Malaysia Antara Destinasi Utama Bagi Pembeli China, Ekspatriat Barat – Juwai IQI

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) — Malaysia lebih diingini oleh ekspatriat dan pelabur di seluruh dunia sebagai destinasi pelaburan hartanah berbanding sebelum ini memandangkan negara telah pulih daripada COVID-19 untuk menjadi tempat yang lebih dinamik dan positif, menurut syarikat teknologi hartanah, Juwai IQI.

Juwai IQI menjelaskan pembeli rumah China menaikkan kedudukan Malaysia kepada destinasi keenam paling popular pada separuh pertama 2023 manakala kaji selidik meliputi 12,000 responden oleh organisasi ekspatriat global, InterNations, mendapati ekspatriat Barat meletakkan kedudukan Malaysia di tempat keempat terbaik di dunia.

Malaysia dan negara Asia Tenggara lain turut membentuk empat daripada 10 negara teratas yang menerima pelaburan hartanah China paling banyak pada separuh pertama 2023, menurut laporan terbaru berdasarkan bilangan pertanyaan pembeli yang diterima melalui platform Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik, disokong oleh kualiti kehidupan, kehidupan mampu milik dan ketersambungan digital serta sebagai sebuah negara berbilang bahasa, justeru, kalangan pengunjung dunia berasa selesa di sini.

“Apabila melibatkan pembeli China, mereka mempunyai simpanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang boleh digunakan untuk pembelian hartanah di luar negara. Menurut statistik rasmi, dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022 sahaja, deposit simpanan rakyat China melonjak nilainya sebanyak 26.3 trilion renminbi (US$3.6 trilion),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Juwai IQI memaklumkan rakyat China juga ialah peserta paling ramai di dunia dalam program Visa Emas, dengan pemohon China membentuk 46 peratus daripada jumlah visa yang diluluskan di Australia dan Greece serta 31 peratus di Portugal.

Rakyat China juga menyumbang bahagian yang sama besar dari segi kewarganegaraan dan pemastautin berprofil rendah melalui program pelaburan, dengan 25 peratus daripada semua Visa Emas yang dikeluarkan oleh Antigua dan Barbuda telah diberikan kepada warganegara China.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kenapa Sunway Menyerupai Berkshire Hathaway Versi Malaysia

Bila orang sebut Sunway, kebanyakannya akan terbayang Sunway Pyramid atau Sunway Lagoon.

Sunway bukan sekadar itu. Kalau tengok betul betul, ia sudah berkembang menjadi sesuatu yang jauh lebih besar. Ia lebih tepat digambarkan sebagai sebuah empayar yang mengawal pelbagai lapisan kehidupan moden daripada rumah, beli belah, pendidikan, kesihatan sehinggalah pelancongan dan infrastruktur.

Mereka sedang membina satu empayar aset dan cara ia berkembang semakin menyerupai model Berkshire Hathaway. Sunway memiliki dan mengendalikan pelbagai sektor yang menyentuh kehidupan seharian orang ramai.

Mereka membina rumah dan bandar.
Mereka memiliki pusat beli belah.
Mereka mengendalikan hotel dan taman tema.
Mereka mengurus universiti dan sekolah.
Mereka memiliki hospital.
Mereka juga membina lebuh raya dan pusat data.

Ini penting kerana setiap sektor ini menjana aliran tunai yang berbeza. Bila segmen hartanah perlahan, hospital masih ada pesakit. Bila pelancongan turun, universiti masih ada pelajar. Bila jualan rumah lembap, mall masih ada penyewa.

Model ini sama seperti Berkshire yang tidak bergantung kepada satu industri untuk hidup. Sebagai bukti betapa besarnya empayar ini, Sunway Berhad mencatatkan rekod hasil tertinggi pada tahun kewangan 2024, iaitu sekitar RM7.88 bilion, meningkat lebih 28% berbanding tahun sebelumnya dan menunjukkan pertumbuhan hasil di hampir semua segmen perniagaan kumpulan.

Warren Buffett pernah berkata bahawa kekayaan sebenar datang daripada memiliki perniagaan yang menjana aliran tunai berulang dan boleh bertahan berdekad lamanya. Itulah falsafah di sebalik Berkshire Hathaway. Ia bukan terkenal kerana satu industri, tetapi kerana memiliki banyak perniagaan yang orang guna setiap hari, dari insurans hingga elektrik dan pengangkutan.

Bandar dan pembangunan hartanah

Sunway bermula dengan Bandar Sunway dan kini mempunyai pembangunan berskala bandar di beberapa tempat lain seperti Sunway City Iskandar Puteri di Johor dan Sunway City Ipoh di Perak. Ini bukan projek kecil tetapi kawasan bersepadu yang merangkumi perumahan, komersial, pendidikan dan kemudahan awam.

Selain itu, Sunway juga telah membangunkan lebih daripada 100 projek kediaman dan hartanah merangkumi rumah teres, kondominium serta bangunan komersial di seluruh negara dan luar Malaysia. Ini memberi mereka aliran projek yang berterusan untuk jangka masa panjang.

Mesin trafik melalui pusat beli belah

Sunway memiliki rangkaian pusat beli belah yang besar dan ikonik seperti Sunway Pyramid, Sunway Putra Mall, Sunway Square Mall dan Sunway Carnival Mall (Pulau Pinang). Mall ini bukan sekadar tempat orang membeli belah tetapi berfungsi sebagai pusat aktiviti yang menggerakkan ekonomi kawasan sekeliling.

Kehadiran mall besar ini meningkatkan nilai hartanah, menarik penyewa berkualiti dan mencipta aliran tunai yang stabil kepada kumpulan Sunway.

Pelancongan dan hotel sebagai enjin ekonomi

Sunway Lagoon berperanan sebagai tarikan utama kepada Bandar Sunway dengan menarik jutaan pelawat setiap tahun. Pelawat ini kemudiannya mengisi hotel, restoran dan pusat beli belah di sekeliling, mewujudkan kitaran ekonomi yang berterusan.

Di bawah Sunway Hotels and Resorts, kumpulan ini mengendalikan sekitar 12 belas hotel dan resort di Malaysia, Kemboja dan Vietnam dengan hampir 4,000 ribu bilik, suite dan vila. Ini menjadikan pelancongan satu sumber pendapatan penting yang tidak bergantung kepada jualan hartanah semata mata.

Kilang bakat melalui pendidikan

Melalui Sunway Education Group, mereka mengurus 23 institusi pendidikan merangkumi universiti, kolej berbilang kampus, sekolah antarabangsa dan institut khusus. Semua ini berada di bawah Jeffrey Cheah Foundation yang juga menyediakan biasiswa dan menyokong aktiviti penyelidikan.

Kesihatan sebagai aset strategik

Sunway turut mengendalikan rangkaian hospital melalui jenama Sunway Medical Centre di lokasi utama seperti Penang, Kuala Lumpur, Damansara dan Ipoh. Hospital ini melayani pesakit tempatan dan juga pelancong perubatan, menjadikan sektor kesihatan satu lagi sumber pendapatan yang stabil.

Kehadiran hospital juga meningkatkan nilai kawasan dan menyokong pembangunan bandar bersepadu Sunway.

Sunway Healthcare Holdings Bhd (unit penjagaan kesihatan di bawah Sunway) telah membuat persiapan untuk penyenaraian awam (IPO) di Bursa Malaysia. Prospektus awal menunjukkan cadangan untuk menawarkan sehingga hampir 1.97 bilion saham dalam IPO ini, termasuk jualan saham sedia ada dan terbitan saham baharu.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah meluluskan cadangan penyenaraian Sunway Healthcare Holdings di pasaran utama Bursa Malaysia, termasuk langkah pecahan saham pra-IPO untuk memperluas asas saham syarikat tanpa mengubah nilai keseluruhannya.

Jika berjaya, IPO Sunway Healthcare berpotensi menjadi salah satu penyenaraian besar di Malaysia dalam beberapa tahun, dengan dana yang besar dan memperluas peluang pelaburan dalam sektor penjagaan kesihatan swasta.

Baca juga Panduan Asas Bagaimana Nak Beli Saham IPO di Bursa Malaysia

Keupayaan membina dari dalam

Sunway tidak bergantung sepenuhnya kepada kontraktor luar. Mereka mempunyai keupayaan pembinaan dan infrastruktur sendiri melalui anak syarikat yang terlibat dalam projek seperti Kajang SILK Highway, South Klang Valley Expressway, lebuh raya NH844 di India serta pembinaan pusat data bernilai lebih satu bilion ringgit.

Ini memberi mereka kawalan kos, kelajuan pelaksanaan dan keupayaan untuk mengambil projek berskala besar.

Tanah sebagai masa depan Sunway

Dengan rizab tanah sekitar 2,200 ratus ekar, Sunway memiliki cukup tanah untuk membina hampir tiga buah Bandar Sunway baharu. Ini memberikan mereka stok pembangunan jangka panjang yang boleh dibangunkan secara berperingkat selama bertahun tahun.

Akhirnya, semua ini menunjukkan Sunway bukan sekadar menjual rumah atau membina bangunan. Mereka membina, memiliki dan menggerakkan keseluruhan ekonomi sebuah bandar. Itulah sebabnya Sunway hari ini lebih tepat digambarkan sebagai sebuah empayar moden di Malaysia.

Pemegang saham utama Sunway Berhad. Sumber: Bursa Malaysia.

Prestasi harga saham Sunway Berhad

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.