Kerajaan Akan Pendekkan Tempoh Proses Pensijilan Halal Kepada 30 Hari – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) — Kerajaan akan memendekkan tempoh memproses pensijilan halal kepada 30 hari daripada 51 hari sebelum ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Halal Development Corporation (HDC) bersama-sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menerajui usaha memudah cara pemprosesan pensijilan halal khususnya untuk pengeksport produk halal,” katanya dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau lagi, sebanyak sembilan institusi kewangan menawarkan program khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) halal di bawah platform bersepadu halal yang menawarkan akses kepada dana khas dan program bina upaya.

Katanya ia selaras dengan Pelan Induk Industri Halal 2030 yang menetapkan penanda aras sumbangan industri halal sebanyak 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

— BERNAMA

TAG: Anwar Ibrahim, Belanjawan 2024, Dewan Rakyat, Pensijilan Halal, HDC

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian