Alliance Bank Lancar “BizSmart® Challenge Accelerator Edition” dengan Kelayakan yang Diperluaskan

Kuala Lumpur, 5 Jun 2024 – Alliance Bank Malaysia Berhad (“Alliance Bank” atau “Bank”) hari ini melancarkan BizSmart® Challenge Accelerator Edition (“Cabaran” atau “Cabaran BizSmart®) sebagai satu inisiatif penting bertujuan memperkasakan para usahawan dalam mempercepatkan pertumbuhan perniagaan mereka. Sempena meraikan ulang tahun ke-10, Bank telah meluaskan kriteria kelayakan untuk cabaran ini supaya lebih banyak PKS dapat menyertai bagi merebut peluang mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih pantas.

Cabaran yang memasuki siri yang ketujuh kini akan diperluaskan lagi untuk menerima penyertaan daripada PKS Malaysia yang telah beroperasi selama 1 hingga 10 tahun dengan perolehan jualan tahunan sebanyak RM500,000 hingga RM40 juta. 

Buat pertama kali dalam sejarah Cabaran BizSmart®, cabaran tahun ini memberi peluang kepada 30 orang finalis teratas untuk mempersembahkan pelan perniagaan dan idea mereka kepada para pelabur modal teroka daripada 1337 Ventures dan 5X Capital. Ini memberi peluang yang penting kepada para usahawan untuk menarik perhatian pelabur seterusnya mendapat rakan niaga jangka panjang serta dana pelaburan yang akan membawa mereka ke peringkat yang lebih tinggi dalam perniagaan. Para finalis juga perlu menambat hati para hakim yang kemudiannya akan memilih 10 perniagaan teratas untuk memasuki pusingan kedua persembahan perniagaan dan peluang memenangi hadiah wang tunai, bimbingan perniagaan, pendedahan jenama dan latihan perniagaan bernilai sehingga RM2 juta selain keutamaan pembiayaan sehingga RM20 juta dari Bank.

Semua finalis Cabaran BizSmart® juga boleh memanfaatkan sumber, pengalaman dan pengetahuan para rakan program termasuk dari 1337 Ventures, 5X Capital, Credit Guarantee Corporation Malaysia (“CGC”) dan Cradle. Kerjasama ini menekankan nilai yang dikongsi bersama iaitu memberi peluang kepada pemilik perniagaan untuk mencapai potensi mereka yang sepenuhnya menerusi sokongan dan usaha mempercepatkan pertumbuhan perniagaan di Malaysia.

“Pelancaran BizSmart® Challenge Accelerator Edition menekankan lagi komitmen kami untuk mengembangkan perniagaan menerusi inisiatif yang inovatif yang menawarkan sokongan melalui penyelesaian perbankan dan bukan perbankan yang relevan dan dinamik. Kami sedar bahawa pemilik perniagaan berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya semasa fasa permulaan, termasuk usaha mendapatkan dana hinggalah kepada menerima latihan perniagaan yang berkaitan. Oleh yang demikian, kami bekerjasama dengan pakar-pakar daripada pelbagai bidang yang berbeza untuk memenuhi keperluan industri yang berbilang. Dalam usaha Bank untuk menjadi The Bank For Life bagi para pelanggan, kami mahu membantu perniagaan berjaya pada setiap peringkat kitaran hayat dengan menawarkan mereka penyelesaian yang berbeza untuk memenuhi keperluan mereka yang unik ketika perniagaan sedang berkembang,” kata En. Kellee Kam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank.

Salah satu ciri utama program ini ialah barisan hakim dan pelabur terkenal yang menampilkan En. Kam, En. Bikesh Lakhmichand, Rakan Kongsi Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif 1337 Ventures dan Cik Natalie Tan, Rakan Kongsi di 5X Capital bersama dua orang wakil penaja Anugerah Kategori iaitu Encik Sean Tan, Ketua Pegawai Perniagaan CGC dan Rakan Ekosistem iaitu En. Mohd Noor Hisham Abdul Bari, Penolong Naib Presiden MYStartup Malaysia dari Cradle. 

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, “Sehingga kini, kerjasama antara CGC dan Alliance Bank yang dijalin sejak tahun 2013 telah menyaksikan Jaminan Portfolio sebanyak RM2.65 bilion. Kerjasama ini diteruskan dengan BizSmart® Challenge Accelerator Edition di mana PMKS akan diberi peluang untuk mengukuhkan kemahiran yang kritikal, meningkatkan pengetahuan yang penting dan mendapat pendedahan kepada para peneraju industri. 

Komitmen CGC dalam membantu PMKS membina asas perniagaan yang kukuh untuk pertumbuhan yang mampan terbukti melalui pelbagai penyelesaian kewangan yang ditawarkan serta inisiatif Beyond Guarantee kami, khususnya CGC Developmental Programme® yang memberikan bantuan pembiayaan dan nasihat kepada PMKS.  Ini selari dengan mandat CGC untuk menjamin pembiayaan PMKS dan merapatkan jurang antara institusi kewangan / institusi kewangan pembangunan dan PMKS.”

“Cradle teruja untuk mengambil bahagian dalam BizSmart® Challenge Accelerator Edition tahun ini. Cabaran ini merupakan sebuah program yang menunjukkan komitmen kami untuk memupuk inovasi dan pertumbuhan keusahawanan. Sebagai sebuah agensi utama bersama-sama dengan MYStartup sebagai Tetingkap Tunggal untuk ekosistem syarikat permulaan Malaysia, kami kekal komited untuk menyediakan sumber penting kepada semua usahawan ketika mereka mengemudi perjalanan mengembangkan perniagaan ke arah kejayaan. Menerusi kerjasama dengan para penggiat penting yang lain dalam ekosistem ini, kami mahu bersama-sama bergerak ke hadapan dan optimis untuk menyumbang kepada negara Malaysia yang lebih maju — membimbing usahawan seorang demi seorang,” kata En. Norman Matthieu Vanhaecke, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle.

“Kami memberi tumpuan untuk memupuk PKS yang inovatif, terutamanya para usahawan yang memberanikan diri untuk beralih daripada operasi perniagaan secara tradisional kepada pendigitalan. Di 1337 Ventures, kami menyokong PKS yang sedang pesat berkembang yang menunjukkan potensi besar melalui transformasi digital. Saya teruja untuk membimbing perniagaan yang berwawasan ini untuk melalui perjalanan pengumpulan dana dan membantu mereka mendapatkan pelaburan yang mereka perlukan untuk maju dan berkembang. Cabaran BizSmart® menawarkan peluang unik kepada para usahawan untuk mempamerkan idea hebat mereka, memperoleh wawasan yang tidak ternilai dan menerima sokongan yang diperlukan untuk membawa perniagaan mereka ke peringkat seterusnya,” kata En. Bikesh.

“Walaupun syarikat korporat yang besar membentuk Bursa, namun PKS sebenarnya menjadi tulang belakang identiti ekonomi Malaysia dan 5X Capital berbesar hati untuk memberi sumbangan dalam mengasah bakat para pemimpin syarikat akan datang yang mengukuhkan rangka kerja ini. Kami berharap dapat mengembangkan ekosistem untuk syarikat-syarikat sedemikian untuk mencapai kejayaan dan berkembang maju melalui platform seperti Cabaran BizSmart® Alliance Bank, yang menawarkan peluang kepada pengasas perniagaan yang bercita-cita tinggi untuk pendedahan yang luas, pengalaman bimbingan dan potensi untuk memperoleh pembiayaan,” kata Cik Tan.

Satu lagi kelebihan Cabaran pada tahun ini ialah program pemecutan tiga hari berstruktur yang diketuai oleh 1337 Ventures yang akan disertai oleh 30 finalis teratas untuk membangunkan rancangan perniagaan dan promosi mereka secara terperinci. Di samping itu, para peserta akan mendapat manfaat daripada sesi bimbingan perniagaan yang disesuaikan merangkumi topik seperti cabaran PKS dan perniagaan, industri halal dan kemampanan yang akan diterajui oleh Alliance Bank bersama 5X Capital dan alumni terpilih dari Cabaran dari musim sebelum ini.

Sejak dimulakan pada tahun 2013, Cabaran BizSmart® telah menerima lebih 2,200 penyertaan manakala lebih 155 peserta finalis telah mendapat manfaat daripada latihan dan bimbingan yang diberikan. Antara alumni Cabaran yang terkenal ialah pelopor industri seperti Amazin’ Graze, Signature Market, Christy Ng, Chriszen, myBurgerLab, BloomThis dan Heal Nutrition, yang kesemuanya telah mencapai kejayaan luar biasa dalam perniagaan mereka.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Cabaran, Bank juga akan menganjurkan Persidangan Perniagaan BizSmart® 2024 pada 16 Julai 2024 dengan tema “Business Beyond Tomorrow”. Acara turut menyaksikan pelbagai sesi panel, sembang santai dan sesi sampingan menampilkan penceramah daripada HEXA Food, Montigo Malaysia by RPG Commerce, Mamee, Pelabur Modal Teroka dan alumni Cabaran BizSmart® musim lalu. Acara bertiket selama 1 hari ini akan diadakan di W Hotel Kuala Lumpur dan dibahagikan kepada dua sesi yang disasarkan kepada kumpulan usahawan yang berbeza. Sesi pagi akan ditujukan kepada PKS yang beroperasi kurang daripada 5 tahun manakala sesi terakhir akan memaparkan topik yang sesuai untuk PKS yang sudah lama ditubuhkan yang menjalani peralihan kepimpinan merentas generasi.

PKS yang berminat digalakkan untuk menghantar penyertaan mereka mulai sekarang hingga 15 Julai 2024 dan peserta yang disenarai pendek akan dihubungi pada bulan Ogos. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang BizSmart® Challenge Accelerator Edition, sila layari www.bizsmart.com.my

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.