Bin Zayed Labur US$500 Juta Dalam Projek Kilang Penapisan Bahan Api Penerbangan


KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) — Bin Zayed International (M) Bhd (BZI) akan melabur US$500 juta untuk membangunkan kilang penapisan bahan api penerbangan mampan — kemudahan bersepadu pertama di dunia di Pelabuhan Klang — yang akan meletakkan Malaysia di barisan hadapan bagi pengeluaran bahan api penerbangan bersih.

Pengarah Urusan BZI dan Pengarah Eksekutif Bin Zayed (S) Pte Ltd Datuk Seri Dr Shamir Kumar Nandy berkata kilang penapisan ini yang dibangunkan dengan kerjasama FatHopes Energy Sdn Bhd (FHE) dijangka  memulakan pembinaan dalam tempoh 12 bulan selepas mendapat kelulusan kawal selia yang diperlukan dan pencapaian penting projek.

“Jumlah anggaran yang diperlukan bagi kilang penapisan ini kira-kira US$500 juta. Kami akan menaja jamin keseluruhan jumlah ini buat masa ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian antara Bin Zayed International dan FatHopes Energy.

Majlis pemeteraian ini disaksikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Projek ini akan dijalankan secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan akan datang dengan operasi komersial dijangka bermula pada 2029.

Kilang penapisan itu akan disokong oleh stok suapan, atau bahan yang dikumpulkan dalam sistem digital FHE yang akan berperanan sebagai asas untuk kelayakan mengesan yang boleh dipercayai.

Shamir Kumar turut mengesahkan BZI sedang dalam proses untuk memperoleh pegangan ekuiti dalam FHE. Peratusan akhir dan penilaian ini sedang dirundingkan.

“Komitmen kami adalah untuk membiayai keseluruhan pelaburan bagi pembinaan kilang penapisan ini. Keputusan dari segi ekuiti akan dimiliki akan ditentukan sepanjang perkembangan projek ini,” katanya.

Mengenai penglibatannya dalam industri SAF, Shamir Kumar berkata kerjasama ini menandakan penglibatan Bin Zayed yang lebih terperinci dalam sektor tenaga boleh baharu di Malaysia dan serantau.

Menurutnya Malaysia menyediakan persekitaran yang sesuai untuk bersaing di peringkat global dari segi pengeluaran SAF.

Ketua Pegawai Eksekutif FHE Vinesh Sinha berkata kilang penapisan ini diwujudkan untuk kapasiti pengeluaran sebanyak 300,000 tan SAF setiap tahun, yang memerlukan kira-kira 330,000 tan stok suapan.

“Kami kini dalam peringkat kebolehlaksanaan. Kilang ini akan mampu memproses pelbagai bahan buangan dan sisa termasuk minyak masak terpakai,” katanya.

Vinesh menekankan industri ini sangat bergantung kepada mandat kerajaan tetapi menyatakan keyakinan bahawa kerjasama dengan Bin Zayed akan membantu menangani halangan sedemikian.

“Menerusi Bin Zayed Group, saya yakin kami akan mempunyai akses bukan sahaja di Malaysia. Terdapat operasi yang kukuh di Timur Tengah, iaitu satu lagi wilayah yang serius dalam usaha penyahkarbonan,” katanya.

Sementara itu Nik Nazmi  dalam ucaptama beliau berkata kerjasama ini selaras dengan visi Malaysia untuk berada di barisan hadapan dalam industri SAF.

“Kita mempunyai Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang menyasarkan campuran SAF sebanyak 47 peratus menjelang 2050, bermula dengan mandat satu peratus. Ia turut menyokong Pelan Hala Tuju Penyahkarbonan Penerbangan Malaysia dan Pelan Tindakan Udara Bersih,” katanya.

Kerjasama BZI-FHE ini mencerminkan kepimpinan yang diperlukan untuk Malaysia meneraju sektor tenaga bersih dan pengeluaran SAF.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Harga Barang Dijangka Terkawal Pada Separuh Kedua 2026

KUALA LUMPUR: Harga barang di Malaysia dijangka kekal terkawal pada separuh kedua tahun ini seandainya kenaikan harga minyak dunia hanya bersifat sementara, demikian menurut penganalisis.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak, berkata bagi separuh kedua tahun ini, harga barang dijangka masih terkawal tetapi berisiko meningkat secara berperingkat, terutama jika harga tenaga dan kos logistik terus meningkat.

Beliau berkata, tekanan inflasi mungkin lebih ketara dalam kategori makanan dan pengangkutan, namun langkah kerajaan seperti kawalan harga bersasar serta subsidi terpilih boleh membantu mengekang kenaikan mendadak.

“Secara keseluruhan, inflasi dijangka kekal dalam julat terkawal, tetapi dengan risiko ke arah kenaikan,” katanya kepada BH.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ketua Ahli Ekonomi Negara IPPFA, Mohd Sedek Jantan, pula berkata pihaknya masih menjangkakan harga barangan kekal terkawal pada separuh kedua tahun ini.

Beliau berkata, walaupun konflik di Asia Barat meningkatkan risiko kos import, kesannya dijangka terhad sekiranya kenaikan harga minyak hanya bersifat sementara.

Menurutnya, mekanisme subsidi bahan api sedia ada membantu mengurangkan kesan langsung kepada pengguna, manakala sebarang peningkatan kos pengangkutan dan logistik lazimnya mengambil masa sebelum dipindahkan kepada harga pengguna.

Selain itu, Mohd Sedek berkata, pelbagai inisiatif kerajaan bagi mengawal inflasi tolakan kos, termasuk penyasaran subsidi, pemantauan harga barangan keperluan serta usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan, dijangka terus membantu mengekang tekanan inflasi.

“Oleh itu, kami masih mengekalkan unjuran inflasi sekitar 2.0 peratus bagi keseluruhan tahun 2026,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peralihan kepada pasaran seperti perdagangan dan pelaburan yang menghala ke arah BRICS dan Eropah Timur perlu diberi perhatian khusus bagi memastikan komuniti perniagaan serta perundangan dapat diselarikan bagi memudahkan jalinan hubungan diplomatik dan perniagaan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Beliau berkata, sekiranya harga bahan api kembali meningkat, maka terdapat kemungkinan kadar inflasi juga meningkat memandangkan tidak semua sektor ekonomi mendapat subsidi bahan api.

Justeru, katanya, risiko inflasi yang meningkat adalah antara risiko makroekonomi yang boleh berlaku pada separuh kedua 2026.

— Berita Harian