KWSP Catat Pendapatan Pelaburan RM19.67 Bilion Pada Suku Ketiga


KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) — Pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat RM5 bilion kepada RM19.67 bilion pada suku ketiga 2024 daripada RM14.67 bilion pada suku ketiga 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata ini menjadikan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM57.57 bilion bagi Januari hingga September 2024, meningkat 20 peratus berbanding RM47.86 bilion dalam tempoh sama pada 2023.

“Prestasi kukuh KWSP adalah bukti kepada strategi pelaburannya yang merangkumi portfolio yang pelbagai merentasi kelas aset utama,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat dengan kukuh sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2024.

“Pengurangan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) yang dinantikan telah mendorong sentimen pasaran dan keuntungan merentasi pelbagai sektor, termasuk amanah pelaburan hartanah, utiliti dan kewangan, yang semuanya memberi kesan positif kepada portfolio pelaburan KWSP.

“Bagaimanapun, risiko kekal dalam prospek global seperti trajektori dan kadar pengurangan kadar faedah, ketegangan geopolitik yang berterusan dan semakin meningkat terutama di Timur Tengah, serta potensi tarif import yang lebih tinggi ke AS dengan pemilihan Donald Trump minggu lepas,” kata  Ahmad Zulqarnain.

Beliau berkata pendapatan daripada pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang besar kepada pendapatan suku ketiga 2024, menjana sebanyak RM18.32 bilion berbanding RM9.17 bilion dalam suku ketiga 2023.

Sementara itu, instrumen pendapatan tetap menyediakan aliran pendapatan stabil dan mengurangkan impak ketidaktentuan pasaran jangka pendek — dengan kelas aset ini, merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan bon sama taraf, serta pinjaman dan bon, menyumbang 33 peratus atau RM6.51 bilion kepada jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku ketiga 2024.

Hartanah dan infrastruktur pula mencatatkan keuntungan sebanyak RM820 juta dalam suku ketiga 2024 berdasarkan kadar mata wang tetap.

“Memandangkan majoriti pelaburan dalam hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang didenominasikan dalam mata wang selain ringgit, dan dengan pengukuhan ringgit baru-baru ini berbanding dolar AS pada suku ketiga 2024, kelas aset ini masing-masing mengalami kerugian RM3.71 bilion dan RM1.45 bilion selepas penukaran mata wang asing,” katanya.

Bagaimanapun kedudukan ini bersifat sementara, mencerminkan pergerakan mata wang semasa.

Selain itu, pelaburan KWSP dalam hartanah dan infrastruktur adalah untuk jangka masa panjang, dengan pergerakan mata wang mempunyai impak yang lebih kecil terhadap pulangan sebenar keseluruhan.

Setakat September 2024, jumlah aset pelaburan KWSP berjumlah RM1.22 trilion dengan 62.2 peratus dan 37.8 peratus diperuntukkan kepada pelaburan dalam dan luar negara.

“Dalam suku ketiga 2024, pelaburan luar negara menyumbang RM10.50 bilion, merangkumi 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

“Daripada jumlah pendapatan pelaburan, RM48.02 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional manakala RM9.55 bilion untuk Simpanan Syariah,” kata KWSP.

Pasaran buruh Malaysia pula menunjukkan prestasi yang kukuh, dengan peningkatan pekerjaan sebanyak 1.9 peratus tahun ke tahun dan kadar pengangguran kekal rendah pada 3.2 peratus.

Selain itu, kadar penyertaan tenaga kerja kekal stabil pada 70.5 peratus.

Persekitaran pasaran buruh yang positif ini telah menyumbang kepada peningkatan keahlian baharu  KWSP sebanyak 364,364, menjadikan jumlah keahlian setakat September 2024 kepada 16.1 juta. 

Jumlah ahli aktif berjumlah 8.69 juta mewakili 50.4 peratus daripada 17.24 juta tenaga kerja Malaysia.

Selain itu, pendaftaran majikan baharu yang dicatatkan dalam tempoh tersebut ialah 55,717, menjadikan jumlah majikan aktif berdaftar dengan KWSP kepada 612,889.

Jumlah sumbangan yang diterima meningkat daripada RM23.1 bilion pada suku ketiga 2023 kepada RM25.2 bilion pada suku ketiga 2024, katanya.

Sepanjang separuh pertama 2024, jumlah sumbangan i-Saraan meningkat 103 peratus kepada RM1.61 bilion daripada RM789.3 juta dan peningkatan 56 peratus kepada 30,196 daripada 211,361 ahli dalam tempoh sembilan bulan 2023.

Dalam sembilan bulan pertama 2024, KWSP mencatatkan pertumbuhan 29 peratus dalam bilangan pencarum sukarela kepada 938,695 daripada 730,066 pada sembilan bulan pertama 2023.

Jumlah caruman sukarela sebanyak RM10.37 bilion, peningkatan 72 peratus daripada RM6.03 bilion pada sembilan bulan pertama 2023.

Sementara itu, bilangan ahli sektor formal yang memilih untuk mencarum melebihi kadar berkanun adalah 65,695 dalam sembilan bulan pertama 2024 berbanding 55,946 dalam sembilan bulan pertama 2023.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Zakat KWSP: Kenapa Kena Bayar Walaupun Tak Keluarkan Duit?

Ramai mungkin tertanya-tanya, kalau duit KWSP masih tersimpan dan belum dikeluarkan, kenapa pula perlu bayar zakat setiap tahun?

Persoalan ini timbul selepas KWSP memperkenalkan kemudahan pembayaran Zakat Perniagaan Simpanan Shariah melalui potongan dividen tahunan. Untuk memahami rasionalnya, kita perlu melihat bagaimana Simpanan Shariah KWSP diuruskan dan bagaimana zakatnya dikira.

1. KWSP melaburkan simpanan ahli secara kolektif

Bagi Simpanan Shariah, caruman ahli dihimpunkan dalam satu portfolio pelaburan yang diuruskan oleh KWSP mengikut prinsip Syariah. Pelaburan ini menjana pulangan yang diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen tahunan.

Dalam urusan ini, KWSP bertindak sebagai wakil (wakil) dan pemegang amanah yang menguruskan serta melaburkan simpanan bagi pihak ahli berdasarkan akad wakalah.

2. Kenapa kena bayar zakat walaupun duit belum dikeluarkan?

Persoalan ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September 2024.

Muzakarah memutuskan bahawa akaun Simpanan Shariah memenuhi ciri pemilikan sempurna (al-milk al-tam) dan hak untuk berurus niaga (haq al-tasarruf) melalui pemberian wakalah kepada KWSP.

Oleh itu, kewajipan zakat bagi Simpanan Shariah ditetapkan sebagai zakat perniagaan tahunan, berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2025. Kewajipan ini tidak bergantung pada sama ada ahli sudah mengeluarkan wang daripada akaun KWSP atau belum.

3. Bagaimana pula kalau simpanan tak cukup nisab?

Ini antara perkara yang mungkin mengejutkan ramai orang.

Biasanya, zakat individu dikaitkan dengan nisab, iaitu paras minimum harta yang ditetapkan untuk mewajibkan zakat. Namun, bagi Simpanan Shariah, KWSP menguruskan dana secara kolektif atau khultah, bukannya mengasingkan pelaburan bagi setiap ahli.

Oleh itu, penentuan nisab dibuat berdasarkan keseluruhan dana terkumpul yang tertakluk kepada zakat. Jumlah tanggungan zakat setiap ahli Muslim kemudiannya ditentukan secara berkadar berdasarkan Kadar Zakat Ahli masing-masing.

Maka, kewajipan ini boleh terpakai walaupun baki simpanan seseorang ahli secara individu berada di bawah nisab.

4. Macam mana nak bayar zakat KWSP?

Ahli Muslim yang telah memilih Simpanan Shariah boleh memberikan persetujuan kepada KWSP untuk memotong zakat daripada dividen tahunan dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa zakat negeri berkaitan.

Pilihan ini boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun, portal i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST) atau pejabat KWSP.

Cara mengaktifkan kemudahan zakat KWSP:

  1. Buka KWSP i-Akaun dan tekan menu Profil.
  2. Pilih menu Zakat.
  3. Buat pilihan untuk mewakilkan KWSP menguruskan pembayaran zakat bagi Simpanan Shariah anda.
  4. Lengkapkan maklumat dan sahkan pilihan.

Jika tidak memilih kemudahan potongan dividen, ahli tetap bertanggungjawab menguruskan pembayaran zakat perniagaan Simpanan Shariah sendiri berdasarkan kadar yang dimaklumkan oleh KWSP.

Kemudahan potongan ini bukan automatik; persetujuan ahli diperlukan terlebih dahulu.

5. Adakah sama dengan Simpanan Konvensional?

Tidak. Kaedah zakat bagi Simpanan Konvensional berbeza dan tertakluk kepada ketetapan serta kaedah yang berkaitan, termasuk zakat atas wang yang dikeluarkan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.

Bagi Simpanan Shariah yang telah dizakatkan melalui kemudahan ini, ahli tidak perlu membayar zakat sekali lagi secara berasingan atas simpanan yang sama apabila membuat pengeluaran.

Kesimpulan

Zakat KWSP ini bukan semata-mata zakat atas wang yang sudah berada dalam tangan. Bagi Simpanan Shariah, kewajipan zakat perniagaan ditentukan berdasarkan kaedah pengurusan pelaburan secara kolektif dan keputusan hukum yang berkaitan.

Kemudahan baharu KWSP ini bertujuan memudahkan ahli Muslim menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu menguruskan pengiraan dan pembayaran sendiri.

Satu lagi persoalan yang menarik: jika zakat ini dibayar melalui potongan dividen dan ahli menerima resit rasmi daripada pihak berkuasa zakat negeri, bolehkah bayaran tersebut dituntut sebagai rebat cukai pendapatan melalui e-Filing? Jawapannya boleh. Bayaran zakat KWSP ini boleh dituntut sebagai rebat cukai pendapatan sebab bayaran dibuat kepada pihak berkuasa zakat yang diiktiraf.