e-Invois, TIN Tangani Ketirisan Hasil, Kurangkan Saiz Ekonomi Bayangan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) — Kerajaan mengambil inisiatif dengan memperkenalkan nombor pengenalan cukai (TIN) dan e-invois untuk mengatasi ketirisan hasil dan mengurangkan saiz ekonomi bayangan di Malaysia.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata dua kaedah itu diwujudkan bagi menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Bagaimana cara kita nak kurangkan ekonomi bayangan dengan kaedah tanpa GST? Caranya adalah seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 iaitu pelaksanaan e-invois.

“Kita tahu pelaksanaan GST boleh menurunkan 10 peratus daripada ekonomi bayangan tetapi kita tak rasa ada GST tahun ini atau tahun depan. Tiada pengumuman lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perkhidmatan Pertukaran Syiling Kocek (Kocek).

Beliau berkata pelaksanaan e-invois adalah satu mekanisme baharu untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai negara dan seterusnya pematuhan cukai.

Ahmad berkata bagi tempoh 2000 hingga 2009, anggaran saiz ekonomi bayangan adalah 30.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagaimanapun, angka itu telah dikurangkan dalam tempoh 2010 hingga 2019, apabila saiz ekonomi bayangan turun kepada 21.2 peratus kerana Malaysia melaksanakan GST dari 2015 hingga 2018, katanya.

Mengenai Kocek, beliau berkata perkhidmatan itu adalah langkah yang amat inovatif.

“Usaha mewujudkan Kocek adalah suatu yang cukup inovatif dan saya harap usaha untuk penukaran duit syiling Kocek ini akan diteruskan dan jadi wang digital,” katanya.

Beliau menjelaskan pengeluaran duit syiling tahunan oleh Bank Negara Malaysia bagi tempoh 2019 hingga 2022 adalah sebanyak 800 juta keping dengan anggaran kos RM64 juta setiap tahun. 

Daripada jumlah tersebut, hampir 30 peratus atau 240 juta keping duit syiling daripada pengeluaran tahunan tidak kembali kepada kitaran mata wang, dengan anggaran kos pengeluaran RM20 juta setahun telah dibazirkan, katanya.

Pertama Digital Bhd memperluas perkhidmatan Kocek melalui kerjasama Pos Malaysia Bhd, dengan Kocek ditawarkan di cawangan Pos Malaysia.

Perkhidmatan inovatif Kocek dimulakan oleh Pertama Digital untuk merangsang kembali pengedaran semula syiling yang tidak digunakan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kocek kini boleh didapati di empat lokasi di Lembah Klang dan dijangka berkembang ke kira-kira 30 cawangan menjelang akhir 2023, sebelum berkembang ke negeri lain secara berperingkat pada 2024.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Setia Awan Jalin Kerjasama Strategik Bersama Jenama Runcit serta Makanan & Minuman Terkemuka Sempena Pelancaran Pusat Membeli-Belah Komuniti Pertama Di Bukit Ampang Permai

KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah terkemuka, Setia Awan, hari ini secara rasmi telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) penting bersama sekumpulan rakan kongsi runcit dan gaya hidup. Majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Galeri Jualan Fona Vista itu melakar detik penting dalam pembangunan keseluruhan komuniti Bukit Ampang Permai, sekali gus memastikan bakal penduduk Fona Vista mendapat akses kepada kemudahan serta perkhidmatan premium di ambang pintu mereka.

Kolaborasi strategik ini menghimpunkan tujuh jenama terkemuka yang merangkumi sektor barangan runcit, penjagaan kesihatan, dan kuliner. Rakan-rakan kongsi ini termasuk B Grocer, Haji Basheer, CU Malaysia, Little Salty Café, Malaysia Chicken Rice (MCR), danAlpro Pharmacy. Pemilihan rakan kongsi yang dikuras dengan teliti ini mencerminkan komitmen Setia Awan dalam membina komuniti holistik yang mengutamakan keselesaan, kesihatan, dan kualiti hidup.

MoU ini menandakan hasrat bersama untuk menyepadukan jenama-jenama berkenaan ke dalam komponen komersial Avenue F yang bakal menyusul, iaitu pusat membeli-belah komuniti yang pertama di Bukit Ampang Permai. Pembangunan yang disasarkan siap menjelang Suku Ketiga (Q3) 2027 ini akan mewujudkan sebuah hab sosial yang rancak bagi komuniti Bukit Ampang Permai.

Melangkah ke hadapan, Setia Awan menyasarkan untuk membawa masuk gabungan pelbagai penyewa tambahan yang menarik bagi meningkatkan lagi kerancakan pusat membeli-belah tersebut serta memenuhi keperluan komuniti yang sentiasa berkembang.

“Majlis menandatangani perjanjian hari ini adalah lebih daripada sekadar pengaturan perniagaan; ia adalah satu langkah penting dalam menunaikan janji kami untuk mencipta nilai jangka masa panjang buat pemilik rumah kami,” kata Eric Chew, Ketua Pegawai Operasi – Projek, Setia Awan. “Melalui perkongsian dengan nama-nama terkemuka dan dipercayai seperti rakan kongsi kami hari ini kami memastikan gaya hidup di Bukit Ampang Permai adalah lancar dan sofistikated. Sambil itu kami terus mengalu-alukan lebih banyak jenama untuk menyertai kami, Avenue F benar-benar akan mentakrifkan semula keselesaan pinggir bandar dan kehidupan komuniti.”

Fona Vista merupakan projek kondominium lereng bukit bergaya pusat peranginan berkepadatan rendah yang terletak 145 meter di atas paras laut. Bersebelahan dengan Hutan Simpan Hulu Langat, ia menawarkan pemandangan hutan yang panoramik serta udara segar yang lebih nyaman, namun tetap berdekatan dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Selaras dengan strategi pertumbuhan agresif ini, Setia Awan juga baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan Kumpulan Billion untuk dua projeknya di Melaka, sekali gus menawarkan kemudahan pilihan barangan runcit yang berkualiti kepada bakal penduduk. Momentum kolaborasi ini dijangka akan diperluaskan ke beberapa pembangunan akan datang di seluruh Lembah Klang, termasuk projek di Selayang dan Shah Alam, serta Tanjung Malim.

Untuk maklumat lanjut tentang Fona Vista, sila layari: fonavista.com.my. Untuk maklumat lanjut tentang Setia Awan, sila layari: setiaawan.com.