Malaysia Berada Di Landasan Untuk Capai Pertumbuhan KDNK 5.3 Peratus Hingga 6.3 Peratus – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) — Malaysia kini menuju ke arah pemulihan dari segi angka ekonomi keseluruhan, tetapi Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengingatkan mengenai risiko terhadap pemulihan dalam persekitaran prospek ekonomi global yang tidak menentu.

Beliau berkata ini dapat dilihat daripada jumlah angka yang dicatatkan apabila Malaysia mempunyai pertumbuhan suku pertama yang kukuh pada tahun ini dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lima peratus.

Katanya negara berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan KDNK sebanyak 5.3 peratus hingga 6.3 peratus pada 2022.

“Sementara itu, kadar pengangguran merosot kepada 3.9 peratus pada Mei dan Jun 2022, menunjukkan aliran penurunan selama 14 bulan berturut-turut,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia XVI 2022 hari ini.

Tengku Zafrul berkata prestasi perdagangan Malaysia turut terus berdaya tahan dan mengekalkan momentum pertumbuhannya berikutan data perdagangan menunjukkan pertumbuhan dua angka selama 16 bulan berturut-turut sejak Februari 2021.

“Selepas pembukaan semula ekonomi yang sistematik, peningkatan yang berterusan untuk permintaan dalaman dan luaran serta penurunan kadar pengangguran, pelabur asing dilihat lebih yakin dengan prospek Malaysia.

“Semua data ini, termasuk kembalinya kesesakan lalu lintas dan kedai makan yang sesak, menunjukkan bahawa angka KDNK suku kedua kita dijangka kukuh, yang akan mengesahkan lagi dasar kami yang telah meletakkan Malaysia di landasan yang tepat ke arah pemulihan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya Malaysia turut menghadapi risiko dan cabaran terhadap pemulihan seperti inflasi global yang meningkat berikutan harga komoditi terus naik dan rantaian bekalan terganggu akibat konflik Rusia-Ukraine yang berterusan.

“Kadar inflasi kita meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh setahun pada 3.4 peratus pada Jun 2022, dengan inflasi makanan pada Jun sebanyak 6.1 peratus,” katanya, sambil menambah kerajaan berjaya mengurangkan impak melalui subsidi dan had harga ke atas beberapa barangan utama.

Tengku Zafrul berkata terdapat kelembapan dalam pertumbuhan di peringkat global berikutan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan di seluruh dunia, terutamanya di Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara utama Eropah, yang telah membawa kepada dasar monetari yang lebih ketat.

Kelembapan ekonomi China, sebahagiannya berikutan dasar sifar COVID-19 dan kesan limpahan daripada perang Rusia-Ukraine turut menambah kepada situasi tidak menentu.

“Tabung Kewangan Antarabangsa telah menurunkan unjuran pertumbuhannya untuk Malaysia kepada 5.1 peratus daripada 5.6 peratus, iaitu di bawah unjuran rasmi kami sebanyak 5.3 peratus hingga 6.3 peratus.

“Pada masa ini, kami terus optimis bahawa kami akan dapat berpegang kepada unjuran rasmi kami,” katanya.

Beliau berkata kenaikan kadar terkumpul oleh Rizab Persekutuan AS sebanyak 225 mata asas secara keseluruhan, setakat ini telah menyebabkan banyak mata wang susut, termasuk ringgit.

“Risiko AS memasuki fasa kemelesetan, teknikal atau tidak, menjadikan prospek global lebih suram,” katanya.

Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa risiko varian dan subvarian baharu COVID-19 tetap ada dan Malaysia, bersama dengan seluruh dunia, perlu bersedia untuk menghadapi pandemik global yang akan datang dan mungkin perlu lebih memberi tumpuan kepada langkah-langkah pencegahan berbanding pemulihan.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/malaysia-berada-di-landasan-untuk-capai-pertumbuhan-kdnk-5-3-peratus-hingga-6-3-peratus-tengku-zafrul/

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA