Kerajaan Sedang Uji Mekanisme Sistem Subsidi Bahan Api Bersasar – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) — Kerajaan sedang menguji mekanisme untuk sistem subsidi bahan api bersasar namun tiada garis masa ditetapkan bagi pelaksanaannya, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata kerajaan kini sedang menguji beberapa cadangan yang diterima bagi menentukan langkah terbaik untuk pelaksanaan sebelum membentangkannya kepada Kabinet.

Berdasarkan kajian oleh Bank Negara Malaysia (BNM), bagi setiap RM1 subsidi bahan api, 53 sen dinikmati kumpulan T20 manakala 15 sen dimanfaatkan oleh kumpulan B40, katanya.

“Kita akan menguji dan memutuskan apabila kita selesa dengan mekanisme dan platform bagaimana kita melaksanakannya.

“Sudah tentu pengalaman pelanggan berbeza-beza di kawasan luar bandar dan juga bandar,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pelancaran pelan tindakan dan laporan kelestarian Edotco 2021 di sini, pada Khamis.

Tengku Zafrul berkata beliau akan berada di lapangan stesen-stesen minyak untuk menguji mekanisme itu atau platform yang dicadangkan kepada kerajaan.

Sebelum ini, kerajaan menganggarkan subsidi bagi 2022 akan mencecah RM77.7 bilion dan ini mendorong subsidi bahan api mencapai RM30 bilion.

“Bulan lepas, subsidi bahan api telah mencecah RM5 bilion sebulan,” katanya.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/kerajaan-sedang-uji-mekanisme-sistem-subsidi-bahan-api-bersasar-tengku-zafrul/

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA