MMC & Syed Mokhtar Pacu Projek Gas RM3 Bilion di Kedah

Malaysia bakal menyaksikan satu lagi projek tenaga berskala besar apabila sebuah kemudahan gas bernilai sekitar USD765 juta (~RM3 bilion) diluluskan di Kedah.

Projek ini mula mendapat perhatian selepas dilaporkan oleh Forbes sebagai

“a $765 million LNG facility”

yang disokong oleh tokoh korporat terkenal, Syed Mokhtar Albukhary, yang mempunyai kepentingan dalam kumpulan infrastruktur utama negara seperti MMC Corporation Berhad.

Menurut laporan The Edge Malaysia, projek ini telah

“received a letter to proceed (LTP) from the Energy Commission”,

yang membolehkan ia memasuki fasa seterusnya seperti kejuruteraan, pembiayaan dan persediaan tapak.

Apabila mula beroperasi pada 2029, kemudahan ini dijangka mampu memproses sehingga enam juta tan gas setahun.

Apa yang projek ini akan buat?

Kemudahan ini akan berfungsi sebagai terminal untuk menerima LNG (Liquefied Natural Gas) iaitu gas asli yang dicairkan untuk memudahkan penghantaran menggunakan kapal.

Apabila sampai ke Malaysia, LNG ini akan:

  • diproses semula menjadi gas
  • disalurkan kepada industri
  • digunakan untuk penjanaan elektrik

Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh bekalan tenaga, khususnya di kawasan utara Semenanjung.

Kenapa projek ini penting?

Kelulusan projek ini menunjukkan Malaysia masih aktif membangunkan infrastruktur gas sebagai “bridge energy” dalam peralihan ke tenaga boleh diperbaharui.

Selain itu, ia juga:

  • meningkatkan keselamatan bekalan tenaga negara
  • menyokong pertumbuhan industri
  • membuka potensi pembangunan ekonomi di Kedah dan kawasan sekitarnya

Apa kaitan dengan Gas Malaysia?

Dalam ekosistem ini, Gas Malaysia Berhad berperanan sebagai pengagih gas kepada sektor industri dan komersial di Semenanjung.

Apabila bekalan gas bertambah melalui projek seperti ini:

  • kapasiti pengedaran boleh diperluaskan
  • lebih banyak kawasan boleh diliputi
  • penggunaan gas oleh industri berpotensi meningkat

Secara tidak langsung, ini mewujudkan peluang pertumbuhan kepada pemain pengedaran gas dalam jangka panjang.

Secara keseluruhan, saham Gas Malaysia juga telah naik lebih 28% sejak awal tahun.

Kesimpulan

Projek ini bukan sekadar pembinaan terminal gas, tetapi satu langkah strategik untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian tenaga serantau.

Dengan pelaburan berbilion ringgit dan penglibatan pemain utama industri, ia juga memberi isyarat bahawa permintaan terhadap gas masih relevan dan terus berkembang.

Senarai Saham Oil & Gas di Bursa Malaysia (Versi 2026)

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.