“Bijok Molek Urus Duit”: Bursa Malaysia Bawa Bursa Marketplace Fair Ke Terengganu

Terengganu, Malaysia, 17 Oktober 2025 — Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia”) akan menganjurkan salah satu acara pelaburan utamanya, Bursa Marketplace Fair 2025 (“Marketplace Fair”) di Mayang Mall, Kuala Terengganu, bermula Jumaat ini hingga Ahad, 17 – 19 Oktober 2025. Acara ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Bursa Malaysia untuk meningkatkan celik kewangan dan pelaburan berinformasi di kalangan rakyat Malaysia, selaras dengan komitmen Bursa Malaysia untuk memperluas penyertaan pelabur individu dalam pasaran modal.

Sorotan Bursa Marketplace Fair Terengganu 2025

Bertemakan “Bijok Molek Urus Duit”, Bursa Marketplace Fair kali ini dijangka menarik lebih 2,000 pengunjung sepanjang tiga hari tersebut. Acara ini adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai dari 10:00 pagi hingga 9:00 malam. Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian atau di lokasi acara.

Acara ini menampilkan pelbagai sesi perkongsian ilmu kewangan dan pelaburan, termasuklah sesi bual bicara bersama tokoh-tokoh terkenal di dalam dunia pelaburan.

Bursa Marketplace Fair turut menampilkan 12 reruai pameran terdiri daripada pelbagai organisasi seperti bank pelaburan, broker, syarikat tersenarai awam, termasuklah BIMB Securities Sdn Bhd, CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd, Financial Markets Ombudsman Service (FMOS), Hong Leong Investment Bank Berhad, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Malacca Securities Sdn Bhd, Minority Shareholders Watch Group (MSWG), Phillip Capital Sdn Bhd, PHB Asset Management Berhad, RHB Investment Bank Berhad, UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd, dan Webull Securities (Malaysia) Sdn Bhd. Pengunjung juga akan diperkenalkan kepada platform atau aplikasi digital yang inovatif, serta pelbagai jenis aset yang ditawarkan di Bursa Malaysia, seperti saham, dana dagangan bursa (ETF), amanah pelaburan hartanah (REIT), derivatif, Bursa Gold Dinar, dan BR Capital.

Selain itu, pengunjung boleh mengambil bahagian dalam aktiviti komuniti dan hiburan keluarga yang bermanfaat seperti sesi perkongsian tentang penjagaan kesihatan dan saringan kesihatan secara percuma dari KMI Kuala Terengganu Medical Centre, permainan interaktif dan aktiviti-aktiviti menarik yang lain.

Bursa Marketplace Fair Terengganu merupakan edisi fizikal kelima yang dianjurkan di luar Kuala Lumpur, selepas kejayaan penganjuran terdahulu di Pulau Pinang (2019), Johor Bahru (2023), Kota Kinabalu (Mei 2024), dan Kuching (November 2024).

Untuk maklumat lanjut mengenai Bursa Marketplace Fair Terengganu 2025, layari: BursaMarketplace Fair2025.

Previous ArticleNext Article

Vincent Tan Tingkat Pegangan Dalam Berjaya Corp, Beli 59.97 Juta Saham Berharga RM14.05 Juta

KUALA LUMPUR: Tan Sri Vincent Tan meningkatkan pegangan saham langsungnya dalam Berjaya Corp Bhd dengan membeli sejumlah 59.97 juta saham.

Urus niaga itu dibuat hanya beberapa minggu selepas beliau tidak lagi diklasifikasikan sebagai pemegang saham utama dalam syarikat itu.

Hartawan itu membeli saham berkenaan, yang bersamaan pegangan 1.02 peratus dalam Berjaya Corp, daripada Berjaya Assets Bhd pada harga RM14.05 juta, menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Saham berkenaan sebelum ini dipegang oleh Berjaya Bright Sdn Bhd dan Berjaya Times Square Sdn Bhd, yang kedua-duanya merupakan anak syarikat milik penuh Berjaya Assets.

Transaksi itu dibuat tidak lama selepas Vincent Tan membeli 60 juta lagi saham Berjaya Corp, bersamaan pegangan 1.01 peratus, menerusi urus niaga perniagaan langsung pada 8 Jun lalu dengan nilai RM14.1 juta atau 23.5 sen sesaham.

Pembelian terbaharu itu menyusuli siri pelupusan saham yang dilakukan Vincent Tan kurang daripada sebulan lalu.

Pada penghujung Mei, beliau menjual keseluruhan 461.65 juta saham Berjaya Corp menerusi tujuh transaksi berasingan yang melibatkan pegangan langsung dan pegangan tidak langsung, dengan nilai kira-kira RM115 juta.

Susulan pembelian terkini itu, pegangan langsung Vincent Tan dalam Berjaya Corp Bhd meningkat kepada 6.13 peratus, manakala pegangan tidak langsungnya kini berada pada 10.96 peratus.

— Berita Harian