Khazanah Menerusi Syarikat Bersekutu PKV Lupus Kepentingan Tidak Langsung Dalam TIME

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) — Khazanah Nasional Bhd, menerusi syarikat bersekutunya Pulau Kapas Ventures Sdn Bhd (PKV), mengumumkan pelupusan strategik kepentingan tidak langsungnya dalam TIME dotCom Bhd.

Dalam satu kenyataan semalam, dana kekayaan negara itu berkata PKV, instrumen pelaburan yang dikawal oleh Global Transit International Sdn Bhd (GTI), telah melaksanakan penempatan 67.5 juta saham TIME, mewakili 3.7 peratus daripada jumlah saham TIME.

Ia berkata semua hasil daripada pelaksanaan penempatan itu akan terakru kepada Khazanah dan berikutan penempatan itu PKV akan mempunyai pegangan kira-kira 25.1 peratus dalam TIME berbanding 28.8 peratus sebelumnya.

Kata Khazanah hasil daripada pelaksanaan ini, pegangan GTI dalam PKV akan terus meningkat dan GTI akan kekal komited sepenuhnya terhadap pertumbuhan jangka panjang TIME.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata sejak bermulanya kerjasama Khazanah dengan GTI, TIME telah mempamerkan pertumbuhan yang teguh dan baru-baru ini mencapai modal pasaran melepasi RM10 bilion buat kali pertama pada Februari 2023.

“Dengan ini, pelaksanaan pengewangan dijalankan pada masa yang tepat memandangkan prestasi dan pulangan harga saham TIME yang sangat baik, berikutan kejayaan perkongsian ini.

“Meskipun kami bakal menamatkan perkongsian dengan GTI melalui PKV, kami akan memulakan perjalanan yang baharu dan akan terus menyokong GTI dalam usaha berterusan mereka bersama TIME,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Inflasi Keseluruhan, Inflasi Teras Turun Kepada 1.8 Peratus Pada 2024


KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) — Inflasi keseluruhan dan inflasi teras Malaysia bagi 2024 masing-masing turun kepada 1.8 peratus, berbanding 2.5 peratus dan 3.0 peratus pada 2023.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), inflasi keseluruhan bagi suku keempat 2024 juga reda sedikit kepada 1.8 peratus (suku ketiga 2024: 1.9 peratus).

“Perkhidmatan komunikasi mudah alih dan petrol RON97 mencatatkan inflasi yang lebih rendah, yang sebahagiannya diimbangi oleh inflasi yang lebih tinggi dalam item berkaitan makanan lain, terutamanya sayur-sayuran segar serta ikan dan makanan laut,” tambah BNM dalam kenyataan pada Jumaat.

Bank pusat menjelaskan inflasi teras lebih rendah pada 1.7 peratus (suku ketiga 2024: 1.9 peratus), sebahagian besarnya didorong oleh pengurangan inflasi bagi perkhidmatan komunikasi mudah alih yang turun sebanyak 10.0 peratus (suku ketiga 2024: 0.0 peratus).

Rebakan inflasi kekal sederhana, jelas BNM.

Bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan kekal di bawah purata jangka panjang pada 39.8 peratus (suku ketiga 2024: 38.9 peratus; suku keempat 2011-2019: 41.7 peratus).

BNM menjelaskan pada masa hadapan, inflasi dijangka kekal terkawal pada 2025 berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negara yang berlebihan.

“Walaupun pembaharuan dasar dalam negara yang diumumkan baru-baru ini akan menyumbang kepada sedikit tekanan menaik terhadap harga, kesan keseluruhan terhadap inflasi dijangka dapat dibendung,” tambah bank pusat.

Bagaimanapun, risiko kenaikan harga boleh timbul daripada kesan limpahan yang lebih besar daripada dasar kepada harga IHP secara lebih meluas, menurut BNM.

— BERNAMA