Kerajaan Tambah Jaminan RM10 Bilion Bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan Bantu 20,000 Peminjam

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) — Skim Jaminan Kredit Perumahan di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd (SJKP) akan ditingkatkan dengan tambahan jaminan RM10 bilion tahun ini sekali gus akan memberikan manfaat kepada lebih 20,000 peminjam.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata peningkatan itu mengambil kira perkembangan semasa dengan ramai yang bekerja dalam sektor informal dan menjadi pekerja gig.

Kerajaan MADANI prihatin dengan cabaran pembiayaan perumahan yang dihadapi oleh mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk memiliki rumah pertama, katanya ketika berucap melancarkan Inisiatif Belanjawan 2025 – Peruntukan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan di sini, Khamis.

Beliau berkata dalam pada itu, menerusi Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan RM20 bilion kepada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) untuk pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Jumlah tersebut dijangka menjamin sehingga 80 peratus pembiayaan usahawan PKS, khususnya yang terlibat dalam sektor tumpuan seperti halal, teknologi tinggi serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan pelancongan,” katanya.

Amir Hamzah berkata SJPP akan menyediakan sokongan kewangan yang lebih komprehensif tahun ini bagi sektor tersebut, merangkumi kemudahan pembiayaan lebih mudah diakses, sokongan terhadap inovasi, penggalakan amalan mampan serta peningkatan daya tarikan pelancongan negara di peringkat antarabangsa.

Pendekatan itu bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi mampan, mencipta peluang pekerjaan dan menjadikan Malaysia sebagai hab utama bagi sektor halal dan teknologi tinggi selaras dengan aspirasi ESG, katanya.

“Selain itu, sebanyak RM5 bilion daripada jaminan RM20 bilion di bawah SJPP akan dikhususkan kepada syarikat bumiputera bagi memperkasakan komuniti perniagaan bumiputera serta meningkatkan kebolehpasaran produk dan daya saing syarikat di peringkat domestik dan global.

“Pemerkasaan bumiputera kekal sebagai fokus utama bagi memastikan penyertaan ekonomi dan pengagihan kekayaan yang lebih saksama, termasuk inisiatif pembangunan keusahawanan, peningkatan akses kepada pembiayaan serta pengukuhan kehadiran bumiputera dalam industri bernilai tinggi,” katanya.

Amir Hamzah berkata kerajaan juga sedang memperluas ekosistem halal, yang merangkumi sektor makanan, farmaseutikal, kosmetik, dan kewangan Islam, bagi mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab halal global.

“Pelaburan dalam pensijilan halal, penyelidikan dan kerjasama perdagangan turut mempertingkatkan daya saing negara dalam industri yang bernilai trilion ringgit ini,” katanya.

Beliau berkata sejak SJPP ditubuhkan pada April 2009 dan sehingga Disember 2024, lebih 75,000 usahawan PKS telah menerima jaminan pembiayaan bernilai lebih RM102 bilion.

“Sementara itu, pada 2024 sahaja, lebih 14,000 PKS menerima kelulusan pembiayaan bernilai RM18.5 bilion,” katanya.

Beliau berkata dalam pada itu, SJKP pula telah meluluskan jaminan kepada lebih 76,000 permohonan dengan jumlah pembiayaan melebihi RM17.8 bilion sejak syarikat itu ditubuhkan pada akhir 2007 dan sehingga Disember 2024.

“Bagi 2024 sahaja, lebih 36,000 permohonan dengan jumlah pembiayaan bernilai RM9.7 bilion telah diluluskan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman