Tidak Perlu Tingkatkan Pembelian Dolar AS Secara Ketara, Elak Burukkan Lagi Keadaan – Gabenor BNM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) — Tidak perlu meningkatkan simpanan atau pembelian dolar AS secara ketara berikutan penyusutan nilai semasa ringgit akibat pengukuhan dolar AS dan korporat Malaysia boleh membantu mengekalkan situasi pasaran yang teratur dengan mengambil langkah yang tidak memburukkan lagi keadaan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pasaran pertukaran asing dalam negara kekal cair dan semua keperluan mata wang asing perniagaan dapat dipenuhi secara cekap.

“Oleh itu, tidak perlu meningkatkan simpanan atau pembelian dolar AS. Korporat dan institusi kewangan domestik juga perlu berhemat dalam menguruskan lembaran imbangan mereka.

“Ini termasuk mengelak daripada mewujudkan kelemahan baharu terutamanya daripada hutang mata wang asing dan ketidakseimbangan kewangan serta melindung nilai risikonya dengan sewajarnya,” katanya dalam ucapan mengenai “Navigating Malaysia’s Economic Transition in a post-COVID world” pada Khazanah Megatrends Forum 2022 hari ini.

Beliau berkata perniagaan dan pelabur yang mendapat manfaat daripada penyusutan nilai ringgit juga perlu mengambil peluang daripada ringgit yang lemah.

Misalnya, menurut Nor Shamsiah, bagi mereka dalam industri pelancongan dan eksport untuk meningkatkan pengeluaran dan memanfaatkan peluang ini, dan bagi mereka yang mempunyai operasi di peringkat global, untuk melabur semula dalam negara.

Dalam aspek yang lebih luas, katanya sebagai sebuah ekonomi terbuka, keutamaan dasar bagi Malaysia ialah mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran kestabilan harga dan mengukuhkan lagi asas ekonomi melalui pembaharuan yang diperlukan.

“Ini akan memberikan sokongan yang lebih baik kepada ringgit daripada menggunakan kawalan modal atau tambatan semula seperti yang dicadangkan oleh sesetengah pihak, yang akan memberikan lebih banyak kemudaratan kepada ekonomi,” kata Nor Shamsiah.

Pada 1.37 tengah hari, mata wang tempatan berada pada 4.6485/6515 berbanding dolar AS daripada 4.6400/6445 pada pembukaan pagi ini. 

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/tidak-perlu-tingkatkan-pembelian-dolar-as-secara-ketara-elak-burukkan-lagi-keadaan-gabenor-bnm/

Previous ArticleNext Article

Pembaharuan Subsidi, Kadar Cukai Tinggi Mungkin Tidak Popular, Tetapi Malaysia Memerlukannnya – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) — Tindakan berani yang diambil oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan ekonomi Malaysia walaupun melibatkan langkah-langkah yang tidak popular, tetapi penting untuk kemajuan negara, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata langkah melaksanakan pembaharuan subsidi diesel dan kadar cukai perkhidmatan yang lebih tinggi akan membolehkan Malaysia menghadapi sebarang cabaran ekonomi yang mungkin timbul pada masa hadapan.

“Apa yang lebih penting, ia adalah untuk membolehkan lebih ruang fiskal bagi kerajaan untuk berbelanja lebih dalam bidang yang boleh membawa lebih produktiviti untuk negara, terutamanya dalam bidang yang berkaitan dengan pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur,” katanya dalam program televisyen Bernama World hari ini.

Mohd Afzanizam menyatakan langkah-langkah pembaharuan itu telah mendapat sambutan yang baik daripada pelbagai pihak berkepentingan, terutamanya daripada pasaran kewangan, yang diterjemahkan kepada prestasi yang lebih baik bagi ringgit dan pasaran ekuiti.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata Malaysia telah berdepan dengan isu defisit belanjawan selama beberapa dekad dan defisit tersebut telah wujud tanpa mengira kitaran ekonomi.

“Secara idealnya, belanjawan seimbang seharusnya dicapai apabila ekonomi telah pulih sepenuhnya daripada sebarang bentuk kejutan, tetapi saya fikir ia lebih daripada itu, apa yang kita lihat adalah defisit tersebut berterusan dan telah menjadi struktur.

“Jadi saya rasa pentadbiran semasa ini sedang membuat langkah berani untuk memastikan kedudukan fiskal kita, terutamanya berkaitan dengan defisit dan tahap hutang, yang akan dikembalikan ke tahap yang lebih mampan,” katanya lagi.

Mohd Afzanizam berpendapat strategi pentadbiran semasa juga akan menarik minat pelabur asing, terutamanya kerana kedudukan kewangan yang lebih kukuh akan menghasilkan skor kredit yang lebih tinggi.

“Defisit fiskal atau hutang kerajaan ini sangat berkait rapat dengan risiko kredit dan risiko kredit sentiasa dinilai oleh agensi penarafan kredit seperti S&P dan Fitch Ratings.

“Agensi penarafan telah memberi ulasan positif terhadap pasaran Malaysia dan ini akan menjadi fokus jualan bagi pasaran Malaysia kita, yang akhirnya akan menarik lebih banyak dana asing ke Malaysia dan mungkin akan menyumbang kepada peningkatan nilai ringgit,” tambahnya.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam mengakui bahawa langkah-langkah yang tidak popular ini memerlukan komunikasi yang lebih baik dan kerajaan perlu jelas dalam menyampaikan mesej supaya rakyat dapat memahami objektif tindakan tersebut.

“Orang ramai perlu tahu apakah hasil yang akan mereka peroleh pada masa akan datang,” katanya.

— BERNAMA