Inflasi Keseluruhan Dijangka Kekal Sederhana Pada 2.0 Peratus Hingga 3.5 Peratus Tahun Ini – BNM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) — Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal sederhana tahun ini, masing-masing antara 2.0 peratus hingga 3.5 peratus dan antara 2.0 peratus hingga 3.0 peratus pada 2024, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, hal ini secara amnya mencerminkan permintaan yang semakin stabil dan tekanan kos yang terkawal, bersama-sama dengan kemungkinan inflasi meningkat yang berpunca daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api.

“Prospek sepanjang tahun ini bergantung pada pelaksanaan dasar dalam negeri berhubung dengan subsidi dan kawalan harga, serta perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan,” katanya ketika mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2024 di sini hari ini.

Abdul Rasheed berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2024 disokong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan permintaan luaran yang bertambah baik.

Beliau berkata pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan akan menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan dalam projek infrastruktur berbilang tahun merentas sektor swasta dan sektor awam, di samping pelaksanaan inisiatif pemangkin yang diumumkan dalam pelan induk nasional serta lebih banyak pelaburan yang diluluskan kini direalisasikan.

“Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus bertambah baik,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Rasheed berkata prospek pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang kian meruncing dan pengeluaran komoditi dalam negeri yang berkurang lebih banyak.

“Meskipun begitu, terdapat risiko pertumbuhan lebih tinggi yang berpunca daripada limpahan peningkatan yang lebih besar kitaran teknologi, aktiviti pelancongan yang lebih memberangsangkan dan pelaksanaan projek pelaburan sedia ada dan baharu yang lebih cepat,” katanya.

— BERNAMA 

TAG: BNM, inflasi, Abdul Rasheed Ghaffour, inflasi teras, inflasi keseluruhan

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama