Perjanjian Dagangan Dua Hala Antara Topik Perbincangan Malaysia-AS, Kata MITI

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) — Malaysia telah menyatakan kesediaan untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) dalam empat bidang utama — mengurangkan defisit dagangan, menangani halangan bukan tarif, memperkukuh perlindungan dan keselamatan teknologi serta meneroka potensi perjanjian perdagangan dua hala.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataannya pada Jumaat berkata Malaysia turut berkongsi kesediaannya untuk terus bekerjasama dengan AS bagi mencapai penyelesaian dipersetujui bersama membabitkan perkara tarif timbal balas yang diumumkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah mengetuai delegasi Malaysia untuk bertemu dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS Duta Besar Jamieson Greer di Washington DC pada Khamis yang membabitkan isu tarif timbal balas dikenakan ke atas Malaysia.

“Malaysia berpendapat optimis mengenai pemberhentian (penangguhan) sementara selama 90 hari baru-mengenai pelaksanaan langkah tarif baru-baru ini dan menganggapnya sebagai satu peluang untuk libat urus secara membina dengan pihak AS.

“Selain itu, Malaysia juga telah menyatakan secara terbuka bahawa ia tidak akan mengambil tindakan balas terhadap AS, namun bersedia untuk bekerjasama bagi mencapai persetujuan bersama mengenai kebimbangan yang dibangkitkan oleh pentadbiran Trump,” katanya.

Menjelaskan selanjutnya, MITI berkata dalam kedua-dua mesyuarat itu, penekanan diberikan ke atas peranan AS yang selama ini dan akan terus menjadi antara rakan ekonomi Malaysia yang utama serta strategik.

Peranan itu, kata MITI, jelas terbukti apabila syarikat-syarikat AS sejak beberapa dekad lamanya telah memberi sumbangan besar terhadap ekonomi Malaysia, malah hubungan itu memberi manfaat ketara ke atas perniagaan dan barisan pekerja di kedua-dua negara.

“Pada masa sama, kita turut mengetengahkan prestasi perdagangan dua hala kukuh sejak 10 tahun lepas yang telah menjadi lebih seimbang, terutama apabila defisit dagangan dicatatkan AS telah menunjukkan arah aliran penurunan, sekali gus mencerminkan perubahan bermanfaat dalam perdagangan dua hala,” katanya.

Sehubungan itu, MITI berkata Malaysia akan terus meninjau kaedah alternatif bagi menangani kebimbangan AS selain memastikan kelangsungan aliran perdagangan Malaysia-AS yang memberi manfaat bersama.

Sementara itu, berkongsi sentimen sama, Tengku Zafrul menyifatkan pertemuan pertama dengan Lutnick dan Greer sebagai “langkah pada haluan yang tepat.”

“Kita akan terus mengekalkan momentum in dengan melakukan langkah susulan segera ke atas beberapa isu utama yang dibincangkan sejak bermulanya tempoh penangguhan tarif itu.

“Malaysia turut menegaskan bahawa semua saluran komunikasi kekal terbuka dan akan terus berusaha ke arah mencapai penyelesaian bersama,” katanya.

Di samping itu, MITI berkata perbincangan turut menumpukan bagaimana AS dapat bekerjasama lebih erat dengan ASEAN, terutama seiring kedudukan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini yang menjadi peluang tepat pada masanya dalam memajukan matlamat bersama serta bagi kestabilan serantau.

— BERNAMA

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA