Rakuten Trade Menambah Baik Khidmat Dagangan A.S. Dengan Kemudahan Mata Wang Asing

KUALA LUMPUR, 29 Ogos 2022 – Rakuten Trade Sdn Bhd (Rakuten Trade), sebuah syarikat yang menggugat pasaran, telah melancarkan perkhidmatan Pasaran Asing yang telah ditambah baik, termasuk menyediakan manfaat kemudahan mata wang asing.

Para pelabur kini boleh menukar dana dengan mudah antara MYR dan USD menerusi aplikasi iSpeed.my dan platform web. Pertukaran dibuat dalam masa sebenar, pada kadar kompetitif yang biasanya lebih baik daripada kebanyakan bank dan tanpa sebarang caj FX tambahan yang dikenakan ke atas urus niaga pertukaran mata wang.

Langkah membangunkan platform Pasaran Asing ditambah baik bertujuan untuk meningkatkan pengalaman berdagang di pasaran A.S dan menarik perhatian lebih ramai pelabur digital yang sebelum ini mempunyai pilihan broker yang terhad. Oleh itu, ramai pelabur membuat keputusan untuk mendaftar dengan broker luar negara untuk melabur dalam pasaran A.S.

Dengan pelancaran kemudahan ini, pelabur kini mempunyai lebih pilihan dan fleksibiliti untuk berdagang dalam MYR atau USD pada yuran broker yang rendah, iaitu RM7-RM100 atau USD1.88 – USD25.

Menurut En. Kazumasa Mise, CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Rakuten Trade, “Hampir 25,000 akaun perdagangan A.S telah diaktifkan menerusi Rakuten Trade sejak kami memperkenalkan perkhidmatan ini pada bulan Januari 2022. Kemudahan ini juga menjadi pemangkin bagi pelabur baharu untuk menguji strategi perdagangan di Bursa Malaysia sebelum mempelbagaikan operasi ke pasaran A.S. Setakat ini, lebih daripada 85% pelanggan Rakuten Trade berurus niaga di Bursa Malaysia dahulu sebelum menceburi ke pasaran A.S. Hasilnya, Rakuten Trade terus mencatatkan pertumbuhan perdagangan yang lebih kukuh di NYSE (Bursa Saham New York) dan NASDAQ.”

En. Mise menyambung, “Dengan wujudnya wealthtechyang semakin pantas diterima pakai, Rakuten Trade akan terus mempelopori industri dan menambah baik pengalaman pengguna, menyediakan akses digital yang lebih baik kepada segmen pelanggan sebelum ini yang kurang diberi perhatian.”

Sempena dengan pelancaran ini, Rakuten Trade mengumumkan Kempen Jual Beli & Menangi Saham Google, yang memberikan ganjaran sehingga 5,000 mata RT atau rebat yuran broker bernilai RM50. Bagi mereka yang membuat keputusan berdagang dan mengekalkan baki tunai dalam USD, akan berpeluang memenangi satu daripada 50 saham Google*.

Dengan memanfaatkan kemajuan teknologi, Rakuten Trade bersedia untuk memperluaskan perkhidmatan mereka dengan menyediakan akses ke pasaran Hong Kong. Baru-baru ini, Rakuten Trade telah mengumumkan penambahbaikan Program Ganjaran yang memberi pelabur lebih banyak cara untuk berdagang dengan yuran broker percuma.

Setakat pada 31 Julai 2022, Rakuten Trade telah mengaktifkan lebih daripada 250,000 akaun perdagangan dan mengendalikan urus niaga bernilai lebih daripada RM105 bilion di Bursa Malaysia sejak hari pertama perniagaan manakala aset pelanggan yang dipegang di bawah amanah hampir mencecah RM3.5 bilion.

Untuk maklumat lanjut mengenai Rakuten Trade, sila layari www.rakutentrade.my.

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.