Pasaran Hartanah Malaysia Dijangka Stabil Pada 2024, Pertumbuhan Kekal Sehingga 3 Tahun Akan Datang – Nga

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) — Pasaran hartanah Malaysia dijangka kekal stabil pada 2024 dan mencatatkan pertumbuhan yang berterusan dalam tempoh tiga tahun akan datang hasil daripada rangsangan pelbagai inisiatif oleh Kerajaan MADANI di bawah Belanjawan 2024, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata pasaran hartanah menunjukkan pertumbuhan ketara dan berdaya tahan dengan kaunter hartanah individu mencatatkan pertumbuhan harga saham sehingga 600 peratus. 

Menurutnya, kaunter hartanah di pasaran saham berada dalam aliran meningkat dari Januari 2023 hingga Jun 2024, dengan 76 daripada 100 kaunter hartanah di Bursa Malaysia mencatatkan kenaikan harga saham. 

“(Sementara itu) 22 kaunter menunjukkan penurunan harga saham, (dan) dua kaunter mengekalkan harga saham mereka meskipun mencatatkan prestasi turun naik,” kata Nga dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata dalam kalangan kaunter utama DPS Resources Bhd mencatatkan pertumbuhan harga saham 600 peratus, UEM Sunrise Bhd naik 347 peratus dan WMG Holdings Bhd meningkat 326 peratus dari Januari 2023 hingga Jun 2024. 

“Trajektori positif dijangka berterusan sehingga ke separuh kedua 2024.

“Saya percaya di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pasaran hartanah kita akan mempunyai masa depan yang cerah pada tahun-tahun mendatang. 

“Kita perlu berganding bahu untuk meningkatkan reputasi industri kita dan meningkatkan keyakinan pelabur untuk menjadikan pasaran hartanah malahan lebih berdaya tahan,” kata Nga. 

Menurut kenyataan itu, urus niaga pasaran hartanah Malaysia bernilai RM42.31 bilion, dengan lebih  89,000 urus niaga direkodkan dalam suku pertama 2023 (S1 2023).

Manakala pada Suku Pertama 2024, urus niaga pasaran hartanah mencecah RM56.53 bilion, dengan lebih daripada 104,000 urus niaga, menandakan peningkatan sebanyak RM14.22 bilion dari segi nilai.

“Pertumbuhan ketara ini menunjukkan pasaran hartanah Malaysia semakin pulih dan kembali meningkat,” katanya.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Pelabur Asing Kembali Ke Pasaran Saham Malaysia Bulan Ini

KUALA LUMPUR: Pelabur asing kembali ke pasaran ekuiti Malaysia pada bulan Julai, beralih kepada saham perbankan dan utiliti yang bersifat defensif apabila aliran dana global berubah berikutan pembetulan dalam saham teknologi

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Fad’l Mohamed, berkata aliran masuk bersih asing ke dalam pasaran ekuiti tempatan berjumlah kira-kira RM297 juta setakat 27 Julai, menandakan minat pelabur berterusan walaupun di sebalik ketidaktentuan global yang memuncak.

Bercakap kepada pemberita selepas taklimat keputusan kewangan separuh pertama 2026 Bursa Malaysia hari ini, Fad’l berkata peralihan itu mencerminkan sifat pasaran global yang berubah, dengan pelabur memperuntukkan semula dana merentas pasaran dan sektor sebagai respons kepada keadaan yang bertukar.

“Baru-baru ini, kita melihat aliran masuk yang sangat tinggi ke dalam pasaran seperti Taiwan dan Korea Selatan, terutamanya didorong oleh saham berkaitan teknologi dan pertumbuhan berkaitan teknologi. Pelaburan sedang kembali ke Malaysia dalam persekitaran pembetulan baru-baru ini dalam saham berkaitan teknologi,” katanya.

Fad’l berkata, pelabur asing kembali kepada saham yang menawarkan pulangan lebih stabil, terutamanya dalam sektor perbankan dan utiliti.

Beliau berkata, pergerakan dalam pasaran sekunder berbeza daripada yang mendorong Tawaran Awam Permulaan, perdagangan ekuiti dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk aliran masuk asing, pulangan, dolar Amerika Syarikat (AS) dan sentimen risiko pasaran yang lebih luas.

Pegangan saham asing dalam Bursa Malaysia kekal stabil pada sekitar 19 peratus, mencerminkan penyertaan antarabangsa berterusan dalam pasaran tempatan walaupun berlaku ketidaktentuan global

-BERNAMA