Impak Penyusutan Ringgit Kepada Bayaran Hutang Langsung Kerajaan Adalah Kecil

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) — Kesan kemerosotan nilai mata wang ringgit ke atas bayaran hutang langsung kerajaan Persekutuan adalah kecil berikutan kebanyakannya dalam ringgit Malaysia dan kurang lima peratus dalam dolar Amerika Syarikat (AS).

Ketika menegaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kebanyakan hutang kerajaan adalah dalam nilai mata wang ringgit, khususnya Bil Perbendaharaan dan Sekuriti kerajaan yang membabitkan kesan amat kecil.

“Mungkin sesetengah institusi swasta ada hutang luar negara tetapi mengikut pandangan Bank Negara Malaysia (BNM), kedudukan kecairan bank-bank tempatan adalah baik dan rizab perlindungan kita kira-kira US$106 bilion yang melebihi hutang jangka pendek,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) mengenai kesan terhadap Bajet 2022, terutama bayaran oleh kerajaan dalam dolar AS dan adakah ini menyebabkan defisit negara meningkat.

Mustapa menjelaskan, turun naik nilai mata wang adalah perkara biasa dan prestasi ringgit tidak seteruk beberapa mata wang negara lain susulan tindakan bank pusat AS memperketat dasar monetari sebanyak 0.75 mata peratusan, baru-baru ini.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga sentiasa prihatin dalam usaha menjaga kebajikan Keluarga Malaysia, termasuk pemberian subsidi, bantuan dan insentif yang melibatkan peruntukan kira- kira RM80 bilion.

“Ini seperti  meneruskan pemberian subsidi bahan api dan tenaga kepada produk petroleum iaitu RON95, diesel dan gas cecair asli.

“Harga runcit petrol RON95 di Malaysia pada kadar RM2.05 seliter adalah antara terendah di dunia iaitu lebih rendah berbanding Qatar sebanyak RM2.7 seliter, Arab Saudi (RM2.8 seliter) dan Indonesia (RM4.7 seliter),” katanya. 

Menurutnya, sejumlah RM5.9 bilion turut disalurkan kepada 8.7 juta penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sehingga September 2022.

“Tanpa subsidi yang disediakan oleh kerajaan, Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan bahawa kadar inflasi negara adalah jauh lebih tinggi iaitu 10.6 peratus berbanding 4.7 pada Ogos 2022,” katanya.

Mustapa berkata dasar-dasar dan inisiatif kerajaan juga berjaya memulihkan ekonomi dan meringankan beban Keluarga Malaysia walaupun ekonomi negara sedang menghadapi pelbagai cabaran domestik dan global.

Jelas beliau, kalangan pakar ekonomi, termasuk daripada pertubuhan antarabangsa telah mengunjurkan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih rendah pada 2023 dan Malaysia sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, tidak terkecuali daripada tempias cabaran tersebut.

“Langkah-langkah bagi menangani cabaran ini akan diperincikan dalam Bajet 2023,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/impak-penyusutan-ringgit-kepada-bayaran-hutang-langsung-kerajaan-adalah-kecil/

Previous ArticleNext Article

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.