BIMB Investment Melancarkan Dana BIMB-ARABESQUE Global Shariah-ESG AI Technology Yang Bertujuan Untuk Menerapkan Inovasi Teknologi Dalam Dunia yang Semakin Digital

BIMB Investment Management Berhad (“BIMB Investment”), anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad, hari ini mengumumkan pelancaran BIMB-ARABESQUE Global Shariah-ESG AI Technology Fund (“BGSEAIT”), sebuah dana pertumbuhan ekuiti patuh Shariah yang bertujuan untuk memberikan pulangan pelaburan kepada pelabur melalui pelaburan di dalam ekuiti teknologi global patuh Shariah. Dana ini memanfaatkan trend pasaran teknologi yang kukuh menggunakan penyelidikan dan teknologi kecerdasan buatan (AI) terkini oleh Arabesque AI, sebuah unit perniagaan kecerdasan buatan Arabesque Group.

Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, “Pandemik coronavirus telah memainkan peranan penting dalam mengalihkan amalan pengguna dan perniagaan ke arah menyepadukan sistem teknologi digital yang lebih baik di dalam aktiviti masing-masing. Peralihan sebegini telah meningkatkan prestasi sektor teknologi sejak dua tahun yang lalu dan kami menjangkakan ia akan terus mengekalkan momentum pertumbuhan di dalam sektor tersebut untuk beberapa tahun yang akan datang.”

Menambah kepada kenyataan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd Lutfi berkata, “BGSEAIT berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan prospek pertumbuhan berdaya tahan yang terdapat di dalam sektor teknologi daripada pasaran tempatan dan asing. Dana ini menyediakan para pelabur sebuah saluran pelaburan tambahan untuk mencapai peningkatan modal dalam jangka masa sederhana hingga panjang. Melalui BGSEAIT, pelabur juga berpotensi untuk meningkatkan pendedahan portfolio pelaburan mereka kepada saham-saham berkaitan teknologi.”

BGSEAIT akan melabur sekurang-kurangnya 70% dan sehingga 98% di dalam ekuiti tersenarai dan sekuriti berkaitan ekuiti patuh Shariah di Malaysia dan syarikat asing di mana pihak berkuasa kawal selia adalah daripada ahli biasa atau ahli bersekutu Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (“IOSCO”) dan bursa adalah ahli atau ahli gabungan Persekutuan Bursa Dunia (“WFE”). Dana ini menggunakan pendekatan kuantitatif yang didorong oleh teknologi kecerdasan buatan yang akan diimbang semula pada setiap bulan bagi kedua-dua sekuriti tempatan dan asing yang diperbadankan di dalam Dana.

Pada masa ini, Dana ini ditawarkan di dalam tiga kelas mata wang: Kelas Ringgit Malaysia, Kelas Ringgit Malaysia Hedged dan Kelas Dolar AS. Pelabur kini boleh melanggan Dana ini dengan jumlah pelaburan permulaan serendah RM500 dan USD500 dengan pelaburan tambahan bermula pada jumlah minimum RM100 dan USD100.

Dari segi penyaringan ESG, BGSEAIT akan memanfaatkan Arabesque S-Ray®, sebuah alat data kuantitatif yang menganalisis dan mengukur prestasi kemampanan lebih 25,000 model kuantitatif dan skor data syarikat tersenarai. Proses pelaburan kuantitatif berasaskan peraturan yang telus yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI) juga akan membantu menghilangkan bias manusia dan melaksanakan analisis pada skala besar.

Proses penyelidikan pelaburan Arabesque AI menggunakan isyarat alfa yang dijana menggunakan Enjin AI proprietari dan pembinaan model portfolio melalui sistem pengoptimuman portfolio dalaman dan pemodelan risiko. Enjin AI menggunakan pelbagai algoritma pembelajaran mesin, seperti model Pembelajaran Mendalam, untuk menganalisis dan mengenal pasti peluang pelaburan dalam pasaran ekuiti. Rangka kerja pengoptimuman portfolio dan risikonya menterjemahkan peluang pelaburan ini kepada portfolio sasaran model yang dioptimumkan untuk prestasi objektif strategi, risiko dan kemampanan.

BIMB Investment telah memenangi anugerah Pengurus Aset & Dana Islam Terbaik di Malaysia selama empat tahun berturut-turut sejak 2018, Pengurus Aset & Dana Terbaik pada 2017 dan anugerah Pulangan Penyelarasan Risiko Terbaik untuk Pelaburan Berprinsip ESG selama tiga tahun berturut-turut sejak 2019 oleh Alpha Southeast Asia. Syarikat ini juga telah dianugerahkan Pengurus Aset Terbaik ESG bagi tahun 2019 dan 2020 oleh The Asset Triple A Islamic Finance Awards, sebuah anugerah yang mengiktirafkan sumbangan dan pencapaian pentingnya di dalam ESG, kemampanan dan pengurusan aset di Asia.

Permohonan unit boleh dilakukan terus melalui bahagian jualan Korporat BIMB Investment dengan menghubungi talian bebas tol di 1-800-88-1196 atau e-mel ke [email protected].

Pemegang Unit boleh melihat harga Dana harian dan maklumat lanjut mengenai Dana daripada laman web BIMB Investment di http://www.bimbinvestment.com.my.

###


Penafian

Risalah ini disediakan untuk tujuan maklumat sahaja. Pelabur dinasihatkan untuk membaca dan memahami kandungan Prospektus bagi Dana BIMB-ARABESQUE Global Shariah-ESG AI Technology (“Dana”) bertarikh 29 November 2021, Prospektus tambahan (jika ada) dan Halaman Serlahan Produk (PHS) sebelum melabur, yang telah didaftarkan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang tidak akan bertanggungjawab terhadap kandungannya. Salinan Prospektus dan PHS boleh didapati di Ibu Pejabat BIMB Investment Management Berhad, di laman web www.bimbinvestment.com.my, perunding unit amanah dan pegedar yang diluluskan dan/atau mana-mana cawangan Bank Islam. Kebenaran SC atau pendaftaran Prospektus tidak boleh diambil kira bahawa SC telah mengesyorkan Dana tersebut. Terdapat yuran dan caj yang dikenakan dan pelabur dinasihatkan untuk membandingkan dan mempertimbangkannya sebelum melabur di dalam Dana. Pelaburan di dalam Dana ini terdedah kepada risiko, sila rujuk kepada Prospektus untuk maklumat terperinci. Pelabur dinasihatkan untuk mempertimbangkan risiko di dalam Dana dan harus membuat penilaian sendiri mengenai risiko dan mendapatkan nasihat professional, jika perlu, sebelum melabur. Pelabur juga perlu ambil perhatian bahawa harga unit dan agihan yang dibayar, jika ada, boleh turun dan naik dan prestasi masa lalu Dana tidak boleh dianggap sebagai petunjuk prestasinya pada masa hadapan. Sebarang isu unit yang berkaitan dengan Prospektus hanya akan dibuat setelah penerimaan borang permohonan yang lengkap yang dilampirkan bersama Prospektus, tertakluk kepada terma dan syarat yang terkandung didalamnya. Risalah maklumat ini tidak disemak oleh SC. Sekiranya terdapat sebarang pertikaian atau keraguan berkenaan risalah versi Bahasa Melayu ini, risalah dalam versi Bahasa inggeris akan diguna pakai dan ianya muktamad.

Tentang BIMB Investment

BIMB Investment Management Berhad (“BIMB Investment”) adalah syarikat pengurusan pelaburan Shariah-ESG yang terkemuka di Malaysia. Sebuah syarikat subsidiari milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad, BIMB Investment adalah sebuah syariat pengurusan dana Islam berlesen yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Ditubuhkan pada 14 September 1993 dan memulakan operasinya pada 20 Jun 1994, BIMB Investment beribu pejabat di Malaysia.

BIMB Investment adalah pengurus aset Islam yang disokong bank yang pertama di rantau ini untuk menjadi penandatangan prinsip yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk pelaburan yang bertanggungjawab (UNPRI).

Talian Umum: 1-800-88-1196

Laman web: www.bimbinvestment.com.my

Previous ArticleNext Article

PropertyGuru Melancarkan Kempen Penghujung Tahun Untuk Membantu Rakyat Malaysia Memiliki Rumah Mampu Milik, Fokus Pada Hartanah Di Bawah RM500,000

Kuala Lumpur, 11 November 2025 – Ketika isu kemampuan memiliki rumah terus mempengaruhi keputusan pembelian rakyat Malaysia, PropertyGuru Group, syarikat teknologi hartanah terkemuka di Malaysia dan pengendali platform PropertyGuru serta iProperty, telah melancarkan kempen penghujung tahun untuk menampilkan rumah berharga RM500,000 dan ke bawah.

Inisiatif ini bertujuan untuk merapatkan jurang antara pemaju yang menawarkan perumahan mampu milik dengan rakyat Malaysia yang mencari rumah berkualiti dan mudah diakses, selaras dengan usaha nasional untuk mempertingkatkan kadar pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

Melalui kempen ini, pemaju yang mengambil bahagian dengan projek berharga di bawah RM500,000 akan dipaparkan di platform PropertyGuru dan iProperty. Setiap paparan akan mengarahkan pengguna ke halaman carian khusus yang menampilkan senarai hartanah layak, membolehkan pencari rumah meneroka dan membandingkan pilihan mengikut bajet mereka dengan lebih mudah.

Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), harga purata rumah di Malaysia bagi separuh pertama tahun 2025 ialah RM490,376, melebihi paras kemampuan bagi banyak isi rumah dalam kumpulan B40 dan M40 rendah. Namun, pasaran secara keseluruhan menunjukkan  pemulihan kukuh, disokong oleh dasar kerajaan yang proaktif, penurunan kadar dasar semalaman (OPR), serta peningkatan keyakinan pembeli.

Dr Lee Nai Jia, Ketua Perisikan Harta Tanah, PropertyGuru Group, menegaskan semasa Sidang Kemuncak PropertyGuru & iProperty FutureBuilt 2025 bahawa sektor hartanah kediaman menunjukkan pemulihan kukuh dengan pemaju melaporkan kadar pengambilan yang lebih tinggi untuk pelancaran baharu di kawasan pertumbuhan utama seperti Lembah Klang, Johor, dan Pulau Pinang. Sentimen pasaran turut disokong oleh pengurangan kumulatif OPR sebanyak 75 mata asas serta insentif kerajaan menerusi Belanjawan 2025, termasuk pengecualian duti setem dan insentif pinjaman untuk pembeli rumah pertama.

Kar Wai Low, Pengarah Pemasaran Negara, PropertyGuru & iProperty Malaysia, berkata, “Kemampuan memiliki rumah kekal sebagai antara kebimbangan utama rakyat Malaysia hari ini. Kempen penghujung tahun ini memberi tumpuan kepada keterlihatan dan impak – bukan sahaja untuk pemaju, tetapi juga untuk pembeli. Kami mahu membantu pencari rumah di Malaysia mencari kediaman berkualiti dalam jangkauan mereka, sambil memudahkan pemaju berhubung dengan pembeli sedia ada dalam segmen harga penting ini. Dengan menggabungkan kekuatan PropertyGuru dan iProperty, kami memanfaatkan capaian dan data platform kami bagi memudahkan pencarian, perbandingan dan tindakan terhadap pilihan rumah mampu milik.”

Kempen ini memperkukuh komitmen berterusan PropertyGuru Group untuk memperkasakan rakyat Malaysia membuat keputusan hartanah dengan yakin, sambil menyokong usaha kerajaan meningkatkan kemampuan memiliki rumah dan mobiliti sosial. Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, sila layari PropertyGuru dan iProperty Malaysia.​