Maybank IB Unjur KDNK Malaysia Pada Suku Ketiga 2024 Tumbuh 5.4 Peratus


KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) — Maybank Investment Bank Bhd mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang pada 5.4 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2024. 

Unjuran ini sedikit melepasi unjuran awalnya (AE) iaitu 5.3 peratus tahun ke tahun seperti yang dikeluarkan pada 21 Okt, 2024.

Bank pelaburan tersebut dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata unjuran pertumbuhan KDNK sebenar didorong oleh unjuran pertumbuhan yang lebih kukuh dalam sektor perkhidmatan iaitu pada 5.6 peratus tahun ke tahun, berbanding dengan AE pada 5.1 peratus tahun ke tahun.

“Unjuran ini juga selaras dengan pertumbuhan AE untuk sektor pembuatan (5.7 peratus tahun ke tahun) dan pembinaan (19.5 peratus tahun ke tahun).

“Unjuran tersebut mencerminkan pertumbuhan yang lebih rendah berbanding AE untuk sektor pertanian pada 3.1 peratus tahun ke tahun berbanding AE pada 4.0 peratus tahun ke tahun.

“Sektor perlombongan pula dijangka menguncup pada 4.5 peratus tahun ke tahun, berbanding dengan penguncupan AE iaitu pada 3.4 peratus tahun ke tahun,” katanya.

KDNK Malaysia untuk suku ketiga 2024 dijadualkan dikeluarkan pada Khamis, 14 Nov, 2024.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian