BNM Dijangka Naikkan OPR Pada September — Kenanga Research

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) —  Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kecenderungan untuk meningkatkan kadar faedah pada September, menyaksikan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) untuk kali ketiga berturut-turut tahun ini, kata Kenanga Research (Kenanga).

Dalam satu nota hari ini, firma penyelidikan itu percaya kenaikan OPR adalah berdasarkan jangkaan bahawa kadar inflasi Malaysia akan berada pada purata melebihi paras 4.0 peratus pada separuh kedua 2022 (2H22) berikutan kenaikan harga makanan di tengah-tengah peningkatan kos import.

“Dalam usaha untuk selaras dengan pendirian bank-bank pusat yang lain, kami beranggapan BNM  akan terus mengetatkan mesyuaratnya dengan OPR mencecah 3.0 peratus menjelang suku pertama 2023 ,” katanya.

Sementara itu, Kenanga berkata ringgit mungkin terus diniagakan melepasi paras 4.40 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat.

Ini ialah kerana permintaan untuk mata wang yang lebih selamat dijangka kekal kukuh didorong oleh kebimbangan yang semakin memuncak mengenai kemelesetan global, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang terus cenderung menaikkan kadar faedah, ketegangan AS-China yang berpotensi untuk terus meningkat dan krisis tenaga Eropah.

“Bagaimanapun, mata wang tempatan mungkin mula mengukuh kembali berbanding dolar AS pada suku keempat 2022 berikutan jangkaan aliran pelaburan asing yang utuh ke Malaysia di tengah-tengah peningkatan selera risiko untuk aset pasaran pesat membangun,” katanya.

Di pasaran bon, firma penyelidikan menjangkakan permintaan asing untuk bon domestik akan terus tertekan pada bulan Ogos susulan  sentimen penolakan risiko global disebabkan kebimbangan kemelesetan yang berlarutan dan ketegangan AS-China yang diperbaharui.

“Hasil domestik diunjurkan meningkat minggu ini,  mengambil petunjuk daripada lonjakan hasil Perbendaharaan AS baru-baru ini selepas kebimbangan mengenai kemelesetan AS mereda berikutan laporan pekerjaan bulan Julai yang jauh lebih baik daripada jangkaan,” katanya.

Bagaimanapun, ia berkata aliran menaik itu mungkin dihadkan oleh pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia untuk suku kedua 2022 yang berpotensi kukuh dan ia dijangka diumumkan pada 12 Ogos 2022.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/bnm-dijangka-naikkan-opr-pada-september-kenanga-research/

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian