RTS Link, Projek Berwawasan Melangkaui Sempadan Dan Inovasi

JOHOR BAHRU, 12 Jan (Bernama) — Perjalanan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) setakat ini amat memberangsangkan dan “berwawasan,” melangkaui sempadan dan inovasi, sekali gus berperanan sebagai asas kepada pelancaran lebih banyak projek yang mencatat kejayaan, bukan sahaja di wilayah selatan, malah di negara ini.

Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong untuk menyaksikan detik bersejarah “penyambungan” projek berkenaan antara Malaysia dan Singapura semalam pastinya telah meningkatkan profilnya bukan sahaja di rantau ini, malah memberikan kejutan kepada negara luar.

Menggambarkan projek itu sebagai “perjalanan transformatif,” Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Mohd Zarif Mohd Hashim berkata projek ini tentu sahaja menguji kemampuan syarikat menjangkau norma dan amalan biasa, sekali gus menjadikan segala cabaran itu sesuatu yang menarik dan mengujakan.

“Kami di MRT Corp meletakkan diri bukan sahaja sebagai pelaksana, malah selaku fasilitator yang memudahkan pelbagai aktiviti, banyak penambahbaikan, banyak perubahan yang akan dinikmati Johor Bahru.

Beliau berkata ini adalah perjalanan transformatif yang menjangkau skop tugasan biasa syarikat kerana turut perlu terlibat dari segi perubahan dasar, pertukaran prosedur operasi standard (SOP) dan proses.

“Perubahan dari segi bagaimana kami melaksanakan sesuatu misalnya kelulusan imigresen, melepasi kastam, bagaimana kami mereka bentuk, laluan pejalan kaki, pergerakan orang ramai di sekitar infrastruktur rel itu.

“Kesimpulannya, kami berharap berupaya memberikan nilai kepada rakyat. Bukan sahaja dari segi kemudahan merentas sempadan, malah nilai dalam aspek pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan,” katanya dalam temu bual di sini baru-baru ini.

Mohd Zarif berkata semua pihak berkepentingan dalam projek itu mempunyai objektif sama iaitu untuk menyiapkan projek RTS Link demi negara, namun cabarannya adalah bagi memenuhi segala permintaan dan harapan yang pelbagai.

“Saya tidak menganggap (semua kehendak dan harapan) sebagai masalah, sebaliknya disifatkan sebagai perjalanan yang mengujakan kerana jika kita mampu melaksanakannya menerusi RTS, saya yakin kita juga berupaya melakukannya (mengulangi kejayaan) dalam banyak projek di negara ini. Oleh itu, anda perlu melihat perspektif berkenaan,” katanya mengenai projek RTS yang telah mencapai kemajuan di peringkat pertengahan itu.

Sebagai contoh, beliau berkata harapan orang ramai iaitu selaku aspek terpenting dalam hal ini adalah dapat menaiki kereta api dan merentas sempadan dalam tempoh paling cepat.

“Oleh itu, jika kita dapat membina infrastruktur ini, adakah ini bererti perjalanan telah selesai? Bagaimana dengan jarak yang perlu dilalui orang ramai, tempat letak kereta, pelepasan imigresen, jumlah pintu untuk kelulusan imigresen dan masa yang diambil untuk memberi pelepasan kepada setiap individu?

“Jadi inilah yang saya katakan membina infrastruktur merupakan perkara biasa yang kami lakukan sama seperti di Kuala Lumpur, tetapi di Johor Bahru, ia menuntut kami bekerja melangkaui skop kebiasaan kerana harus memenuhi kehendak rakyat,” katanya.

Justeru, katanya, MRT Corp harus berupaya untuk beroperasi, berbincang dan berdialog dengan pelbagai pihak yang berbeza bagi menyempunakan projek ini.

Beliau berkata menerusi sesi dialog dan pertemuan yang berterusan, sebagai contoh, kedua-dua negara bersetuju agar kemudahan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Malaysia dan kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Singapura ditempatkan dalam bangunan yang sama bagi memudahkan proses imigresen keluar dan masuk kedua-dua negara di stesen berlepas.

Mohd Zarif berkata menerusi projek itu yang masih berbaki kurang daripada tiga tahun lagi, MRT Corp masih cekal berusaha mencari lebih banyak kaedah melakukan penambahbaikan termasuk di luar sempadan bagi mendapatkan “hasil yang sebaik mungkin” sambil memenuhi jangkaan dan permintaan pihak berkepentingan terutamanya rakyat.

“Untuk melaksanakan (projek) sebesar ini, ia mungkin mustahil tanpa usaha dan kerjasama pelbagai kementerian, agensi kerajaan serta pihak kerajaan negeri dan Persekutuan.  

“Boleh dikatakan semua pihak yang terlibat dalam projek ini sebenarnya menghabiskan masa yang agak lama untuk memastikan projek berjalan mengikut jadual dan ini juga sebenanrnya membuktikan bagaimana kita sebagai sebuah negara boleh bersatu untuk membangunkan projek nasional strategik yang penting,” katanya.

Beliau juga berharap RTS akan berfungsi sebagai pemangkin kepada seluruh projek utama pada masa hadapan.

Mohd Zarif berkata kemajuan semasa RTS Link juga merupakan bukti dedikasi kerja keras semua pihak yang terlibat dalam pembinaan projek ini, membawa Malaysia dan Singapura selangkah ke hadapan untuk merealisasikan rangkaian pengangkutan rentas sempadan yang lancar dan cekap.

“Penyambungan ‘span’ itu berfungsi sebagai penghubung kedua-dua negara melalui reka bentuk seni bina dan kejuruteraan bagi mencapai visi bersama untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau,” katanya.

Semalam, Anwar dan Lee menyaksikan detik penting penyempurnaan ‘penyambungan span’ di titik pertemuan jejambat marin RTS Link antara Johor Bahru dan Singapura, sekali gus membuktikan komitmen kedua-dua negara untuk menyiapkan projek itu menjelang akhir 2026.

Projek RTS Link adalah rangkaian kereta api ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen masing-masing di Bukit Chagar di sini dan di Woodlands North, Singapura.

Laluan RTS Link itu akan mempunyai kapasiti sebanyak 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap hala dan jangkaan kira-kira 40,000 penumpang sehari apabila dibuka kelak.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari