Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) Anjur Persidangan Antarabangsa ke-13  Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) untuk Memupuk Ketelusan  dan Akauntabiliti yang Lebih Tinggi dalam Sektor Kewangan  

KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2023 — Peralihan global kepada landskap perbankan yang berorientasikan  digital bukan sahaja membawa peluang yang lebih besar untuk pertumbuhan dan rangkuman kewangan,  bahkan juga beberapa cabaran yang ketara, terutamanya kelaziman jenayah kewangan, pengubahan wang  dan pembiayaan kewangan yang semakin meningkat. Kesemua ini merupakan ancaman global yang  menghakis kepercayaan dan kestabilan dalam sistem kewangan serta mengganggu pertumbuhan ekonomi.  

Membanteras jenayah kewangan memerlukan kerjasama yang kukuh antara orang ramai dengan sektor  swasta, selain kerajaan, para pengawal selia, keseluruhan industri, perniagaan, dan individu dari semua  lapisan masyarakat bersatu padu dalam memperkukuh daya tahan dan kesediaan sektor kewangan.  Justeru, usaha ini menuntut penglibatan yang lebih aktif dalam inisiatif perkongsian pengetahuan serantau  dan global serta pemupukan kerjasama antarabangsa yang lebih teguh untuk mempermantap pertahanan  dalam menghadapi risiko jenayah kewangan serta memperkukuh integriti sektor kewangan.  

Persidangan Antarabangsa ke-13 mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF)  dengan tema “Penciptaan Semula Kepercayaan: Membina Budaya Integriti, Ketelusan dan Akauntabiliti  yang Mampan”, dianjurkan secara bersama oleh Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan kumpulan  Rangkaian Pegawai Pematuhan (CONG), serta disokong oleh Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti  Malaysia, dan Pihak Berkuasa Kewangan Labuan, dari 2 hingga 4 Oktober 2023 di Pusat Konvensyen Kuala  Lumpur. Persidangan menampilkan perbincangan menarik dan perdebatan hangat yang merangkumi  kekompleksan jenayah kewangan pada hari ini, penggunaan teknologi terkini yang mengubah landskap,  aspek-aspek penting integriti, ketelusan dan akauntabiliti dari perspektif AML/CFT dalam hubungannya  dengan sistem kewangan.  

Dalam ucapan alu-aluan beliau, Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim menekankan betapa mustahaknya  memupuk budaya kepercayaan, dengan integriti, ketelusan dan akauntabiliti sewajarnya diterapkan dalam  budaya tempat kerja sektor awam dan juga swasta. Beliau berkata, “Menerusi keahlian profesional dan  program AICB, Institut komited untuk mempertingkatkan standard profesional dan etika, serta kecekapan  golongan profesional perbankan dan kewangan untuk membantu membanteras jenayah kewangan,  seterusnya memperkukuh kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap sektor kewangan dan  ekonomi secara lebih meluas.” 

Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, Gabenor, Bank Negara Malaysia mengiktiraf IFCTF sebagai platform  penting bagi pakar-pakar membincangkan isu-isu jenayah kewangan yang penting. Dalam ucaptama majlis  tersebut, beliau berkata, “Apa yang kita lakukan adalah penting namun cara kita melakukannya juga sama  penting. Menangani jenayah kewangan menuntut integriti, yang merupakan asas untuk mengekalkan  keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap sistem kewangan. Kita perlu mengembalikan rasa  percaya itu, malah mewujudkannya semula. Walau bagaimanapun, usaha ini tidak mampu kita lakukan  secara bersendirian. Kita semua perlu memainkan peranan dengan mendukung prinsip integriti, ketelusan,  dan akauntabiliti, yang akan memberikan impak yang besar dan berpanjangan dalam usaha mengembalikan  rasa percaya itu.” 

Pengerusi Kumpulan Rangkaian Pegawai Pematuhan, Faradina Ghouse, berkata, “IFCTF merupakan  platform tunggal terbesar di Malaysia yang menghubungkan golongan profesional pematuhan, audit, risiko,  kewangan dan perundangan untuk menimba ilmu daripada pakar-pakar dalam usaha membanteras  jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan. Pada tahun ini, kita memberikan tumpuan pada  penggunaan keupayaan teknologi canggih dan metodologi berstruktur untuk memperkukuh usaha  membanteras rasuah. Kita berharap agar para peserta dapat mempertingkatkan amalan mereka untuk  memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dengan integriti pada tahap yang tertinggi  selain melindungi organisasi mereka daripada ancaman jenayah kewangan.” 

Di IFCTF 2023, lebih 50 pakar jenayah kewangan serantau dan global menghadiri persidangan untuk  berkongsi ilmu pengetahuan, pengalaman dan pandangan mereka tentang isu-isu yang antara lainnya  merangkumi usaha mengendalakan pembiayaan percambahan (proliferation financing), risiko dan  ancaman berhubung dengan bank digital, penggunaan AI dalam pencegahan dan pengesanan AML, mata  wang kripto (cryptocurrency) dan jenayah siber, serta mekanisme kerjasama serantau dan antarabangsa  dalam membanteras jenayah transnasional.  

Di Persidangan, Persatuan Bank-bank dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi  Kewangan Malaysia (AIBIM) turut melancarkan Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan yang diberikan  nafas baharu #JanganKenaScam, dirasmikan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed  Ghaffour. 

Kempen ini merupakan usaha bersepadu oleh industri perbankan untuk meningkatkan kesedaran orang  ramai terhadap kelaziman skim penipuan yang semakin berkembang di Malaysia selain menggalakkan  orang ramai untuk melindungi diri mereka sendiri dan komuniti mereka daripada menjadi mangsa kepada  kegiatan yang memudaratkan ini dengan mengamalkan kewaspadaan dan membiasakan diri mereka  dengan taktik penipuan.  

Di samping Persidangan, beberapa perbincangan meja bulat industri dan media peringkat tinggi dan  tertutup diadakan untuk terus membincangkan isu-isu yang penting berkaitan dengan jenayah kewangan  dan pembiayaan keganasan di Malaysia.  

IFCTF 2023 menarik lebih 1,000 delegasi daripada institusi kewangan tempatan dan antarabangsa.  Ketahui selanjutnya acara AICB yang akan datang melalui www.aicb.org.my/events/upcoming. 

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.