Selangor Rancang Bangunkan Tenaga Kerja Sifar Bersih Menerusi SDS

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) — Kerajaan Selangor merancang untuk membangunkan tenaga kerja sifar bersih dengan memperluas modul latihan yang ditawarkan Sekolah Digital Selangor (SDS).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu akan membolehkan negeri mencapai keneutralan karbon dan mempercepat penerapan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam tadbir urus, strategi perniagaan dan pengurusan operasi di Selangor.

“Ini akan memberikan manfaat yang besar kepada orang ramai memandangkan kita boleh nyahkarbon dengan pesat dan pada masa sama mengurangkan bil tenaga isi rumah dan subsidi bahan api,” katanya semasa berucap pada perasmian Persidangan Bandar Pintar Asia: Sidang Kemuncak Datuk Bandar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, pada Khamis.

Persidangan itu merupakan antara elemen teras Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2022 anjuran kerajaan negeri Selangor menerusi Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Selangor (SIDEC), sempena Sidang Kemucak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS).

SDS ditubuhkan untuk menangani kekurangan bakat digital di Selangor menerusi kerjasama antara Penjana Kapital Sdn Bhd; SIDEC; The Hive Southeast Asia; EZT Group dan Digital Marketing Consultancy.

Beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM30 juta dalam dana modal teroka menerusi Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) untuk mempercepat pertumbuhan syarikat pemula niaga Selangor terutama dalam bidang sifar bersih, ekonomi sirkular dan bandar pintar.

Selangor juga mempunyai sejumlah syarikat pemula niaga yang dibimbing menerusi Program Pemecut Selangor, yang bersedia untuk menggalakkan tenaga bersih dan alternatif di samping menerajui peralihan kepada ekonomi sirkular.

Amirudin berkata Malaysia mempunyai begitu banyak potensi dari segi membangunkan sumber tenaga boleh baharu seperti solar, bahan api bio dan biojisim.

“Kita gembira melihat syarikat berkaitan kerajaan seperti Petronas, Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia Bhd, FGV Holdings Bhd dan syarikat lain mula meneroka bidang tenaga boleh baharu dengan mewujudkan usaha niaga serta melabur ke dalam syarikat pemula niaga ESG,” katanya.

Beliau berkata perubahan alam sekitar disebabkan kepesatan urbanisasi mengakibatkan gelombang haba, kemarau panjang, hujan lebat, banjir kilat dan kebakaran hutan yang boleh membawa maut, telah mengajar dunia mengenai keperluan daya tahan, kemampanan dan pendigitalan.

“Bencana perubahan iklim ini bukan hanya menyebabkan kehilangan nyawa dan krisis ekonomi malah juga mendatangkan malapetaka bekalan makanan dan tenaga.

“Melaksanakan inisiatif bandar pintar dilihat menjadi usaha ke hadapan memandangkan bandar-bandar ini menumpukan infrastruktur fizikal, sosial, ekonomi dan institusi pintar serta alat digital untuk menyampaikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat dan meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.

Mengikut Pelan Tindakan Selangor Pintar 2025, kerajaan negeri menerajui penggunaan teknologi digital pintar melalui empat domain utama iaitu Kerajaan Pintar, Ekonomi Pintar, Komuniti Pintar dan Infrastruktur Digital Pintar dalam merealisasikan wawasan Selangor sebagai Negeri Pintar Berdaya Huni di ASEAN menjelang 2025.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/selangor-rancang-bangunkan-tenaga-kerja-sifar-bersih-menerusi-sds/

Previous ArticleNext Article

AICB Iktiraf Lebih 700 Profesional Perbankan, Perkukuh Bakat Masa Hadapan Malaysia dan Serantau

Kuala Lumpur: Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) menzahirkan iltizam berterusan dalam memperkukuh pembangunan bakat perbankan di Malaysia dan rantau ini dengan meraikan lebih 700 profesional perbankan semasa 9th Chartered Banker Conferment Ceremony, yang turut menghimpunkan ahli dari Kemboja, Maldives dan Filipina. Penyertaan ahli serantau mencerminkan pengaruh AICB yang kian berkembang serta dedikasinya untuk memartabat piawaian profesional dalam lapangan perkhidmatan kewangan.

Majlis tersebut yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menempa satu lagi pencapaian bermakna bagi profesion perbankan tatkala industri mengharungi landskap yang kian dinamik, didorong perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), kemunculan aset digital, komitmen kelestarian serta persekitaran risiko yang semakin rencam dan kompleks. Menurut Tinjauan Tenaga Kerja AICB 2025, sebanyak 57% institusi kewangan masih pada peringkat awal penerapan AI, manakala 62% menyatakan bahawa kepesatan perkembangan teknologi yang mengatasi keupayaan semasa tenaga kerja ialah halangan utama dalam merapatkan jurang kemahiran. Keadaan ini menuntut kesegeraan untuk memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja, keupayaan tatakelola serta pembangunan kemahiran kritikal dan baharu seiring perkembangan sektor perbankan.

Semasa ucaptama YBrs. Encik Adnan Zaylani, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, beliau berkata: “Melangkah ke hadapan, tanggungjawab warga perbankan perlu berkembang melangkaui fungsi pembiayaan tradisional agar dapat memangkin pertumbuhan. Bank bukan sahaja berperanan sebagai perantara kewangan, malah turut menjadi pemacu strategik transformasi ekonomi. Seiring anjakan landskap operasi, pertumbuhan ekonomi dan industri kini semakin dibayangi risiko yang kompleks serta saling berkait, sekali gus menuntut pertimbangan profesional, kefahaman kontekstual dan penilaian risiko yang lebih berpandangan jauh.”

Dalam ucapan alu-aluan, YBhg. Tan Sri Azman Hashim, Pengerusi AICB, menyebut: “Sektor perbankan Malaysia hendaklah meletakkan keutamaan yang sama terhadap pelaburan bagi pembangunan modal insan sepertimana pembangunan teknologi. Tatkala AI, aset digital dan agenda kelestarian mencorak semula landskap perkhidmatan kewangan, industri memerlukan warga perbankan yang berupaya memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab, mengurus risiko baharu serta mengekalkan keyakinan awam. Kelayakan profesional AICB, bersama inisiatif seperti Future Skills Framework (FSF) dan FSF Xcel – platform penilaian kemahiran – direka untuk membantu institusi perbankan mengenal pasti, membangun dan mengekalkan kemahiran yang diperlukan bagi melahirkan tenaga kerja berdaya tahan dan bersedia menempuhi masa depan.”

Paul Denton, Presiden Chartered Banker Institute (CBI), United Kingdom, berkata: “Dalam persekitaran global yang semakin kompleks, profesional perbankan bukan sahaja perlu menguasai teknologi baharu, malah  dituntut untuk menampilkan pertimbangan profesional yang ampuh, kepimpinan beretika serta pertanggungjawaban jangka panjang. Status Chartered Banker melambangkan komitmen tersebut. Penganugerahan hari ini mengiktiraf pencapaian individu serta meraikan penyertaan dalam komuniti profesional global yang berpaksikan integriti, kompetensi dan kepercayaan awam. Melalui kerjasama erat bersama AICB sejak sekian lama, kami berbangga dapat menyokong profesional perbankan di Malaysia dan rantau ini dalam membangunkan kemahiran, pertimbangan dan nilai yang diperlukan untuk mengemudi perubahan.”

Pada majlis tersebut, AICB menganugerahkan status Fellow Chartered Banker kepada tujuh tokoh perbankan terkemuka, selain menganugerahkan status Chartered Banker kepada 114 ahli dan meraikan 611 Associate Chartered Banker, di samping penerima Anugerah Kecemerlangan dan Anugerah Korporat. Tujuh penerima status Fellow Chartered Banker ialah Amanah Aboobucker, Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan, Kumpulan AmBank; Faradina Mohammad Ghouse, Ketua Pegawai Pematuhan Kumpulan, Kumpulan AmBank; Shamsul Bahrom Mohamed Ibrahim, Ketua Pegawai Risiko Kumpulan, Kumpulan AmBank; YM Raja Shah Riman Raja Harun Al-Rashid, Ketua Pegawai Risiko dan Pematuhan, Cagamas Berhad; Arshad Mohamed Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Malaysian Rating Corporation Berhad; Dr Hu Meng Kui, Pemeriksa AICB bagi Modul Profesionalisme dan Etika; serta Fong Seow Loong, bekas Ketua Pegawai Kredit, Alliance Bank Malaysia Berhad.

Majlis tahun ini mencatat sejarah baharu buat AICB apabila Vorn Samedy dari Wing Bank (Cambodia) PLC dan Thong Min Fong dari Hong Leong Bank Berhad diiktiraf sebagai Overall Subject Prize Global Winners oleh Chartered Banker Institute, menerusi pengajian masing-masing dalam bidang Perbankan Komersial dan Pengurusan Risiko Bank. Pengiktirafan tersebut diberikan kepada mereka yang memperoleh markah tertinggi di peringkat global, sekali gus merupakan ahli AICB pertama menerima penghormatan berprestij ini.

Majlis tersebut turut mengiktiraf Kumpulan Public Bank selaku Platinum Winner of the Leading Bank for Professional Development Award atas pencapaian mempunyai jumlah pekerja bertauliah tertinggi dalam kalangan Bank Ahli Korporat AICB pada tahun 2025. Sementara itu, Kumpulan Maybank menerima Leading Bank for Chartered Banker Award kerana melahirkan jumlah Chartered Banker tertinggi pada tahun 2025. Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi terhadap pembelajaran berterusan, pemerkasaan standard profesionalisme serta pembangunan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa hadapan bagi industri perkhidmatan kewangan di Malaysia dan rantau ini. Kelayakan utama Chartered Banker yang ditawarkan AICB dilaksanakan bersama Chartered Banker Institute, United Kingdom, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pengiktirafan profesional perbankan bertaraf global. Seiring perubahan berterusan dalam industri perbankan, AICB kekal komited dalam memperkasa standard profesionalisme, memperluas budaya pembelajaran sepanjang hayat serta memupuk kepimpinan beretika bagi memastikan sektor perbankan Malaysia terus didukung oleh profesional yang berkeupayaan, bertanggungjawab dan diyakini untuk memimpin perubahan.