kepada 230,988 tan daripada 249,128 tan manakala eksport biodiesel menguncup sebanyak 37.32 peratus kepada 30,833 tan bulan ke bulan daripada 49,195 tan.


“Import MSM pada Ogos sifar daripada 7,816 tan pada Julai manakala jumlah import minyak isirung sawit menurun sebanyak 42.56 peratus bulan ke bulan kepada 14,082 tan daripada 24,516 tan pada Jun,” tambah MPOB.


— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Keadaan Teknikal Menurun Masih Berlangsung

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami pergerakan mendatar semasa sesi semalam apabila ia menurun sedikit sebanyak MYR15 untuk ditutup pada harga MYR4,594. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,592. Ia berayun antara paras tertinggi pada MYR4,630 dan paras terendah pada MYR4,563 sebelum terhenti pada harga MYR4,594. Pembentukan corak lilin berbadan kecil menandakan keraguan pasaran pada ketika ini. Walaupun rentak terhenti, struktur penurunan tetap kukuh, dengan harga didagangkan jauh bawah paras rintangan MYR4,700.

Sekiranya penembusan yang kukuh berlaku melepasi paras rintangan MYR4,700, tekanan penurunan mungkin akan berterusan dan berpotensi membuka ruang untuk komoditi ini menguji semula paras MYR4,530. Kami kekalkan bias dagangan negatif, seiring dengan trend penurunan yang sedang berlaku.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama disemak kepada MYR4,530 manakala paras sokongan lebih rendah ditambat pada MYR4,390. Apabila harga menaik, paras rintangan pertama berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras MYR4,900.