KPPK Harap Proses Pengambilan Pekerja Asing Guna Platform Digital Sepenuhnya

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) — Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berharap pengambilan pekerja asing dapat diselaraskan secara berperingkat kepada platform digital sepenuhnya bagi memudahkan lagi proses berkenaan.

Kementerian turut mengakui proses itu perlu dilaksanakan dengan berkesan dan lengkap serta maklum akan kebimbangan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mengenai risiko negara kehilangan hasil sehingga RM21 bilion pada tahun 2021 dan dijangka meningkat kepada RM28 bilion pada tahun ini sekiranya pekerja asing tidak dibawa masuk dengan segera.

Menteri Datuk Zuraida Kamaruddin berkata untuk penyelesaian jangka panjang, KPPK menggalakkan pemilik ladang untuk memberikan latihan semula kemahiran dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pekerja warga tempatan, selain mengamalkan pengurusan tenaga buruh dengan baik yang penting untuk mengekalkan pekerja-pekerja asing digajikan mereka. 

‘Dasar pengurusan tenaga buruh yang baik bukan sahaja dapat mengelakkan pekerja asing yang digajikan mereka daripada melarikan diri, malah ia juga membolehkan majikan mengelakkan risiko terlibat dalam isu-isu berkaitan buruh paksa dan pemerdagangan manusia, yang dilihat boleh menjejaskan urusan eksport bagi tempoh jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau menambah kementerian tidak akan berkompromi dalam isu-isu berkaitan buruh paksa di dalam negara serta Malaysia akan terus mematuhi garis panduan ditetapkan dalam Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Bahkan, KPPK akan terus menyokong Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa (NAPFL) yang dibangunkan dalam usaha menangani serta membasmi isu buruh paksa dalam negara,” jelas Zuraida.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kppk-harap-proses-pengambilan-pekerja-asing-guna-platform-digital-sepenuhnya/

Previous ArticleNext Article

FLUX Himpunkan Pemimpin Perniagaan Malaysia Untuk Tangani Kos Ketegaran Dalam Ekonomi Tidak Menentu

KUALA LUMPUR, 21 Mei 2026 — FLUX, platform teknologi automotif Malaysia, hari ini menghimpunkan Forum Perniagaan FLUX 2026 dengan kerjasama Malaysia German Chamber of Commerce & Industry di AICB Centre of Excellence. Bertemakan “Competing in an Uncertain Economy: The Cost of Rigidity”, perhimpunan tertutup itu bertujuan membangkitkan persoalan yang tidak dapat dielakkan: apakah sebenarnya yang diperlukan syarikat untuk berdepan ketidaktentuan global berterusan, dan di manakah kebanyakan organisasi masih gagal menyesuaikan diri dengan cukup pantas?

Menyampaikan ucaptama pembukaan bertajuk “Policy & Competitiveness in an Uncertain Economy: Capital, Talent and the Cost of Rigidity”, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata tempoh semasa secara asasnya berbeza daripada kejutan-kejutan terdahulu — Krisis Kewangan Asia 1997, Krisis Kewangan Global 2008, dan Covid-19. Apa yang membezakannya, menurut beliau, bukanlah skala satu-satu kejutan, tetapi tekanan serentak melibatkan tenaga, geopolitik, monetari dan perdagangan — serta hakisan sokongan dasar yang sebelum ini menjadi sandaran syarikat. Sistem perdagangan global berasaskan peraturan, tindakan terkoordinasi bank pusat, dan kepimpinan monetari Amerika Syarikat yang boleh dijangka tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang pasti.

Ucaptama itu menjadi asas kepada sesi panel yang menterjemahkan gambaran makro kepada realiti operasi di peringkat lapangan. Wakil kanan termasuk Jacob Lee Chor Kok dari Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Benyamin Ismail dari AirAsia X, Ir. Shazwan Khalid dari Siemens Energy Malaysia, dan Marc Appelt dari MAN Truck & Bus Malaysia membincangkan di mana tekanan kos paling ketara dirasai, bagaimana dasar penyetempatan Malaysia dan realiti operasi saling bertentangan, serta perubahan yang telah dilakukan syarikat secara senyap dalam tempoh enam hingga dua belas bulan kebelakangan ini. Antara tema utama yang dibincangkan termasuk peningkatan semula kos tetap yang sebelum ini berjaya dikurangkan ketika Covid-19, tekanan modal kerja yang kini menjejaskan pengeluar Malaysia, dan geseran operasi berkaitan rangka kerja Employment Pass baharu sebelum ia dilaksanakan.

Forum itu diakhiri dengan perkongsian kajian kes oleh Pengasas & CEO FLUX, Aziz Ayman, yang menyatakan bahawa komitmen kos tetap jangka panjang adalah pendekatan era lama. Syarikat yang berfikiran ke hadapan pada tahun 2026 kini menuntut ketangkasan dalam struktur kos mereka. Menggunakan mobiliti korporat sebagai kajian kes sebenar, Aziz memperkenalkan FLUX sebagai model peralihan daripada kos tetap kepada fleksibel — satu cara untuk “Netflix-kan” armada korporat, dengan pertukaran atas permintaan, kos menyeluruh yang boleh diramal dan kecekapan cukai terbina dalam.

“Dalam pasaran hari ini, satu-satunya kepastian ialah perubahan — dan syarikat bertindak balas dengan menuntut fleksibiliti dalam mobiliti korporat mereka. Perniagaan yang bekerjasama dengan kami tidak membuat keputusan hari ini yang mengikat mereka untuk dua atau tiga tahun akan datang. FLUX menukar CAPEX mobiliti kepada perbelanjaan operasi supaya pelanggan boleh membesarkan, mengecilkan atau menukar armada mereka mengikut perubahan perniagaan. Syarikat yang tangkas tidak memiliki apa yang boleh mereka akses. Dalam ekonomi tidak menentu, akses berbanding pemilikan bukan lagi pilihan kewangan — ia kini satu strategi.” — Aziz Ayman, Pengasas & CEO, FLUX

Forum Perniagaan FLUX mencabar syarikat untuk kekal tangkas dalam tempoh yang ditandai pelbagai kejutan serentak. Organisasi yang paling bersedia untuk bersaing ialah mereka yang telah melakukan usaha disiplin untuk menghapuskan ketegaran daripada model operasi mereka — sebelum gangguan seterusnya memaksa persoalan tersebut.