Langkah-Langkah Campur Tangan Kerajaan Bantu Kekang Inflasi – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) — Campur tangan kerajaan menerusi subsidi dan kawalan harga telah membantu mengekang inflasi di Malaysia yang tanpanya negara mungkin mencatatkan angka lebih tinggi berbanding inflasi keseluruhan 4.4 peratus pada Julai, kata ahli-ahli ekonomi.

Timbalan naib canselor penyelidikan dan pengajian siswazah di i-CATS University College Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata banyak barang keperluan yang disenaraikan dalam kumpulan Indeks Harga Pengguna (IHP) seperti ayam, telur, gula, beras (jenis terpilih) dan minyak masak berada sama ada dalam senarai barang yang disubsidikan atau barangan kawalan menerusi langkah-langkah siling harga. 

“Kebanyakan barang keperluan harian adalah barangan terkawal seperti beras dan gula. Campur tangan kerajaan banyak membantu inflasi kita berada dalam kawalan,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan IHP Malaysia meningkat sebanyak 4.4 peratus tahun ke tahun kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. 

Sementara itu, Ahli Ekonomi Manokaran Mottain berkata inflasi agregat 2.8 peratus setakat ini bagi tahun ini berada dalam unjuran Bank Negara Malaysia.

Bagi asas bulanan, inflasi meningkat 0.4 peratus pada Julai 2022 berbanding Jun 2022.

Berbanding negara-negara ASEAN lain seperti Indonesia dengan inflasi pada (+4.9 peratus), Filipina (+6.4 peratus), Singapura (+7.0) dan Thailand (+7.6 peratus), inflasi Malaysia dianggap sebagai rendah.

“Angka inflasi sebenar tidak mencerminkan situasi semasa kerana banyak barangan dalam kumpulan IHP adalah barangan kawalan dan barangan yang disubsidikan. Keseluruhannya, inflasi kita masih terkawal. 

“Bagaimanapun, campur tangan oleh kerajaan dengan subsidi dan kawalan harga telah membantu kita mencatatkan peningkatan inflasi yang rendah,” katanya. 

Manokaran berkata kategori beras, roti dan bijirin lain meningkat sebanyak 5.5 peratus pada Julai berbanding 4.2 peratus pada Jun, yang mana campur tangan diperlukan untuk menjadikan makanan ruji lebih murah dan mampu dibeli rakyat. 

“Mungkin kerajaan perlu duduk berbincang bersama-sama dengan pasar raya besar untuk meminta mereka mengurangkan harga jenama mereka sendiri. 

“Pada masa ini saya fikir mereka ada berbuat demikian tetapi ia perlu diperluaskan kepada skop lebih meluas terutamanya barangan yang dibeli oleh kumpulan B40,” jelasnya. 

Mengenai prospek inflasi bagi tempoh separuh kedua 2022, MIDF Amanah Investment Bank Bhd percaya aliran menurun sederhana harga komoditi global mungkin mengurangkan tekanan inflasi makanan Malaysia.

Sebagai contoh, harga minyak sawit mentah Malaysia, antara lainnya, menyederhana daripada di atas paras RM6,000 setan metrik pada awal Jun 2022 kepada di bawah RM4,000 pada Julai 2022, katanya.

Bank pelaburan itu mengekalkan unjuran purata IHP tidak berubah pada  +2.8 peratus bagi 2022.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/langkah-langkah-campur-tangan-kerajaan-bantu-kekang-inflasi-ahli-ekonomi/

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.