Jumlah Jualan Kenderaan Susut 40 Peratus Kepada 48,372 Unit Pada Januari 2025


KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) — Jumlah volum industri (TIV) pada Januari 2025 menyusut sebanyak 40 peratus kepada 48,372 unit berbanding 81,735 unit pada Disember 2024, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Tahun ke tahun, TIV menurun sebanyak 27 peratus daripada 66,923 unit yang direkodkan pada Januari 2024.

“Penurunan TIV berikutan bulan kerja yang singkat (19 hari bekerja) disumbangkan oleh cuti Tahun Baharu China dan pembelian awal pada Disember 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MAA berkata sebanyak 56,899 kenderaan dikeluarkan pada Januari tahun ini, merosot 26 peratus daripada Januari tahun lepas.

Kenderaan penumpang sebanyak 53,794 unit, manakala kenderaan komersial pula 3,105 unit.

Mengenai prospek Februari 2025, persatuan itu menjangkakan TIV akan bertambah baik berbanding Januari 2025, didorong oleh pembelian bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang dan langkah akhir yang diambil oleh syarikat menjelang penutupan tahun kewangan pada 31 Mac.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Caruman KWSP Pekerja Asing Pencetus Perubahan Kekalkan Tenaga Kerja, Ambil Ramai Bakat Tempatan

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) — Caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia dalam jangka panjang berikutan majikan akan lebih cenderung untuk menggaji lebih ramai bakat tempatan apabila kos meningkat.

Walaupun kos operasi akan menjadi lebih tinggi, ia memberikan manfaat untuk memupuk amalan perniagaan mampan dalam kalangan industri tempatan.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata industri seperti pembuatan, pembinaan dan perladangan yang banyak bergantung kepada pekerja asing, dijangka meneroka alternatif seperti automasi dan memberikan lebih banyak tumpuan kepada bakat tempatan.

“Kos tambahan ini akan memberi kesan kepada daya saing (dan) sebahagian perniagaan akan melepaskan kos ini kepada pengguna. Jika tidak, mereka akan menghadapi margin keuntungan yang lebih terhad dalam keadaan margin yang sedia kecil,” katanya kepada Bernama menerusi temu bual hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan kadar caruman KWSP oleh kerajaan adalah peluang untuk majikan menggaji lebih banyak bakat tempatan memandangkan kos membayar gaji pekerja asing yang semakin meningkat.

Sektor swasta menyambut baik kadar caruman KWSP sebanyak dua peratus oleh majikan dan pekerja asing bermula Mac tahun ini memandangkan ia antara lain akan menambah baik pengekalan pekerja dan meningkatkan kesetiaan.

Pengarah Eksekutif Sorento Capital Jayden Loo Jing Kai berkata peraturan ini akan menawarkan simpanan jangka panjang dan keselamatan kewangan, sama seperti majikan tempatan dan akan menyumbang kepada simpanan dan keselamatan kewangan bagi jangka panjang.

“Ini boleh membawa kepada kepuasan kerja yang lebih tinggi dan kadar perolehan yang lebih rendah, mengurangkan kos pengambilan dan latihan bagi majikan.

“Bagaimanapun, impak terhadap produktiviti akan bergantung kepada pelbagai faktor termasuk keadaan kerja, gaji dan strategi penglibatan pekerja secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata walaupun caruman ini merupakan langkah positif, insentif lain dan penambahbaikan di tempat kerja masih diperlukan untuk memacu peningkatan produktiviti yang ketara.

Sorento menawarkan penyelesaian bilik mandi dan dapur di Malaysia dan peralatan kebersihan rekaan Itali untuk kegunaan rumah dan komersial.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Bhd (FGV) Fakhrunniam Othman berkata sumbangan dua peratus adalah tanggungjawab majikan untuk meningkatkan kesejahteraan tenaga kerja di samping memastikan layanan yang adil dan beretika kepada semua pekerja sama ada pekerja tempatan mahupun migran.

Beliau berkata walaupun langkah ini akan meningkatkan kos operasi, FGV yang menggaji sejumlah besar pekerja asing terutamanya dalam sektor perladangan komited untuk mematuhi peraturan kerajaan dan akan mengambil langkah proaktif untuk memastikan peralihan yang lancar.

“Kami melihatnya sebagai antara komitmen meluas untuk memupuk amalan perniagaan yang mampan, memperkukuh dedikasi kami terhadap daya tahan industri jangka panjang,” katanya.

Penganalisis berkata pendekatan Malaysia adalah seiring dengan beberapa negara yang mempunyai sistem pencen wajib dan skim simpanan wajib bagi menyokong simpanan persaraan pekerja asing seperti Kanada, Jepun, Singapura dan Hong Kong.

Syed Hussain pula berkata majikan perlu mengemas kini sistem senarai gaji dan memastikan pematuhan terhadap peraturan KWSP, yang mungkin menambah situasi yang kompleks dalam pentadbiran terutamanya bagi syarikat yang menggaji sejumlah besar pekerja asing.

Beliau berkata isu pekerja tempatan yang enggan berkhidmat dalam pekerjaan tertentu perlu diselesaikan segera bagi menangani kekurangan tenaga buruh.

Beliau mencadangkan agar majikan menambah baik dan menyediakan program latihan untuk pekerja tempatan dalam industri yang banyak bergantung kepada buruh asing dan dalam proses meningkatkan kebolehpasaran mereka.

— BERNAMA