Kerajaan Pastikan Hasil Petroleum Terengganu Beri Manfaat Pada Rakyat

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) — Kerajaan tetap komited dalam memastikan hasil petroleum dari Terengganu digunakan untuk projek dan program yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri itu.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sehingga kini, kerajaan telah menyalurkan Pemberian Wang Ehsan sebanyak RM786 juta bagi membantu Kerajaan Negeri berkenaan memenuhi keperluan bayaran gaji serta komitmen kontrak. 

“Kerajaan Persekutuan (juga) terbuka untuk berbincang dan mempertimbangkan cadangan dari kerajaan negeri Terengganu.

“Cadangan tersebut boleh dipersetujukan bersama untuk melibatkan program serta projek yang boleh dibiayai melalui pemberian Wang Ehsan bagi memanfaatkan langsung kepada rakyat Terengganu, terutamanya dalam usaha mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan infrastruktur,” katanya ketika menggulung usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Hyundai Bakal Labur RM2.16 Bilion Di Malaysia Menerusi Perkongsian Strategik Bersama INOKOM

SEOUL, 26 Nov (Bernama) — Hyundai Motor akan memulakan perkongsian strategik bersama INOKOM bagi pemasangan automotif beberapa model baharu di Malaysia pada tahun depan menerusi pelaburan bernilai RM2.16 bilion.

Pelaburan ini termasuk usaha menaik taraf kapasiti pemasangan INOKOM sedia ada bagi memenuhi keperluan automotif Hyundai.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ia merupakan pelaburan terbesar syarikat berkenaan di Malaysia untuk tempoh enam tahun (2025-2030) yang bakal menawarkan beratus peluang pekerjaan berteknologi dan bergaji tinggi kepada rakyat tempatan.

Katanya pelaburan itu membabitkan pemasangan dan pengeluaran sebanyak enam model kereta termasuk model HEV serta sebuah kilang pemasangan pek bateri EV di Kulim, Kedah. 

Tengku Zafrul berkata demikian kepada pemberita sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan.

Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan tertutup bersama beberapa konglomerat Korea Selatan termasuk Hyundai Motor, Lotte, OCI Holdings, Samsung, SK Nexilis dan POSCO. 

Perdana Menteri dan delegasi tiba di Seoul pada Ahad untuk lawatan selama tiga hari bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia ada antara Malaysia dan Korea Selatan.

Malaysia dan Korea Selatan bakal menyambut ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tahun depan.

Korea Selatan merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia manakala Malaysia merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Korea Selatan.

— BERNAMA