BNM Garis Lima Langkah Kawalan Tambahan Perkukuh Perlindungan Terhadap Penipuan Kewangan – Gabenor

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan lima langkah kawalan tambahan yang perlu diambil institusi kewangan bagi mengukuhkan perlindungan terhadap penipuan kewangan terutamanya dalam talian.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata kaedah penipuan atau modus operandi yang diguna pakai oleh penjenayah berkaitan kewangan sentiasa berubah-ubah. 

“BNM akan terus mempertingkatkan usaha dan langkah untuk membanteras scam (penipuan) dengan memperkenalkan beberapa kawalan tambahan,” katanya pada majlis pelancaran Pameran Jenayah Kewangan secara maya, di sini, hari ini.    

Nor Shamsiah berkata, antara langkah kawalan tambahan yang digariskan termasuk peralihan penggunaan kata laluan sekali sahaja (OTP) melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada kaedah pengesahan yang lebih kukuh serta memperketatkan peraturan pengesanan penipuan dan bertindak menyekat transaksi yang disyaki terlibat dengan penipuan.

Selain itu, katanya, bank perlu melaksanakan tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama bagi perkhidmatan perbankan dalam talian atau peranti yang selamat; pelanggan akan dihadkan kepada hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk pengesahan transaksi perbankan dalam talian dan semua bank dikehendaki menyediakan talian hotline khusus untuk aktiviti penipuan kewangan.

Menurutnya, pihak bank dikehendaki memastikan kawalan dan standard keselamatan mereka sentiasa berada pada tahap tertinggi terutamanya bagi perkhidmatan perbankan Internet dan mudah alih. 

“BNM juga mengeluarkan panduan keselamatan kepada industri kewangan dari semasa ke semasa mengenai modus operandi penipuan terkini serta langkah keselamatan tambahan yang perlu diambil oleh bank bagi melindungi simpanan pelanggan mereka.

“BNM juga akan terus memantau dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas institusi kewangan untuk memastikan institusi kewangan sentiasa menetapkan kawalan dan standard keselamatan mereka pada tahap tertinggi dan mengambil langkah pencegahan yang berterusan dan efektif,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Shamsiah berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memainkan peranan penting dalam menangani kegiatan penipuan kewangan  dan telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk mewujudkan Pusat Respons Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (CCID) bagi memudahkan orang ramai membuat laporan mengenai penipuan kewangan. 

“Bagi membanteras jenayah scam (penipuan) ini secara berkesan, kerjasama antara agensi penguatkuasaan amat penting, terutamanya berkaitan perkongsian maklumat. 

“Satu inisiatif akan dilaksanakan di antara BNM dengan PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) untuk mempertingkatkan lagi Pusat Respons Scam CCID bagi mewujudkan platform perkongsian maklumat yang lebih sistematik dan memastikan tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Beliau berkata salah satu aspek penting dalam menangani penipuan kewangan ialah meningkatkan kesedaran termasuk modus operandi penipuan dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh orang ramai untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa.

“Dalam hal ini, BNM dan institusi kewangan serta agensi penguatkuasaan akan menjalankan usaha yang berterusan untuk meningkatkan keberkesanan program kesedaran dan penyebaran maklumat kepada rakyat Malaysia,” katanya. 

Pameran Jenayah Kewangan secara maya anjuran Muzium dan Galeri Seni BNM bersama PDRM itu dilaksanakan bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai penipuan kewangan.

Pameran itu dirasmikan secara bersama oleh Nor Shamsiah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan boleh diakses melalui pautan https://museum.bnm.gov.my/fce

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/bnm-garis-lima-langkah-kawalan-tambahan-perkukuh-perlindungan-terhadap-penipuan-kewangan-gabenor/

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA