Kembalikan GST Untuk Elak Pembaziran – Wee

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) — Kerajaan disarankan mengembalikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi mengelakkan pembaziran di samping mengkaji pelaksanaan cukai keuntungan harta tanah (RPGT) dan cukai keuntungan modal  (CGT) yang akan dilaksanakan tahun hadapan memandangkan pertindihan cukai akan berlaku.

Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan melaksanakan sistem e-invois bagi meningkatkan sumbangan hasil cukai negara.

Bagaimanapun, Wee berkata sistem e-invois adalah satu komponen dalam cukai GST yang diguna pakai sebelum ini.

“Kembalikan GST. Mengapa kita hendak membelanjakan lebih untuk e-invois sedangkan e-invois ini merupakan komponen dalam GST, dan menerusi GST segalanya adalah lebih jelas dan telus,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan rakyat hari ini.

Wee yang juga Presiden MCA berkata cukai RPGT dan CGT adalah bertindih sekali gus meminta penjelasan terperinci mengenainya.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri mengumumkan beberapa langkah reformasi percukaian akan dilaksanakan mulai tahun hadapan bagi meluaskan asas hasil negara dan pada masa yang sama tidak membebankan majoriti rakyat.

Menerusi Belanjawan 2024, kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada 8.0 peratus ketimbang 6.0 peratus dan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi. 

Anwar berkata kerajaan juga akan menguatkuasakan pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA