Tanggungjawab Menyediakan Dan Menyerahkan Penyata Saraan EA dan EC Pekerja Bagi Tahun 2022 Oleh Majikan Sebelum Atau Pada 28 Februari 2023

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin menarik perhatian majikan berhubung tanggungjawab menyediakan dan menyerahkan penyata saraan EA (sektor swasta)  dan EC (sektor kerajaan) pekerja bagi tahun 2022 kepada pekerja sebelum atau pada 28 Februari 2023. 

Adalah menjadi tanggungjawab majikan mengikut peruntukan subseksyen 83 (1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) untuk menyerahkan penyata saraan EA dan EC ini setiap tahun mengikut tarikh yang ditetapkan bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kepada HASiL dalam tempoh yang ditetapkan.

Bagi tujuan rujukan, para majikan boleh mencapai Nota Penerangan E 2022 melalui Portal HASiL www.hasil.gov.my atau pautan pantas seperti berikut: https://www.hasil.gov.my/media/csthpo0v/nota_penerangan_e2022.pdf 

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui: 

  1. Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
  2. HASiL Live Chat; dan 
  3. Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/public. 

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI