Pengeluar Automatif China, BAIC Lancar Dua Model Kereta Penumpang Pertama Di Malaysia

SUBANG JAYA, 16 Mei (Bernama) — Pengeluar kereta China, Beijing Automotive Group (BAIC) hari ini melancarkan dua model kereta penumpang pertamanya untuk pasaran Malaysia iaitu X55 dan BJ40 Plus.

Majlis pelancaran itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.

BAIC Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena majlis pelancaran tersebut berkata syarikat itu menyasar untuk membuka 10 cawangan pengedar di seluruh negara tahun ini dengan yang pertama dikendalikan oleh Edaran Otomobil Elektrik (M) Sdn Bhd.

BAIC yang merupakan salah satu pengeluar kereta terkemuka di China dengan jualan kenderaan terkumpul sebanyak 36 juta unit bersedia untuk mengembangkan pasarannya di Malaysia.

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif strategik di Asia Tenggara, BAIC merancang untuk mewujudkan rangkaian jualan dan perkhidmatan yang komprehensif di seluruh negara,” katanya. 

Terdahulu, naib pengurus besar Beijing Automotive Group Co Ltd dan BAIC Motor Corporation Ltd Chen Wei menerusi ucapannya pada majlis pelancaran tersebut berkata Asia Tenggara, khususnya Malaysia, memiliki pasaran automotif yang berkembang pesat dengan permintaan terhadap kenderaan pintar yang berkualiti semakin meningkat.

Beliau berkata dengan sistem pengeluaran automotif Malaysia yang matang dan minat pengguna yang semakin meningkat, BAIC secara strategik merintis sempadan baharu.

“BAIC komited untuk mengembangkan kehadiran kami dan mewujudkan rangkaian jualan dan perkhidmatan yang mantap untuk menawarkan pilihan yang pelbagai dan berkualiti tinggi kepada pengguna Malaysia,” katanya.

Harga X55  bermula dalam lingkungan RM120,000 manakala BJ40 Plus sekitar RM180,000 dan kedua-dua model itu akan dipamerkan di BAIC Showroom, Wisma Consplant 2,  mulai 17 hingga 19 Mei 2024. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Akan Pajak Lebih Banyak Gerabak Tambah Kapasiti Perkhidmatan Kereta Api Perlis – JB – Rafizi


KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) — Kerajaan akan memajak lebih banyak gerabak bagi perkhidmatan kereta api dari Padang Besar, Perlis, ke Johor Bahru untuk meningkatkan kapasiti kepada 50 peratus menjelang 2030, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata kerajaan komited melaksanakan langkah itu bagi menyokong keperluan pengangkutan ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Kita mempunyai perkhidmatan komuter landasan berkembar dari Perlis ke Johor Bahru, dan kerajaan telah memutuskan untuk memajak gerabak kereta api. Ini kerana kapasiti landasan kereta api kita hanya 30 peratus disebabkan oleh gerabak yang terhad. 

“Kita berharap dapat meningkatkannya melebihi 50 peratus dan kerajaan komited untuk melaksanakannya,” katanya semasa sesi perbincangan Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025 bertajuk, “From Made in Malaysia to Made by Malaysia” (Daripada Buatan di Malaysia kepada Buatan Malaysia), di sini, hari ini. 

Jarak perjalanan kereta api dari Padang Besar ke Johor Bahru adalah sejauh 692 kilometer.

Sementara itu, Rafizi berkata kerajaan telah mengumpul data yang mencukupi dan sedang di peringkat akhir membentangkan cadangan kepada Kabinet untuk menghapuskan klasifikasi pendapatan B40, M40 dan T20 secara berperingkat.

Beliau berkata pengumuman akan dibuat dalam tempoh beberapa minggu lagi mengenai kelayakan untuk pengagihan bantuan dan pengenalan mekanisme baharu berdasarkan pendapatan boleh guna bersih.

— BERNAMA