Kejatuhan Ringgit Perlu Tindakan Seimbang Untuk Faedah Rakyat, Pelabur – PM Anwar

KUALA SELANGOR, 25 Feb (BERNAMA) — Kejatuhan nilai ringgit adalah cabaran yang serius dan memerlukan kerajaan bertindak dengan pendekatan yang bijak agar tidak membebankan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pada masa yang sama, kerajaan perlu mengambil pendekatan seimbang untuk mengekalkan keyakinan pelabur.

“Apabila nilai ringgit jatuh, antara cadangan yang diberikan ialah menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Namun, tindakan ini boleh menyebabkan kadar faedah untuk pinjaman kenderaan, pinjaman rumah dan pinjaman kepada peniaga kecil meningkat.

“Hal ini boleh meningkatkan beban hutang kepada golongan seperti ini,” kata beliau pada perasmian penutup Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini hari ini.

Perdana Menteri menjelaskan pengalaman pada tahun 1998 apabila kadar OPR dinaikkan adalah kerana ketika itu kadar inflasi naik mendadak dan pelaburan yang amat berkurangan.

“Oleh itu, tindakan untuk mengawal kejatuhan nilai ringgit pada ketika ini harus diambil dengan berhati-hati.

“Keadaan ekonomi terkini menunjukkan bahawa walaupun nilai ringgit turun, inflasi juga turun dan pelaburan negara meningkat.

“Sebagai contoh, pelaburan pada 2023 mencatatkan jumlah yang tertinggi dalam sejarah, menunjukkan kepercayaan pelabur terhadap kestabilan politik dan dasar ekonomi negara,” katanya.

Anwar berkata kestabilan politik Malaysia dan dasar ekonomi yang jelas adalah faktor penting yang dapat menarik pelabur dan polisi sebegini perlu dikekalkan untuk menjaga kebajikan rakyat dan mengekalkan keyakinan pelabur untuk terus melabur di Malaysia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

MICCI Tekankan Kepentingan Daya Tahan, KeupayaanMenyesuaikan Diri dan Peluang Baharu Ketika Ketidaktentuan Global Membentuk Semula Landskap Perniagaan

Kuala Lumpur – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menekankan kepentingan daya tahan, keupayaan menyesuaikan diri serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta ketika perniagaan berdepan dengan persekitaran operasi global yang semakin kompleks, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan landskap ekonomi semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Majlis Makan Tengah Hari Tahunan MICCI ke-53 yang berlangsung semalam.

Acara tersebut menampilkan ucapan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Tuan Sim Tze Tzin, yang turut menyertai sesi dialog bersama Puan Zalina Zainol, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) di MIDA dan Puan Noor Hayati Abu Noh, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Seksyen Koordinasi dan Pemantauan di MATRADE. Mereka berkongsi perspektif tentang prospek perdagangan dan pelaburan semasa, sentimen perniagaan, dan impaknya daripada konflik di Asia Barat.

Berucap pada majlis tersebut, Presiden MICCI, Christina Tee menyatakan bahawa perniagaan terpaksa mengharungi siri gangguan sepanjang dekad ini, daripada pandemik global kepada perubahan dasar perdagangan, peningkatan perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik.

“Pada hari ini, konflik di Asia Barat telah mewujudkan kesan berantai terhadap pasaran global, menjejaskan harga tenaga, aliran perdagangan, keputusan pelaburan, rantaian bekalan serta kos operasi. Ia menjadi satu lagi peringatan bahawa perkembangan yang berlaku jauh dari negara kita boleh memberi kesan langsung dan ketara kepada perniagaan di Malaysia,” katanya.

Perniagaan kini sudah mula berdepan dengan gelombang pertama kesan tersebut melalui peningkatan kos logistik, kenaikan harga bahan api dan tenaga serta ketidaktentuan yang lebih besar dalam pasaran global. Namun, sebahagian daripada kesan yang lebih ketara mungkin hanya akan dirasai dalam beberapa bulan akan datang atau bahkan pada tahun hadapan.

“Perniagaan telah menyedari bahawa ketidaktentuan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Ia kini menjadi sebahagian daripada persekitaran operasi. Daya tahan bukan lagi sekadar kelebihan daya saing, tetapi satu keperluan,” tambah beliau.

Malaysia kekal berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perubahan dalam rantaian bekalan global, integrasi ekonomi serantau dan peningkatan minat pelabur terhadap ASEAN. Tee menambah bahawa tempoh ketidaktentuan turut boleh membuka peluang untuk penyesuaian, inovasi dan pengukuhan kerjasama antara sektor perniagaan dan pembuat dasar. “Seiring dengan ulang tahun ke-189 MICCI pada tahun ini, kami kekal komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang kompetitif, terbuka dan berhubung secara global, di samping terus memainkan peranan sebagai jambatan yang dipercayai antara komuniti perniagaan antarabangsa dan pembuat dasar,” kata Tee