Pemberian e-Tunai Bantu Kerajaan Didik Rakyat Sedia Hadapi Ekonomi Digital – Ahmad Maslan

SHAH ALAM, 27 Julai (Bernama)– Pemberian kredit e-tunai RM100 kepada lebih 10 juta rakyat berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mendidik masyarakat berdepan dengan ekonomi digital dan tanpa tunai pada masa depan, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan.

Bagaimanapun beliau berkata, kira-kira 30 peratus daripada jumlah penerima e-tunai tersebut kemungkinan akan berdepan kesukaran untuk menerima bantuan itu kerana tidak mempunyai akses kepada sistem yang berkenaan.

“Jadi kita minta supaya para pemimpin setempat berusaha untuk membantu semua golongan mendapatkan e-tunai itu, sebagai contoh ketua kampung dan penghulu, untuk mengajar rakyat yang tidak begitu celik dengan teknologi, kerana ini satu proses (pembelajaran),”  katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Erbe, CTOS dan CelcomDigi, di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju menawarkan kredit e-tunai RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.

Anwar berkata bilangan penerima yang layak dianggarkan melebihi 10 juta orang iaitu merangkumi golongan B40 dan M40 dengan dana sekitar RM1 bilion.

Ahmad berkata inisiatif pemberian kredit e-tunai itu diharapkan dapat membantu meningkatkan aktiviti ekonomi setempat selain bertujuan untuk mendidik rakyat mengenai ekonomi digitalisasi dan memupuk budaya masyarakat tanpa tunai.

Dalam pada itu beliau berkata Kementerian Kewangan juga bersedia untuk melaksana segera pemberian e-tunai tersebut dan bantuan khas penghargaan RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta bantuan RM200 kepada pesara kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri hari ini. 

–BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA