SST Naik 8%, Cukai Keuntungan Modal Pada 10%, Cukai Barang Bernilai Tinggi Diperkenalkan – PM ANWAR

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) — Beberapa langkah reformasi percukaian akan dilaksanakan mulai tahun hadapan bagi meluaskan asas hasil negara dan pada masa yang sama tidak membebankan majoriti rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata cukai yang dipungut oleh kerajaan adalah antara yang terendah di Asean pada 11.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar ketimbang (berbanding) Singapura (12.6 peratus) dan Thailand (16.4 peratus).

Menurutnya kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada 8.0 peratus ketimbang 6.0 peratus dan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi. 

“Kerajaan juga akan meluaskan skop perhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata kerajaan juga akan menguatkuasakan pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024.

Kerajaan turut mempetimbangkan pengecualian cukai keuntungan modal ke atas pelupusan saham berkaitan aktiviti tertentu seperti tawaran awam permulaan (IPO) yang diluluskan, penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Anwar berkata kerajaan akan turut menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan cukai barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan.  

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Malaysia Berpotensi Muncul Antara 30 Ekonomi Terbesar Dunia – Abdul Wahid

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) — Malaysia berpotensi menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia sekiranya pertumbuhan tahunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominalnya mengatasi negara-negara lain sekurang-kurangnya dua mata peratusan, menurut Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau ialah Pengerusi Cypark Resources Bhd, IOI Corporation Bhd, WWF-Malaysia dan MySDG Foundation selain berkhidmat sebagai Pengerusi Bersama Sunway Bhd serta Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia.

Abdul Wahid berkata Malaysia kini berada pada kedudukan ke-35 manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berada pada kedudukan ke-30 mempunyai saiz ekonomi kira-kira 20 peratus lebih besar berbanding Malaysia.

“Negara-negara yang berada di hadapan kita akan terus berkembang,” katanya ketika berucap pada Persidangan Wisdom Malaysia 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata keadaan itu bermakna Malaysia perlu berkembang pada kadar lebih pantas bagi mengecilkan jurang itu dan memasuki kelompok 30 ekonomi terbesar dunia.

Abdul Wahid berkata negara-negara yang lebih tinggi daripada Malaysia akan terus berkembang manakala ekonomi sedang pesat membangun yang kini berada di bawah Malaysia, termasuk Filipina dan Bangladesh, turut berhasrat mencapai pertumbuhan lebih pantas.

“Oleh itu, untuk berpotensi berada dalam kedudukan 30 atau lebih baik, kita perlu mengatasi kadar pertumbuhan negara-negara lain sekurang-kurangnya dua mata peratusan dari segi nominal,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini ekonomi Malaysia memaparkan prestasi baik walaupun berdepan cabaran global, dengan mencatatkan pertumbuhan kira-kira lima peratus dalam nilai sebenar.

“Dari segi nominal, ekonomi Malaysia berkembang sekitar tujuh peratus. Bagaimanapun, kita perlu mengekalkan momentum pertumbuhan ini bagi mencapai sasaran kelompok 30 ekonomi terbesar dunia,” katanya.

Menurut Abdul Wahid, pencapaian sasaran itu memerlukan negara untuk terus memperkenalkan dasar yang sesuai bagi menarik lebih banyak pelaburan daripada sumber asing dan domestik.

Persidangan Wisdom Malaysia 2026 kali kedua yang dianjurkan Kerjaya One PLT, menjadi platform bagi pemimpin industri semasa dan bekas pemimpin industri untuk berkongsi ilmu, pengalaman serta pandangan mereka dengan golongan pemimpin, pemimpin baharu dan kumpulan profesional.

Persidangan itu merangkumi sesi perkongsian mengenai kepimpinan, kemahiran menilai dan kajian kes transformasi, selain sesi soal jawab dan rangkaian kerjasama bagi membolehkan peserta mendapat pandangan yang praktikal daripada penceramah.

— BERNAMA