Malaysia Perlu Perkukuh Pasaran Modal, Hidupkan Semula Projek Infrastruktur

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) — Malaysia perlu memperkukuh kedudukannya di pasaran modal dengan merancakkan semula penyenaraian projek infrastruktur fizikal dan insaniah, terutamanya berkaitan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Pengerusi Institut Penyelidikan Pasaran Modal (ICMR) Tan Sri Munir Majid berkata syarikat yang disenaraikan di bursa sewajarnya menumpukan perhatian kepada projek infrastruktur baharu, atau disenaraikan di Bursa Saham Shanghai dan terlibat dalam projek-projek BRI.

“Sebelum ini kita telah membuat penyenaraian projek infrastruktur… tetapi, kini tiada apa-apa yang berlaku. Oleh itu, (kita sewajarnya) menghidupkannya semula menerusi BRI.

“Kita perlu melakukan sesuatu yang signifikan seperti menubuhkan dana infrastruktur digital yang boleh disenaraikan dan diuruskan oleh pengurus dana, sama seperti kaedah yang dilakukan untuk amanah saham atau amanah pelaburan hartanah (REIT),” katanya kepada pemberita semasa Persidangan Menghubungkan Bakat Industri-Universiti Pasaran Modal ICMR-SIDC yang pertama di sini hari ini.

Katanya menerusi semua infrastruktur insaniah yang telah dibina dan disediakan Malaysia, ia juga boleh menjadi hab untuk latihan dan menjalinkan hubungan atau pertukaran yang lebih baik dengan negara-negara lain.

“Kita perlu mengadakan libat urus dengan lebih banyak negara di rantau Afrika, Timur Tengah dan lokasi lain di Asia.

“Kita perlu mengambil peluang daripada keanggotaan kita di Asean untuk meningkatkan kerjasama lebih luas dari segi mata wang dan terlibat secara konsisten dalam projek-projek di Asean,” kata Munir.

Mengulas peranan SIDC untuk tampil sebagai hab pendidikan bagi pasaran modal, beliau berkata SIDC berupaya menjadi repositori atau menyimpan kerja-kerja penyelidikan yang dijalankan oleh universiti dan industri, seterusnya menghimpunkan dan menyerahkannya kepada pembuat dasar untuk dilaksanakan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA