Sejumlah 47,909 Individu Berpendapatan Rendah Terima Manfaat IPR Sehingga 5 Okt 2023

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) — Sejumlah 128,124 permohonan di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) diterima Kementerian Ekonomi setakat 5 Okt 2023, dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 47,909 individu daripada kategori berpendapatan rendah layak untuk dipadankan dengan tiga inisiatif rintis IPR.

Menurut kementerian, tiga inisiatif rintis iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) telah dikenal pasti dapat membantu mengatasi isu utama seperti keterjaminan makanan, peluang pekerjaan dan kos sara hidup yang tinggi.

“Pelaksanaan IPR telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan melalui permohonan yang direkodkan menerusi laman sesawang IPR (www.ipr.ekonomi.gov.my).

“Senarai pemohon akan disemak silang dengan data eKasih, iDamak dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi memastikan pelaksanaan program ini benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasar iaitu miskin tegar, miskin dan B40,” menurut kementerian itu dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, pada Selasa.

Kementerian Ekonomi menjawab soalan Dr Richard Rapu @Aman Anak Begri (GPS-Betong) mengenai sumbangan IPR kepada peningkatan pendapatan golongan B40 serta jumlah penerima projek dan dana yang telah diluluskan bagi Sarawak pada tahun ini.

Menurut kementerian, menerusi inisiatif INTAN, sebanyak 1,020 peserta telah diluluskan bagi 16 lokasi berkeluasan 818 ekar dengan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM92,552,738 dengan tumpuan diberikan kepada tanaman strategik seperti cili dan jagung bijirin sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah import.

“Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersedia untuk memberikan bantuan berbentuk input dan peralatan moden pertanian, latihan dan khidmat nasihat teknikal serta elaun sara hidup tempoh menunggu penuaian hasil tanaman,” jelasnya.

Bagi inisiatif INSAN, kerajaan menyediakan geran berbentuk bayaran sewaan mesin layan diri untuk tempoh dua tahun dan sehingga 5 Okt 2023, sejumlah 81 peserta telah mendapat manfaat dan meraih purata jualan harian RM150 hingga RM400.

Kerajaan juga mengambil langkah untuk memperkenalkan IKHSAN bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap syarikat penyedia perkhidmatan serta pekerja asing dalam sektor yang dikenali sebagai 3D iaitu DirtyDangerous and Difficult (Kotor, Bahaya dan Sukar).

Melalui inisiatif ini, Kementerian Ekonomi akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal bagi kerja-kerja pembersihan di premis awam.

Usaha ini sekali gus bertindak sebagai pemudah cara dalam urusan pelantikan pekerja, menyediakan peralatan dan kelengkapan serta memberi bantuan elaun tambahan kepada peserta dengan kadar maksimum RM850, tambahnya.

“Sejumlah 1,032 peserta telah diluluskan bagi pelaksanaan program ini dengan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM14,179,320,” menurutnya.

Selain itu, menurut kementerian, pendekatan membasmi kemiskinan tegar menerusi pelaksanaan program secara bersasar sama ada secara individu, komuniti atau hibrid juga turut diteruskan berdasarkan profil ketua dan ahli isi rumah miskin tegar serta potensi lokaliti yang dipilih di seluruh negara.

Program yang dicadangkan merangkumi aktiviti penjanaan pendapatan, kemahiran teknikal serta peluang pekerjaan bagi membolehkan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar menjana pendapatan secara mampan.

Kementerian itu menjelaskan sehingga kini, sejumlah 1,744 KIR miskin tegar telah diluluskan bagi projek itu dengan peruntukan sebanyak RM24.7 juta telah dibelanjakan bagi pelaksanaan pendekatan ini di seluruh negara. 

Sementara itu, sehingga 30 Sept 2023, sebanyak 110,663 KIR miskin tegar direkodkan dalam sistem eKasih dan daripada jumlah itu, sebanyak 23,728 KIR miskin tegar direkodkan bagi Sarawak, menurut kementerian itu.

Pelaksanaan IPR-BMT (Basmi Miskin Tegar) bagi golongan miskin tegar di Sarawak juga telah memberi manfaat kepada 211 KIR miskin tegar dengan peruntukan keseluruhan kira-kira RM2.8 juta, jelasnya.

Kementerian itu memaklumkan khusus di Sarawak, kerajaan telah mewujudkan projek pembangunan bagi Rolling Plan 3 dengan kos sekitar RM5 bilion yang merangkumi pembinaan dan menaik taraf pembangunan sekolah, infrastruktur seperti jalan, jambatan, bekalan air bersih dan elektrik, serta perubatan dan kesihatan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.